RISALAH PEMBATAL KEISLAMAN OLEH SYAIKH MUHAMMAD AT-TAMIMI
Oleh Ustaz Idris Sulaiman, 21 November 2018

ISI UTAMA 

  1. Pentingnya Mengetahui Pembatal-Pembatal Islam Kerana Seseorang Itu Boleh Kekal Dalam Neraka Selamanya Kerana Syirik – Batal Islam Bermaksud Murtad (Syirik)
  2. Pembatal Keislaman Adalah Perkara Fundamental, Walau Bagaimanapun Ramai Tidak Mengetahuinya
  3. Keadaan Seseorang Sama Ada Kafir Atau Islam. Jika Telah Batal Keislaman, Maka Tidak Ada Guna Semua Kebaikannya
  4. Agama Islam Tidak Rugi Jika Seseorang Itu Mahu Keluar Agama Kerana Allah Sendiri Akan Menjaga Agama, Dan Memberinya Kepada Sesiapa Yang Dia Mahu
  5. Ancaman Bunuh Terhadap Orang Murtad Kerana Mereka Seperti Barah Yang Akan Merosakkan Agama Dan Umat Islam
  6. Orang Murtad Disuruh Bunuh, Orang Kafir Dikatakan ‘Tiada Paksaan Dalam Agama – Ini Kerana Orang Murtad Telah Kenal Kesempurnaan Islam Tetapi Mereka Masih Mengikut Hawa Nafsu. Mereka Ibarat Penyakit Yang Merebak Cepat
  7. Antara 5 Perkara Yang Perlu Dipelihara Oleh Setiap Muslim Iaitu Agama, Akal, Nasab, Harta Dan Nyawa
  8. Empat (4) Sebab Murtad Iaitu Kerana Kepercayaan (Iman), Perkataan, Perbuatan Dan Ragu-Ragu Tentang Agama
  9. Mempermainkan Agama Boleh Termasuk Dalam Murtad Disebabkan Perkataan
  10. Pembatal Agama Pertama (Terbesar) Ialah Syirik Kepada Allah Melalui Ibadah – Sangat Banyak Bentuk Syirik Tetapi Ramai Yang Tidak Mengetahuinya
  11. Tiga (3) Jenis Ibadah Iaitu Ibadah Hati, Ibadah Perkataan & Ibadah Perbuatan. Maka Menyeru Atau Meminta Bantuan Dari ‘Alam Ghaib’ Adalah Syirik Dalam Ibadah
  12. Bentuk Kesyirikan Dalam Ibadah Tawaf Adalah Seperti Tawaf Keliling Kubur, Sembelihan Binatang Untuk Korban ‘Alam Ghaib’, Berjumpa Bomoh Untuk Minta Pertolongan Jin Dan Lain-Lain
  13. Kesalahan Syirik Akan Menyebabkan Kekal Selamanya Dalam Neraka, Manakala Kesalahan Lain Termasuk Dosa Besar Boleh Diampunkan Jika Allah Mahu
  14. Nyanyian Ya Hanana Dengan Ucapan ‘Madad, Madad Ya Rasulullah’ Salah Satu Bentuk Seruan Di Alam Ghaib Yang Termasuk Syirik Akbar
  15. Salah Faham Maksud Kalimah Tauhid Dengan ‘Allah Itu Tuhan, Pemberi Rezeki’, Sebaliknya Ia Bermaksud ‘Tiada Sembahan Kecuali Allah’ – Tiada Sekutu Ibadah KepadaNya
  16. Sebab-Sebab Masyarakat Terjerumus Di Dalam Kesyirikan
  17. Syirik Kerana Kejahilan – Sejauh Mana Boleh Dikira Suatu Keuzuran Bagi Orang Yang Jahil
  18. Apakah Dikira Keuzuran Jika Pernah Ditegakkan Hujah Kepadanya Melalui Guru, Whatsapp (Media Massa) Atau Individu?
  19. Dakwah Adalah Tanggungjawab Semua Penuntut Ilmu Mengikut Kemampuan Masing-Masing
  20. Orang Sesat Dan Jahil Sering Menyalahkan Gurunya & Akhirnya Mereka Salahkan Syaitan. Syaitan Berlepas Diri Kerana Syaitan Tidak Pernah Paksa Mereka Untuk Sesat
  21. Sekalipun Keuzuran Tetap Ada, Tetapi Tidak Semudah Yang Disangka Kerana Al-Quran Jelas Di Depan Mata Untuk Difahami Dan Dicari Kebenaran
  22. Bagaimana Mendapat Keuzuran Sedangkan Mereka Tidak Pernah Bersungguh Mengkaji Apa Sebenarnya Wahabi Dan Kebenaran Yang Dibawanya
  23. Allah Maha Adil Dan Dalam Masa Yang Sama Seksaan Amat Keras – Beruntunglah Manusia Yang Bersungguh Mencari & Mengkaji Kebenaran (Quran & Hadis), Dan Bukan Taksub Kepada Guru Dengan Menuntut Ilmu Tanpa Dalil Yang Jelas 

