KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL-BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (29 Disember 2017)

PERKARA KE- 59
Kata Imam Al-Barbahari: “Beriman dengan adanya Qisas pada hari kiamat antara makhluk, antara anak cucu Adam, antara binatang buas, makhluk pengganggu sehingga semut kecil Allah mengadili setiap makhluk itu. Mengambil hak penghuni syurga daripada penghuni neraka dan menyelesaikan hak penghuni neraka dengan penghuni syurga. Dan mengadili penghuni neraka dan syurga sebahagiannya dengan sebahagian yang lain”.

PERKARA KE- 60
Kata Imam Al-Barbahari: “Beriman semua takdir Allah, yang baik atau buruk, yang manis atau yang pahit. Allah mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh hambanya dan kemana akan berakhir. Mereka tidak akan terlepas daripada ilmu Allah. Tiada sesuatu yang ada di langit atau bumi kecuali telah ditentukan oleh Allah Taala.

Ketahuilah sesuatu yang ditakdirkan akan menimpamu, tidak akan meleset daripadamu. Apa yang ditakdir tidak menimpa, maka tidak akan menimpamu. Tidak ada pencipta selain Allah”.

PERKARA KE-61
Kata Imam Al-Barbahari: “Rela terhadap keputusan Allah”

SYARAH KITAB

PEMBALASAN (QISAS) DI AKHIRAT

Imam Al Barbahari menyebut tentang iman kita kepada hari akhirat. Dimana rincian keimanan terhadap hari akhirat iaitu kita beriman dengan hari pembalasan. Pembalasan itu adanya qisas iaitu hukuman timbal balik di padang mahsyar antara makhluk dan juga binatang. Mana-mana yang melakukan kezaliman maka akan diadili oleh Allah termasuk haiwan.

Firman Allah: “Dan dikala binatang buas dikumpulkan” (QS At-Taqwir: 5)

Hadis Nabi ﷺ: “Sehingga kambing yang tidak bertanduk akan mendapat keadilan daripada kambung yang bertandtuk” (HR Muslim)

SIAPAKAH ORANG YANG MUFLIS ?

Nabi bertanya kepada sahabat:Siapakah orang yang muflis? Sahabat berkata, ‘Orang yang muflis adalah orang yang tidak berharta. Baginda jelaskan, ‘Orang yang muflis di akhirat adalah mereka datang ke padang mahsyar dengan pahala setinggi gunung tetapi dia telah menzalimi si fulan, telah memukul si fulan, mencaci, mengumpat. Maka dia akan menjalani qisas dalam kezaliman pelbagai bentuk itu.” (HR Muslim)

PENGADILAN DI AKHIRAT MENGGUNAKAN ‘DOSA DAN PAHALA’

Di akhirat pengadilan manusia adalah dengan dosa dan pahalanya. Seseorang itu akan berikan pahala kepada orang yang dizaliminya. Pengadilan bukan dipukul semula atau mencaci semula, tetapi pengadilan dengan diberi pahala atau dia mengambil dosa orang yang dizaliminya. Maka orang yang dipukul akan mendapat pahala orang yang menzaliminya.

SETELAH HABIS PAHALA DIBERI, DOSA ORANG DIZALIMI AKAN DITANGGUNG

Apabila sudah tiada lagi pahala yang akan diberi, dia akan terpaksa mengambil dosa orang yang dizalimi pula. Akhirnya daripada datang dengan ganjaran pahala setinggi gunung, akhirnya tiada lagi pahala sebaliknya dosa yang bertimbun-timbun. Ini orang yang diistilah muflis oleh Nabi ﷺ hasil dari proses qisas yang dijalankan.

HAIWAN MENJADI TANAH SETELAH DIQISASKAN

Adapun haiwan tiada dosa dan pahala, sebaliknya diqisaskan melalui fizikal. Haiwan sesudah menjalani proses qisas akan dimatikan dan kembali menjadi tanah. Sebaliknya manusia sesudah qisas masing-masing akan menuju destinasi ke syurga atau neraka.

IKHLAS VS SYIRIK – SILAP FAHAM BERKENAAN IKHLAS

Perkara ke 60 dalam ikhlaskan amal perbuatan kerana Allah. Iaitu memastikan tiada sebarang bentuk kesyirikan atau penyekutuan. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Atau kita melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah dan dalam masa yang sama kerana benda yang lain juga. Mungkin ada tersalah sangka syirik ini ‘melakukan sesuatu selain kerana Allah’. Tetapi maksud yang utama adalah melakukan sesuatu kerana Allah dan juga yang lain.

MAKSUD SYIRIK

Sepertimana perkataan syarikat, ia bermula dari perkataan syirik. Ia bermaksud rakan-rakan sekutu. Dalam syarikat sendirian berhad minimum 2 orang. Kalau seorang kena daftar sebagai enterprise. Jadi dalam syarikat paling kurang dipanggil musyrik (bersekutu). Dalam melakukan amal ibadah, seseorang itu diwajibkan mengikhlaskan diri kerana Allah semata-mata. Allah tidak akan menerima sesuatu amalan kecuali ia dilakukan ikhlas untukNya, dan tanpa ada sebarang penyekutuan. Kalau ada penyekutuan Allah akan menolak dan tidak akan menerimanya.

Nabi ﷺ bersabda: “Firman Allah, ‘Barangsiapa melakukan sesuatu dengan dia mensyirikkan dengan sesuatu yang lain, aku akan tinggalkan dia dengan sekutunya’”(HR Muslim)

AMALAN TANPA IKHLAS ADALAH SIA-SIA

Ikhlas lawannya syirik, ittiba’ lawannya bidaah. Maka dalam ikhlas hendaklah pastikan tidak berlaku syirik. Kalau seseorang itu berlaku syiriknyanya ia tidak diterima amalan sepertimana Allah tidak terima amalan bidaah, bahkan seseorang itu layak diazab kerana perbuatannya. Jika seseorang itu menghabiskan seluruh hidup dengan melakukan amalan tanpa mengikhlaskan kepada Allah, maka akhirnya amalan itu semua akan hancur berterbangan. Rugi segala rugi mereka yang melakukan Allah tanpa ikhlas.

ORANG KAFIR IKHLAS KEPADA ALLAH TETAPI DENGAN SEKUTU ADALAH SIA-SIA

Orang-orang kafir adalah orang yang menyekutukan Allah. Kalangan orang Yahudi dan Nasrani, mereka ikhlas kepada Allah tetapi juga menyekutukannya dengan sembahan yang lain. Mereka melakukan amalan kebajikan, tetapi yakinlah kerana perbuatan mereka mensyirikkan Allah amalan akan hancur berterbangan di akhirat kelak. Demikian juga seseorang yang melakukan amal ibadah, menghabiskan masa, tenaga dan harta tetapi melakukan tanpa mencontohi Nabi ﷺ, dia lakukan tokok tambah. Hendaklah kita yakin amalan itu semua tertolak di sisi Allah.

AMALAN IKHLAS BESERTA BIDAAH ADALAH SIA-SIA

Hadis Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang melakukan seuatu amalan tanpa mengikut cara kami, maka ia tertolak”. (HR Muslim)

Walau sehebat mana pun amalan tanpa dia ikut contoh Nabi, maka ia tertolak. Hendaklah kita beringat apabila lakukan sesuatu amalan hendaklah ikhlas dan ittiba’ dengan mengikut contoh Nabi ﷺ.

BUDAYA GAMBAR DAN SELFIE MEROSAKKAN AMALAN

Pada zaman sekarang dalam seseorang masing-masing berkejar melakukan amal kebaikan, kita diuji budaya mengambil gambar atau budaya selfie. Alangkah meremangnya bulu roma, apabila dibuat ketika mengadakan ibadah umrah di hadapan kaabah. Mereka membuka handphone dan posing di hadapan rumah Allah, lalu di ambil gambar begini dan begitu. Secara peribadi melihat perbuatan itu tidak wajar kerana boleh mengundang implikasi buruk. Paling tidak mencacatkan amalan dan pahala perjalannya ke Mekah untuk melakukan ibadah umrah dan tawafnya.

Jangan lupa bahawa apabila kita pergi ke Mekah atau Madinah, sama ada kita sedar atau tidak, apabila pergi ke Mekah atau Madina adalah berbeza dengan pergi ke tempat lain. Kita dilarang musafir atas tujuan ibadah kecuali kepada 3 tempat iaitu Masdijilharam. Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa. Maksudnya apabila kita pergi musafir, ia diberi pahala setiap langkah kerana perjalanan itu adalah ibadah. Segala susah senang, perbelanjaan itu semua akan terjamin ganjarannya. Maka dalam ibadah perlu ikhlas. Saya lihat perbuatan mengambil gambar dikhuatiri akan mencacatkan ibadah di sana.