 

SYARAH RISALAH PEMBATAL-PEMBATAL KEISLAMAN

PENTINGNYA MENGETAHUI PEMBATAL-PEMBATAL ISLAM KERANA SESEORANG ITU BOLEH KEKAL DALAM NERAKA SELAMANYA JIKA TERJERUMUS DI DALAMNYA – BATAL ISLAM BERMAKSUD MURTAD

Kata Syaikh Muhammad: “Ketahuilah, sesungguhnya di antara pembatal-pembatal keislaman yang paling besar ada 10”

Syaikh Muhammad mengatakan ‘ketahuilah’. Ia memberi maksud dari sudut penegasan supaya perkataan seterusnya difahami kerana ada kepentingannya. Pembatal-pembatal keislaman juga boleh disebut sebagai penyebab murtad. Ini tajuk yang sangat penting untuk setiap muslim ketahui supaya lebih berhati-hati dan jangan terjebak dalam perkara ini. Apatah lagi kalau dia tidak mengetahuinya.

PEMBATAL KEISLAMAN ADALAH PERKARA FUNDAMENTAL, WALAU BAGAIMANAPUN RAMAI TIDAK MENGETAHUINYA

Tajuk ini sangat penting kerana ia melibatkan fundamental Islam. Mengetahui sebab-sebab pembatalan Islam adalah cukup penting. Suatu hal yang mengejutkan bahawa ramai sahaja dari kalangan kaum muslimin yang tidak tahu dan mengambil mudah tentangnya. Ia menambahkan kerisauan kita kerana perkara yang sebegini besar tidak diketahui oleh masyarakat Islam.

Di akhir kuliah, kita perlu tahu sebab kenapa masyarakat tidak mengetahui hal yang amat penting iaitu tentang pembatal-pembatal keislaman (murtad).

Firman Allah: “Dan barangsiapa yang murtad dari kalangan kamu dari agama kamu, lalu dia mati dalam keadaan kafir. Maka mereka tergugur amalan di dunia dan akhirat, mereka penghuni neraka dan kekal selamanya.” (Al-Baqarah:217)

KEADAAN SESEORANG SAMA ADA KAFIR ATAU ISLAM. JIKA TELAH BATAL KEISLAMAN, MAKA TIDAK ADA GUNA SEMUA KEBAIKANNYA

Keadaan seseorang itu ialah sama ada Islam atau kafir. Jadi perkataan non-muslim adalah tidak tepat dan tidak menggunakan dengan perkataan sepatutnya. Ancaman keras orang yang keluar dari agama Islam (murtad). Jika dia mati tanpa sempat bertaubat, maka terhapus amalan mereka kerana amalan baik tidak bernilai sedikitpun kalau telah menjadi murtad. Itu seburuk-buruk perbuatan, keluar dari Islam kerana mati dalam kufur atau syirik. Ia sebesar-besar kerugian, mereka kekal di neraka selamanya.