‘SELFIE DI RUMAH ALLAH’ DAN SYARAT AMALAN DITERIMA

 Analogi perbuatan mengambil gambar adalah seperti ketika seorang raja di kerusi singgahsana dalam masjlis rasmi seperti masjid pingat kebesaran. Pernah atau tidak orang hendak mengambil pingat, sambil dia jalan dan membelakangkan raja lalu berselfie dengan baginda? Kenapa tidak boleh buat macam itu sedangkan ia suatu saat paling bersejarah. Kalau dia buat macam tu, dia mungkin tidak nampak siang atau pingat-pingat akan dicabut. Ini adalah celaan dan tindakan akan dikenakan. Ini dikira perbuatan menghina. Tiada orang terfikir pun untuk buat. Maka bagaimana kalau dibuat selfie depan rumah Allah? Sekalipun tiada persamaan makhluk dengan Allah. Tetapi dari segi penghormatan dan keagungan dan rasa malu, Allah yang maha layak diberi rasa malu.

Firman Allah: “Barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (ikhlas) dalam keadaan dia berbuat baik (ittiba’). Maka pahalanya tersimpan di sisi Allah” (Baqarah: 112)

Ada 2 syarat yang disebut dalam ayat di atas supaya terangkat amalan adalah ikhlas dan ittiba’.

RELA TERHADAP KEPUTUSAN ALLAH DAN MEMAHAMI QADA’ & QADAR

Ia melibatkan iman kita terhadap Qada’ dan Qadar. Kita meyakini bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu dan Dia telah memutuskannya sejak azali, menulisnya di dalam kitab Lauth Mahfuz, mewujud dan menciptakan berdasarkan kehendakNya. Betapa pentingnya kita beriman dengan qada’ dan qadar kerana ia menjadi rahsia Allah Taala dalam alam ini. Dan juga kita dapat memahami kebijaksanaan dan kebesaran Allah Taala apabila kita beriman dengan qada’ dan qadar.

MEMAHAMI QADA’ & QADAR ADALAH SUATU YANG AMAT BERHARGA

Bagi orang yang dapat memahami rahsia dan kebesaran dan kebijaksanaan Allah Taala, maka dia telah mendapat kefahaman yang cukup berharga. Walau apapun seorang itu tetap wajib beriman dengan qada’ dan qadar sama ada dia memahami hikmah disebaliknya atau tidak.

‘KUNCI KETENANGAN’ MANUSIA ADALAH BERIMAN DENGAN QADA’ DAN QADAR

Antara kunci ketenangan seseorang itu adalah dia beriman dengan qada’ dan qadar. Antara sebab seorang itu merasa berasa tidak tenang dan tenteram kerana kurangnya iman kepada qada’ dan qadar. Demikian juga antara rahsia kekuatan, keyakinan dan kebahagian seseorang adalah yakin dan teguh dengan qada’ dan qadar. Dalam kalangan orang-orang kafir apabila mereka hidup tanpa iman, mereka yakin bahawa dunia ini diciptakan tanpa apa-apa tujuan yang besar. Kehidupan hanya ibarat makan minum dan apabila tiba masa, manusia akan mati.

‘ORANG YANG KECEWA’ DISEBABKAN TIDAK MEMAHAMI QADA’ & QADAR

Tidak yakin dengan qada’ dan qadar berkesudahan dengan kekecewaan. Bahkan seseorang itu menjadi tidak waras dan tidak keruan, kemuncaknya mereka membunuh diri akibat melihat dunia tiada apa-apa hikmah. Maka betapa perlunya kita menghayati, muhasabah dan meneliti segala apa yang berlaku pada diri dan sekeliling. Segala sesuatu berlaku dengan ketetapan dan izin Allah, berlaku ada hikmah dan sebabnya. Maka kebahagiaan segala kebahagiaan adalah kepada orang yang memahami apa yang berlaku pada diri dan sekelilingnya.

TIADA ‘KEBETULAN’ DALAM QADA’ & QADAR

Apabila sesuatu musibah yang berlaku pada diri dan sekeliling, dia memahami dan bertindak dengan sewajarnya. Berbanding dengan orang-orang yang tidak faham, dia merasakan semuanya kebetulan. Merasakan perkara itu berlaku secara semulajadi dan bukan qada’ dan qadar, maka dia tidak memahami dan tidak bertindak sewajarnya.