Firman Allah: “Wahai orang beriman, barangsiapa yang murtad dari kalangan kamu, dari agama Islam, Allah akan datangkan sebuah kaum yang lain yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Mereka merendah diri sesama orang beriman dan tegas kepada orang kafir” (Al-Maidah:54)

AGAMA ISLAM TIDAK RUGI JIKA SESEORANG ITU MAHU KELUAR AGAMA KERANA ALLAH SENDIRI AKAN MENJAGA AGAMA, DAN MEMBERINYA KEPADA SESIAPA YANG DIA MAHU

Islam tidak rugi, tidak terkesan kebesaran dan kekuatan Allah jika seseorang itu murtad. Allah akan mengambil orang lain untuk perjuangkan agama, mereka mencintai Allah di atas kesungguhan terhadap agama. Ciri utama mereka ialah merendah diri, berkasih sayang, bersatu padu dan mereka membenci musuh Allah dari kalangan orang kafir.

ANCAMAN BUNUH TERHADAP ORANG MURTAD KERANA MEREKA SEPERTI BARAH YANG AKAN MEROSAKKAN AGAMA DAN UMAT ISLAM

Sabda Nabi ﷺ: “Tidak halal darah seorang muslim kecuali dengan 3 sebab iaitu penzina sudah berkahwin, pembunuh dibalas bunuh dan seseorang yang keluar dari agama.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang keluar dari agama Islam, maka bunuhlah dia” (HR Muslim)

Istilah murtad ialah orang Islam yang keluar dari agama Islam. Ayat Quran dan hadis jelas tentang ancaman kepada sesiapa yang murtad. Pada hari ni, soal murtad kurang diberi penegasan. Jangan terkejut ada yang silap tafsirkan nas-nas, contoh yang tidak tepat dan mengabaikan nas-nas di di atas. Mereka seolah hendak mengelak isu kemurtadan yang sebenarnya dengan menyebut sepintas lalu tanpa memberi penegasan.

Tidak hairan hari ini orang murtad perlu dibunuh ditentang dengan membawa ‘Hak Kebebasan Beragama’. Tajuk ini sering dipesong dengan tujuan merendahkan isu murtad sedangkan ia perkara cukup besar.

Sekiranya satu kumpulan yang ada pengaruh kuasa dan menimbulkan porak peranda, maka kaum itu perlu diperangi seperti dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar. Beliau perangi golongan murtad termasuk Musailamah Al-Kazzab. Isu mereka ialah tidak mahu bayar zakat dengan syubahat tidak perlu dibayar apabila baginda Rasulullah wafat. Abu Bakar menghantar tentera untuk memerangi mereka.

Khalifah mengambil tindakan tegas kepada orang yang murtad. Ada yang kembali bertaubat, manakala mereka yang terus degil diperangi oleh khalifah. Apa yang dilakukan oleh khalifah merealisasi surah Al-Maidah, ayat 54. Allah akan datangkan kepada Rasulullah dan pada waktu itu belum ada golongan murtad. Jadi, ayat tersebut merujuk kepada peristiwa ketika Khalifah Abu Bakar khasnya.

ORANG MURTAD DISURUH BUNUH, ORANG KAFIR DIKATAKAN ‘TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA – ORANG MURTAD TELAH KENAL KESEMPURNAAN ISLAM TETAPI MEREKA MASIH MENGIKUT HAWA NAFSU. MEREKA IBARAT PENYAKIT YANG MEREBAK CEPAT

Sekiranya orang perseorangan murtad, individu itu ditangkap dan disuruh bertaubat. Jika tidak dia akan dhukum bunuh. Kenapa Islam bersikap tegas kepada orang yang murtad, sedangkan dengan orang kafir ‘Tiada paksaan dalam agama’? Itu hukuman Allah maka ‘kita dengar dan taat’.

Para ulamak berhujah tentang perkara di atas ialah orang muslim yang murtad telah kenal kebenaran, kesempurnaan dan kecantikan Islam. Tetapi dia tetap tinggalkan kebenaran dan mengambil kebatilan dengan kerelaan. Maka boleh dikatakan bahawa orang itu tiada kebaikan, umpama orang telah dimakan barah. Kalau dibiarkan, dia akan membawa kerosakan kepada orang lain. Hukum bunuh itu ialah sebagai langkah memelihara akidah Islami. Maka, agama tidak boleh dipermainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

ANTARA 5 PERKARA YANG PERLU DIPELIHARA OLEH SETIAP MUSLIM IAITU AGAMA, AKAL, NASAB, HARTA DAN NYAWA

i. Memelihara Agama
ii. Memelihara Akal
iii. Memelihara Nasab
iv. Memelihara Harta
v. Memelihara Nyawa

EMPAT (4) SEBAB MURTAD IAITU KERANA KEPERCAYAAN (IMAN), PERKATAAN, PERBUATAN DAN RAGU-RAGU TENTANG AGAMA


1. Kepercayaan – seperti percaya kuasa selain kuasa Allah ‘di alam ghaib’

2. Perkataan – seperti menafikan ketuhanan atau kerasulan Nabi Muhammad ﷺ, atau mencela.

3. Perbuatan – seperti sujud kepada berhala, menghadiri acara agama orang kafir (mengiktiraf), memakai pakaian ritual kafir

4. Syak atau keraguan – ragu apa yang jelas tentang agama seperti ragu tentang kewajipan solat, tutup aurat, antihadis

MEMPERMAINKAN AGAMA BOLEH TERMASUK DALAM MURTAD DISEBABKAN PERKATAAN

Firman Allah: “Katakanlah kepada mereka, apakah ayat Allah dan RasulNya untuk kamu permainkan. Jangan kamu hendak memberi alasan. Sungguh kamu sudah kufur setelah kamu Islam” (At-Taubah: 65)

Contoh syirik sangat banyak. Syaikh Muhammad hanya membahaskan 10 pembatal utama tetapi banyak lagi pembatal yang lain. Jangan terkejut tentang yang dibahaskan ini dan akan ada suara kata khilaf. Ini akibat kejahilan dan menerima ilmu dari ulamak suuk. Hal ini juga membenarkan hadis Rasulullah ﷺ yang menyatakan Islam akan kembali menjadi asing.

Mereka kata: “Jangan persoalkan keislaman mereka, ini soal hati”

Sekali dengar macam benar kerana Islam itu soal iman dari dalam hati. Ada juga yang tidak membenarkan perbahasan tentang murtad atau tidak kerana ia akan memecahbelahkan masyarakat.

PEMBATAL AGAMA PERTAMA (TERBESAR) IALAH SYIRIK KEPADA ALLAH MELALUI IBADAH – SANGAT BANYAK BENTUK SYIRIK TETAPI RAMAI YANG TIDAK MENGETAHUINYA

Syirik dalam beribadah kepada Allah seperti ibadah selain kepada Allah dengan sembelih, benazar, sujud kepada selain Allah atau meminta bantuan selain Allah di ‘ALAM GHAIB’. Ia sebesar-besar kesyirikan.

Firman Allah: “Sesungguhnya barangsiapa yang syirik, maka Allah akan haramkan syurga dan tenmpat kembalinya adalah api neraka.”  (Al-Maidah:72)

Firman Allah: “Sesungguhnya Alllah tidak akan mengampunkan dosa menyekutuNya, dan Allah boleh ampunkan dosa selainnya jika Dia mahu.” (An-Nisa’:48)

Firman Allah: “Dan barangsiapa yang menyekutukan Allah, maka dia telah sesat dengan kesesatan yang sangat jauh” (An-Nisa’:116)

Syirik adalah perkara yang murtad yang paling bahaya dengan melakukan apa-apa hal ibadah untuk selain Allah.

TIGA (3) JENIS IBADAH IAITU IBADAH HATI, IBADAH PERKATAAN & IBADAH PERBUATAN. MAKA MENYERU ATAU MEMINTA BANTUAN DARI ‘ALAM GHAIB’ ADALAH SYIRIK DALAM IBADAH

1. Hati – contohnya dengan timbulkan rasa cinta, harap & takut kepada Allah, niat sesuatu perbuatan kerana Allah dan lain-lain.