5 PERKARA ASAS BERKENAAN BERIMAN DENGAN QADA’& QADAR

1. ILMU ALLAH
Allah mengetahui segala sesuatu sejak azali sebelum sesuatu itu berlaku.

 2. TAKDIR TELAH TERTULIS SEJAK DI LAUTH MAHFUZ
Allah telah menulis segala sesuatu di dalam Lauth Mahfuz (suratan takdir) sebelum sesuatu itu wujud dan sedang berlaku.

Firman Allah: “Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpa di bumi atau yang menimpa kamu melainkan telah sedia ada dalam kitab sebelum kami menjadikannya” (Al Hadid: 22)

3. SEGALA BERLAKU DENGAN KEHENDAK DAN IZIN ALLAH

Segala sesuatu itu merangkumi keimanan, kekufuran, ketaatan, kemaksiatan, kebaikan atau kejahatan.  Ia berlaku dengan kehendak dan izin Allah. Ini dinamakan ketetapan Al-Kauniyah.

KETETAPAN ALLAH TERBAHAGI KEPADA 2

 i. KETETAPAN ALAM (Kauniyah) – Segala sesuatu berlaku dengan izin Allah, tetapi bukan semua yang berlaku Allah suka.

 ii. KETETAPAN SYARAK – Apa yang Allah suka disyariatkan, tetapi bukan semua Allah syariatkan berlaku.

SEGALA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN ADALAH ‘UJIAN UNTUK MANUSIA’

Kenapa Allah jadikan semua perkara buruk, syirik, bidaah atau kejahatan? Sebagai ujian supaya dapat dibezakan orang yang taat dan derhaka. Kalau dalam dunia hanya ada ketaatan dan kebaikan, maka tidak ada ujian. Seseorang itu tidak dapat dibezakan orang yang bersungguh dalam ketaatan atau yang leka. Umumnya dunia adalah tempat ujian.

4. ALLAH TELAH MEWUJUDKAN SEGALA SESUATU

Begitu juga dengan perbuatan manusia, Allah yang mewujudkan sekalipun zahirnya manusia yang melakukannya.

Firman Allah: “Allah adalah pencipta segala sesuatu” (Az Zumar: 62)

Firman Allah: “Dan Allah yang mencipta kamu dan segala apa yang kamu lakukan.” (As-Sofa: 96)

Allah menciptakan kebaikan dan keburukan. Adakah beerti bahawa kebaikan itu Allah yang jadikan dan keburukan Allah yang jadikan? Ya

Adakah Allah buat yang baik-baik sahaja dan syaitan bukan buruk-buruk sahaja? Tidak

Adakah kita boleh nisbahkan Allah itu baik, Allah buat wujudkan kejahatan maka Allah buruk sebagaimana dinisbahkan manusia buat baik dikira baik dan buat jahat dikira jahat? Tidak

Sekiranya kita beriman bahawa Allah itu mewujudkan kebaikan dan kejahatan, adakah dikira Allah pembuat kejahatan? Tidak

KENAPA SEGALA KEJAHATAN TIDAK NISBAHKAN KEJAHATAN KEPADA ALLAH?

Satu berhala dijadikan. Ia berlaku dengan kehendak dan ketetapan Allah, sedangkan berhala itu buruk. Adakah beerti Allah melakukan suatu yang buruk?Tidak.

Ini kerana segala apa yang datang dari Allah adalah kebaikan (termasuk zahirnya pada pandangan kita adalah keburukan, kejahatan, kebidaahan, kesyirikan atau kederhakaan. Allah hanya dinisbahkan kebaikan-kebaikan sahaja. Biarpun pada sudut pandang kita sesuatu itu adalah kejahatan atau keburukan, ia hanyalah sudut pandang manusia. Di sisi Allah keburukan dan kejatahan itu diwujudkan kerana hikmah dan kebijaksaan. Maka, hikmah atau kebijaksanaan Allah mewujudkan keburukan ini menjurus kepada kebaikan.

‘BURUK PADA PANDANGAN MANUSIA’ TETAPI ADA HIKMAH DISEBALIKNYA

Allah sama sekali tidak menjadikan perkara buruk kerana kezaliman. Ia buruk pada pandangan manusia tetapi bagi Allah ada hikmah dan rahsia disebaliknya. Maka berhala itu buruk bagi manusia tetapi Allah menjadikannya dengan hikmah dan kebijaksanaan iaitu sebagai satu bentuk ujian.

HIKMAH KEWUJUDAN PERKARA BURUK SEPERTI BERHALA

Manusia yang mengkufuri berhala akan dapat kebaikan dan pahala. Adapun menyembah berhala dia gagal dalam ujian Allah. Menyembah berhala itu adalah DENGAN PERBUATAN MANUSIA ITU SENDIRI, ia tertelak dengan kehendak dan ketetapan Allah Taala.