2. Perkataan – contohnya dengan melafazkan kalimah tauhid (Laila ha illaha Allah), bacaan zikir, bacaan al-Quran kerana Allah dan lain-lain

3. Perbuatan – contohnya dengan melakukan solat, umrah, haji, sembelihan, menolong orang kerana Allah dan lain-lain

BENTUK KESYIRIKAN DALAM IBADAH TAWAF ADALAH SEPERTI TAWAF KELILING KUBUR, SEMBELIHAN BINATANG UNTUK KORBAN ‘ALAM GHAIB’, BERJUMPA BOMOH UNTUK MINTA PERTOLONGAN JIN DAN LAIN-LAIN

Meminta bantuan dari alam ghaib, menyeru orang mati adalah perbuatan yang membatalkan keislaman seseorang. Benda pertama ini sudah musibah besar untuk masyarakat Islam. Zaman sekarang ada yang tawaf disekeliling kubur seperti yang kita nampak dalam media massa. Kubur dibina dengan kubah di atasnya, mereka tawaf dengan membawa sepanduk seperti Hari Raya. Ia dilakukan dari negara Islam. Alhamdulillah tidak berlaku di negara kita.

Selain itu, perbuatan menyembelih selain Allah, mendatangi bomoh, atau membawa haiwan korban seperti ayam dan kambing. Kita ingat sembelih soal makan minum sahaja, sebaliknya ianya ibadah. Jelas ibadah hanya dituju untuk Allah semata-mata.

KESALAHAN SYIRIK AKAN MENYEBABKAN KEKAL SELAMANYA DALAM NERAKA, MANAKALA KESALAHAN LAIN TERMASUK DOSA BESAR BOLEH DIAMPUNKAN JIKA ALLAH MAHU

Kalau sekiranya orang itu tidak bertaubat dari perbuatan syirik, maka Allah tidak ampunkan. Allah boleh ampunkan selain syirik kepada sesiapa yang Dia mahu. Jika seseorang pernah bunuh orang, tanpa taubat Allah boleh ampunkan. Jika syirik, tiada ampunan baginya. Kalau orang terjebak dalam sebesar dosa zina, minum judi dan sebagainya, dan Allah tidak ampunkan, dia akan masuk neraka dan tidak kekal di dalamnya sebab dia tidak syirik. Hanya dia terpalit dosa besar. Akhirnya kalimah iman akan selamatkan dari terus kekal dalam neraka.

Berbanding orang yang mati dalam syirik atau murtad. Tiada siapa yang boleh memberi syafaat untuk mereka yang syirik. Orang murtad dan kafir sama dengan balasan orang yang syirik iaitu kekal dalam neraka. Orang syirik sama dengan Nasrani, Yahudi yang akan kekal dalam neraka. Kekal bermaksud tidak ada limit masa. Betapa bahaya perbuatan murtad, syirik atau kufur. Syirik dan kufur banyak cara, hanya Syaikh Muhammad menyebut perkara pertama adalah ibadah selain Allah, itu sebesar syirik. Yang lain masih banyak syirik halus dan rumit, dan ramai tidak tahu.

NYANYIAN YA HANANA DENGAN UCAPAN ‘MADAD, MADAD YA RASULULLAH’ SALAH SATU BENTUK SERUAN DI ALAM GHAIB YANG TERMASUK SYIRIK AKBAR

Ramai sahaja orang ke bomoh, kubur, atau menyeru selain Allah. Baru-baru ni ada orang yang pergi ke Karbala.

Dia kata: “Kita berdoa kepada Hussein”

Ini perkataan kufur yang jelas. Ramai dari kalangan kaum muslimin yang tidak tahu atau tidak sedar bahawa itu perkataan kufur.

Kata penyanyi Ya Hanana: “Madad, madad Ya Rasulullah”

Hussein ini bukan salah satu nama Allah. ‘Madad, madad’ maksudnya ‘tolong, tolong ya Husein’. Dia tengah seru cucu Rasulullah. Ini kekufuran yang jelas. Ramai tidak tahu ini adalah meminta syafaat, tawassul dan syirik kepada Allah. Perkataan syirik dimanipulasikan dan ditukar kepada perkataan tawassul dan syafaat hingga ramai orang Islam yang keliru perkataan syirik ini.