Maka qada’ dan qadar ada tersimpan rahsia dan kebesaran dan kebijaksaan Allah taala. Cuma sejauh mana kita dapat memahaminya atau tidak.

5. SEORANG HAMBA ITU HENDAKLAH REDHA DENGAN QADA’ DAN QADAR

Kenapa manusia perlu redha dengan musibah?

i. menambahkan pahala
ii. penghapus dosa
iii. ada hikmah sebaliknya.

TIADA KEZALIMAN OLEH ALLAH TAALA KEPADA MAKHLUKNYA

Hadis Nabi ﷺ: “Firman Allah, ‘Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku juga telah menjadikannya haram bagi kalian, maka janganlah kalian saling berbuat zalim’.” (HR Muslim).

Pada zahir mata kasar ia buruk tetapi jika diperhalusi ada kebaikan yang tersembunyi disebaliknya. Soalnya sama ada kita sedar atau tidak.

Apabila berlaku musibah seorang mukmin tidak mengeluh dan tidak menzahirkan apa-apa yang menampakkan ketidaksabaran. Menahan lisan dari mengungkapkan perkataan-perkataan yang berupa celaan. Menahan anggota tangan kaki dari memukul-mukul, menghentak-hentak dan sebagainya. Demikian asas iman kita terhadap qada’ dan qadar.

SOALAN-SOALAN

1. Apabila kita mendapat berita gembira, bolehkan diceritakan kepada orang lain? Adakah ia termasuk dalam riak?

SEGALA BERMULA DARI ‘TUJUAN HATI’

Perbuatan ini kembali kepada hati jantung atau tujuan kita melakukan perbuatan itu. Apabila kita melakukan suatu perbuatan dan kita ceritakan kepada orang lain, adakah ia riak? Ia bergantung tujuan.

Sekiranya menceritakan kepada orang lain atas dasar membangga diri, menunjuk-nunjuk, maka itu adalah riak. Tetapi kita menceritakan atas dasar menzahirkan kegembiraan, ia dibolehkan.

CERITAKAN NIKMAT YANG ALLAH KURNIAKAN

Firman Allah: “Dan adapun nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu, ceritakan ia”  (Ad-Dhuha: 11)
Maka apabila kita dapat suatu nikmat, kita ceritakan kepada orang lain, terutama ibu bapa.

2. Sejauh mana ‘uzur kerana jahil’ yang Allah berikan?

 Kejahilan sentiasa sinonim dengan manusia. Uzur kejahilan sentiasa mengelilingi manusia, cuma sejauh mana usaha yang diambil untuk mencari hidayah, menuntut ilmu bagi menghilangkan kejahilan. Adakah dia tergolong dari orang ada keuzuran kerana tidak mendapat ilmu setelah berusaha mencari atau tergolong orang yang jahil disebabkan lalai dan malas menuntut ilmu?

 TIADA KEUZURAN BAGI YANG ‘TIADA USAHA MENCARI’

Seseorang berusaha untuk cari kebenaran atau lalai leka dan bergelumang kejahilan. Ada orang macam itu, dia tahu jahil tapi tidak ambil inisiatif mencari. Maka dia tidak ada keuzuran dan akan dihisab. Berbanding jika ia jahil sedangkan telah berusaha menuntut ilmu, bertanya untuk dapatkan kebenaran.

SUDAH BERILMU TETAPI MENGINGKARINYA ADALAH MUSIBAH

Dari satu sudut lain pula, antara orang yang belajar dan tak belajar, jika seseorang itu belajar tetapi TAK AMAL dan TAK BERAKHLAK, orang yang tak belajar lebih bagus daripadanya. Ini kerana paling tidak orang yang tak belajar itu ada keuzuran TAK TAHU. Berbeza dengan yang sudah belajar; sudah tahu tetapi tetap tak mahu beramal, akhlaknya tetap tak berubah.

Sekadar peringatan buat kita yang sudah belajar.

3. Bagaimana jalan ke syurga dan terhindar dari api neraka seperti 72 golongan umat Islam?

PERLU USAHA UNTUK KE SYURGA DENGAN ‘MENUNTUT ILMU’

Hadis jelas. Untuk tergolong dari orang yang selamat dari api neraka,  seseorang itu perlu mengikut sunnah Nabi dan sahabat. Semestinya ia memerlukan ilmu. Untuk selamat dari api neraka bukan sesuatu yang mudah, bukan kebetulan atau tidak semena-mena terselamat dari api neraka. Ia semestinya perlu kepada ilmu.