Dalam kalangan masyarakat ramai yang tidak tahu pembatal-pembatal keislaman ini kerana kefahaman tentang tauhid itu kurang.

SALAH FAHAM MAKSUD KALIMAH TAUHID DENGAN ‘ALLAH ITU TUHAN, PEMBERI REZEKI’, SEBALIKNYA IA BERMAKSUD ‘TIADA SEMBAHAN KECUALI ALLAH’ – TIADA SEKUTU IBADAH KEPADANYA

Ramai akan kata maksud kalimah tauhid ialah: “Tauhid itu ialah Allah itu tuhan, Allah pemberi rezeki, hidup dan mematikan”

Sedangkan maksudnya ialah ‘la ilaha illa Allah’ bermaksud ‘Tiada yang disembah kecuali Allah’. Dan segala bentuk sembahan pun kena tahu sama ada bernazar, sembelih dan menyeru sesuatu di alam ghaib adalah bentuk sembahan.

Di sekolah-sekolah hanya diajar apa yang membatalkan wuduk, membatalkan solat, puasa, batal umrah haji hingga jadi polemik sentuh lelaki dan perempuan.  Apa yang membatalkan akidah ramai yang tidak tahu.

SEBAB-SEBAB KESYIRIKAN MASYARAKAT TERJERUMUS DALAM KESYIRIKAN

1. Tidak faham maksud akidah dan tauhid

2. Tidak faham tauhid rububiyyah (semua rasul diutuskan untuk ajar tauhid rububiyyah)
Memahami ‘la ilaha illa Allah’dari sudut tauhid Rububiyyah (ketuhanan Allah), dan tidak membahaskan tauhid Uluhiyyah (bentuk-bentuk sembahan, perbuatan yang layak kepada Allah)

3. Pengertian iman disalah erti
Fahaman Murjiah, Asyairah memahami iman ialah ‘perakuan’. Perakuan Allah dan itu sudah dikatakan beriman. Boleh buat apa sahaja termasuk seru orang mati dikatakan beriman.

Makna iman – perakuan dalam hati, dilafazkan dengan perkataan dan dizahirkan dengan perbuatan. Ia bertambah dan berkurang, bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.

Tidak hairanlah persoalan pokok tauhid, akidah dan apa itu syirik jarang dibahaskan. Persoalan apa itu iman gagal difahami. Apabila tahu sebab, maka simptom-simptom jelas.

 

SOALAN

Bagaimana dikatakan jahil kerana masyarakat awam yang disesatkan oleh guru suuk yang mengajar mereka?

SYIRIK KERANA KEJAHILAN – SEJAUH MANA BOLEH DIKIRA SUATU KEUZURAN BAGI ORANG YANG JAHIL APABILA MELAKUKAN SYIRIK: KEUZURAN KERANA JAHIL, TIDAK SEDAR ATAU TERPAKSA

Tidak dinafikan kejahilan adalah keuzuran kerana:

1. Kejahilan
2. Tidak sedar
3. Terpaksa

KEUZURAN KERANA KEJAHILAN – PERNAH ATAU TIDAK DITEGAKKAN HUJAH KEPADANYA MELALUI GURU, WHATSAPP (MEDIA MASSA) ATAU INDIVIDU

Dalam apa sahaja hal kesyirikan, ia akan dinilai sama ada kejahilan. Ada dalam keadaan, mereka merasakan ia boleh dilakukan kerana mengambil pandangan guru. Hanya sahaja kena ingat perlu dilihat sama ada sudah ditegakkan hujah atau tidak. Pernahkah ada suara kebenaran, hujah, ditegur atau dinasihati kepada mereka?

DAKWAH ADALAH TANGGUNGJAWAB SEMUA PENUNTUT ILMU MENGIKUT KEMAMPUAN MASING-MASING

Ini yang sedang kita buat, dan ia juga tanggungjawab tuan-tuan semua. Mengingatkan orang-orang yang di bawah tanggungjawab seperti isteri, anak-anak atau keluarga. Yang pasti perbuatan syirik dan kufur tetap syirik dan kufur dan dikira salah. Jangan salah faham, kerana dia jahil maka perbuatannya tidak dikira kufur dan syirik. Persoalan sama ada orang itu jatuh kufur atau syirik dan ada keuzuran atau tidak, itu perbahasannya. Benda macam ini jangan diambil mudah, dilihat boleh selamat.