‘BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN NABI DAN SAHABAT’ UNTUK JAUHI NERAKA

Untuk selamat dari api neraka dengan usaha dan kegigihan, menuntut ilmu, berpegang teguh dengan sunnah Nabi ﷺ. Bagaimana dengan 72 golongan akan masuk neraka?

Ada  perinciannya. Mereka yang bergelumang dengan bidaah. Dan mereka yang bergelumang dalam bidaah bukan semua satu tahap. Sebaliknya ada yang melakukan bidaah dalam keadaan degil dan ada yang jahil. Jika bergelumang dalam bidaah dalam kejahilan, adakah kerana lalai atau mereka telah berusaha mencari kebenaran. Dari kalangan mereka yang telah berusaha tetapi tidak bertemu hidayah, kejahilan itu keuzuran. Moga Allah selamatkan mereka di akhirat.

4. Kenapa Allah timpakan musibah kepada seseorang?

Antara hikmahnya adalah Allah mahu meninggikan darjat seseorang. Atau jika Allah mahu menempatkan dirinya di tempat yang tinggi di syurga tetapi ia belum layak berdasarkan amalannya. Maka Allah tambah pahala dengan menimpakan musibah supaya dia sabar dan redha. Jadi dari situ dapat tempat yang lebih baik.

5. Bagaimana hujah dikira sudah tertegak?

Kita sampaikan sunnah dan orang itu menolak dengan alasan percaya kepada seseorang lebih berautoriti. Sama orang ini tidak serius atau berbolak balik. Perkataan hanya berbentuk mainan, tidak mahu mengkaji dan tidak bersungguh di atas kebenaran (hujah quran dan hadis). Dia akan menolak segala mampu. Orang ini jelas akan diperkirakan oleh Allah kerana dia tidak jujur. Dia lebih untuk mencari jalan keluar, berhelah untuk menolak kebenaran yang disampaikan.

Adapun jika dia meyakini dari pihak-pihak yang dipercaya, dan apa yang kita sampaikan dan tidak sampai akalnya dan menyalahi keyakinan. Dia benar-benar yakin apa yang kita sampaikan salah kerana syubahat-syubahat. Maka orang ini ada keuzuran kerana kejahilan dan kekeliruan. Kita bersikap adil.

KAEDAH BERHIKMAH DALAM BERDAKWAH (NASIHAT MENASIHATI)

Di sini pentingnya apabila kita hendak menyampaikan kebenaran, hendaklah mencari jalan yang terbaik. Jangan sekali-kali menyangka jika kita sampaikan, maka orang itu dikira sesat kita hukum ahli maksiat, bidaah atau kafir. Barangkali cara kita salah, tidak jelas, tambahkan kekusutan, cara kita yang tidak betul membuatkan orang tu menolak dari menerimanya.

Hujah  ditegakkan bukan dengan hanya sekadar disampaikan. Hujah dikira tertegak apabila kebenaran disampaikan dengan cara membolehkan orang itu faham. Apabila tetap menolak maka ia layak mendapat ancaman. Bukan sekadar pakai whatsapp sahaja, bahkan orang itu tidak kenal kita atau sejauh mana kejujuran kita. Sampaikan kebenaran perlu kebijaksaan dan ilmu.

Adakalanya kita bukan orang yang sesuai. Contoh seorang mufti, adakah seorang dia akan mendengar entah sesiapa yang bercakap kepadanya. Lalu kita harap orang itu tunduk dan menerima? Ia salah. Tentu mufti akan mendengar orang yang dipercayai dan dihormati. Maka perlu memilih cara bijaksana iaitu penasihat bukan orang sebarangan juga.

Ibubapa bukan mudah untuk terima cakap anak. Semestinya anak pandai-pandai, nak tunjuk pandai dan sebagainya. Maka perlu ada cara hikmah. Mungkin bukan dia sendiri yang sampaikan tetapi dengan dipercayai atau orang yang dihormati.

Maka ada perincian dalam hal dakwah dan nasihat menasihati.

 

Salurkan sumbangan anda kepada Surau:
No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)
SURAU AL HIDAYAH

Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di telegram untuk perkongsian yang bermanfaat. 

https://t.me/KompilasiDanKajianSunnah

 

 

 

 

Advertisements