ORANG SESAT DAN JAHIL SERING MENYALAHKAN GURUNYA & AKHIRNYA MEREKA SALAHKAN SYAITAN. SYAITAN BERLEPAS DIRI KERANA SYAITAN TIDAK PERNAH PAKSA MEREKA UNTUK SESAT

Jangan lupa sebesar-besar dosa orang orang kafir hingga serendah-rendah kesesatan, akhirnya yang dipersalahkan adalah salahkan gurunya, gurunya pula salahkan guru atasnya, dan akhirnya orang akhir akan salahkan syaitan.

Syaitan akan jawab: “Aku tak paksa engkau”.

SEKALIPUN KEUZURAN TETAP ADA, TETAPI TIDAK SEMUDAH YANG DISANGKAKAN KERANA AL-QURAN JELAS DI DEPAN MATA UNTUK DIFAHAMI DAN DICARI KEBENARAN

Sekalipun keuzuran disebabkan jahil mungkin ada, tetapi ia tetap tidak dapat melepaskan dia dari perbuatan kufur itu. Tidak dinafikan dosa itu antara dia dan Allah sama ada alasan atau tidak. Kalau sudah diberi peringatan, lebih-lebih lagi ada media masa sekarang. Begitu juga hujah Al-Quran disebarkan dengan serata dunia. Dengan teknologi media massa, sesiapa yang boleh cari kebenaran dengan menuntut ilmu, dia boleh bertanya. Tinggal lagi dia rajin atau malas. Maka ini semua hujah ke atas semua manusia. Soal jahil atau tidak, ia terpulang masa dan keadaan yang menentukan kemudian.

KELOMPOK YANG MENOLAK KEBENARAN KERANA ‘LABEL WAHABI’ SEMESTINYA TIDAK MENDAPAT KEUZURAN KERANA MEREKA TIDAK PERNAH BERSUNGGUH MENGKAJI APA SEBENARNYA WAHABI DAN KEBENARAN YANG DIBAWA DENGAN DALIL YANG JELAS

Dalam soal menegakkan hujah yang menolak kelompok yang cuba hendak mendatangkan hujah. Ramai sahaja mengatakan ini golongan Wahabi. Saya kira ramai sahaja tidak akan terlepas dengan jawapan wahabi buruk. Maka, akan ditanya semula gerangan apa Wahabi ini? Kamu tidak mahu mendengar nasihat kerana dia Wahabi. Persoalan penting apa itu Wahabi? Jawab la persoalan itu. Masakan kamu mengungkapkan perkataan yang kamu tidak faham. Jadi, itu sudah tidak menyelamatkan. Apa jawapan lain…lagi soalan dan terus soalan. Ia bukan semudah memberi keuzuran tersebut disebabkan malas dan sambal lewa atas agama.

 ALLAH MAHA ADIL DAN DALAM MASA YANG SAMA SEKSAAN AMAT KERAS – BERUNTUNGLAH MANUSIA YANG BERSUNGGUH MENCARI & MENGKAJI KEBENARAN (QURAN & HADIS), DAN BUKAN TAKSUB KEPADA GURU DENGAN MENUNTUT ILMU TANPA DALIL YANG JELAS

Betul mendapat keuzuran jika Islam yang benar disampaikan kepadanya dalam keadaan yang buruk dan jahat. Tapi akhirnya, Allah akan tentukan dia ada keuzuran atau tidak. Allah maha adil, dalam masa yang sama Allah sangat berat dan pedih azabnya. Kita bersikap adil dan seimbang, dalam masa yang sama jangan diambil mudah kejahilan itu akan melepaskan dia daripada tanggungjawab dan azab.

 

 

Salurkan sumbangan anda kepada Surau:
No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)
SURAU AL HIDAYAH

Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di kumpulan whatsapp untuk perkongsian yang bermanfaat.

https://chat.whatsapp.com/3WSsUyGYpi08kWqCf0rtIx