Syarah Kitab Usul Sunnah Al-Imam Bin Hanbal Oleh Ustaz Idris Sulaiman (18 November 2017)

PENGENALAN

Kitab Syarah Ushul Sunnah adalah karangan Al-Imam Ahmad Bin Hanbal adalah penghulu sunnah (Sunnah Wal Jamaah) iaitu seorang murid kepada Imam As-Syafie rhm. Kitab Ushul Sunnah ini juga dikenali sebagai Prinsip Utama Sunnah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

PERKARA 8

Kata Imam Ahmad: “Meninggalkan perdebatan dan berbantah-bantahan serta pertikaian dalam urusan agama”

Imam Ahmad melarang kita supaya jangan banyak berbantahan atau berdebat kecuali dalam keadaan di mana kita rasa ada faedah atau kita merasakan orang tersebut mahu mencari kebenaran. Maka layak untuk kita bertukar fikiran, menjawab pertanyaan-pertanyaan dan kemusykilan bagi menjelaskan kebenaran.

DEBAT HANYA DIBOLEHKAN DALAM KEADAAN TENANG DAN BAIK

 Firman Allah: “Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik” (QS An-Nahl: 125)

Kalau terpaksa berdebat, perlulah memilih cara yang terbaik. Ditegaskan perkara ini kerana lazimnya berdebat boleh terpengaruh dengan emosi, marah dan hilang kawalan diri hingga tinggi suara dan sebagainya. Cara berdebat perlu dengan terbaik, tenang, jauh sekali dengan mengangkat suara dan sebagainya.

MENCARI KEBENARAN DENGAN BERDEBAT AKAN MEROSAKKAN AGAMA

Jauh sekali berdebat dengan orang yang sekadar untuk menyanggah hujah dengan apa cara sekalipun dengan tujuannya mahu menang. Seringkali kita mendengar ada program debat. Oleh itu perlu diketahui sejauh mana maslahat program debat tersebut. Jika ada pihak yang sengaja untuk menegakkan hujahnya sahaja atau bukan dengar hujah. Mangsanya adalah hadirin yang tidak dapat membezakan antara ular atau kayu api, iaitu merujuk kepada ‘orang yang mencari kayu api pada waktu malam’. Itulah keadaan masyarakat awam yang hadir dalam program debat. Kita memangsakan mereka dengan memberi peluang orang yang membawa kebatilan untuk menyampaikan kebatilan mereka. Maka ini bukan cara yang debat mengikut syarak.

SIFAT MUSYRIKIN ADALAH MEMECAHBELAHKAN AGAMA DENGAN BIDAAH (AJARAN BARU)

Firman Allah: “Dan janganlah kamu termasuk orang yang menyekutukan Allah, iaitu mereka memecahbelahkan agama mereka dan berpuak-puak” (QS Ar-Rum: 31-32)

Sikap orang musyrikin adalah mereka memecahbelahkan agama dengan mengubah ajaran nabi mereka, membuat tafsiran baru, mentafsirkan kitab ikut selera sendiri. Tentu sahaja akan menyebabkan perpecahan kerana masing-masing ikut akal atau hawa nafsu. Sedangkan tiada usaha untuk mencari titik pertemuan atau kembali kepada kebenaran (Allah dan RasulNya). Itulah punca perpecahan dan akhirnya menjadi berpuak-puak.

MUSYRIKIN SESAT KERANA TIDAK KEMBALI KEPADA ASAS AGAMA IAITU QURAN & HADIS

Sifat orang musyrikin adalah memecahbelahkan agama adalah dengan cara mengadakan pemikiran dan amalan baru dalam agama. Demikian juga sifat berpuak-puak seperti mendakwa ‘puak aku betul dan puak engkau sesat’. Tiada usaha untuk menarik orang kepada kebenaran dan mencari titik pertemuan. Dakwah Islam adalah apabila kita mengajak orang dan bukan menolak orang.

Sifat musykrin suka berbantahan dan berdebat seperti kaum Bani Israel dengan nabi Musa as. Adapun kaedah orang Islam dalam perselisihan adalah dengan merujuk firman Allah, ‘Jika kamu berselisih dalam apa sahaja perkara, maka kembali Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah)’.Jika perlu berdebat perlu kembali kepada dalil.

BEZA PERSELISIHAN SALAF & KHALAF

Perbezaan antara kalangan para sahabat (generasi salaf) dan orang yang datang kemudian (generasi khalaf) adalah para sahabat adalah dalam usaha untuk mereka mencari titik pertemuan (kebenaran). Kita lihat betapa ramai para sahabat apabila dijelaskan kebenaran, ‘Aku ada dalil dari Rasulullah’ lalu diperdengarkan hadis itu, maka habis terus perselisihan itu.

Bagaimana perselisihan di kalangan khalaf iaitu generasi kemudian hingga ke hari ini? Ulamak kata usaha generasi khalaf tertumpu dan sedaya upaya untuk mengekalkan perselisihan berikut dan bukan mencari kebenaran atau titik pertemuan.

ANCAMAN BAGI ORANG YANG SUKA BERDEBAT

Firman Allah: “Tidak ada yang memperdebatkan ayat-ayat Allah kecuali orang-orang kafir” (QS Al-Mukmin: 5)

Ini adalah ancaman mereka yang apabila dikemukan dalil ‘Firman Allah dan Sabda Rasulullah’ tetapi masih berdegil. Perbuatan mahu terus berdebat menunjukkan seseorang itu ragu-ragu, bahkan tidak mahu terima firma Allah dan Sabda Rasulullah. Mereka memberi banyak alassan.

Contoh permasalahan:
Perlukah perempuan bermusafir bersama mahram? Sehingga hari ini berselisih.

Hadis Nabi : “Tidaklah seorang perempuan itu bermusafir kecuali bersama mahram.” (HR Bukhari, Muslim dll)

Hadis jelas mewajibkan wanita bermusafir dengan mahram. Dukacitanya ada perselisihan sedangkan hadisnya cukup jelas. Ada sahaja pandangan  seperti ‘Itu zaman dulu, zaman padang pasir dan banyak perompak. Hari ini sudah aman, perompak takde, highway dan bagus.’  Maka berlakulah berbantah bantahan apabila ada sikap seperti ini kerana tidak terima dalil apabila dikemukakan kepadanya.

KEHIDUPAN MUSLIM PERLU FOKUS DALAM AGAMA & BERIBADAT KEPADA ALLAH

Imam Ahmad kata: “Meninggalkan berbantah-bantahan dalam urusan agama”

Maksud disini dalam menjalani kehidupan sebagai muslim. Itulah tujuan hidup.

Firman Allah: “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu” (QS (Az-Zariyat: 56)

RASUL DIUTUSKAN UNTUK MENGAJAR CARA MENYEMBAH ALLAH

Tumpuan kita adalah bagaimana kita hendak menyembah Allah. Persoalan di sini adalah tentang bagaimana cara kita sembah Allah. Adakah ada ruang untuk kita tanya bagaimana kita nak sembah Allah? Barangkali Allah mahu kita menyanyi-nyanyi untuk Dia? Barangkali Allah nak suruh kita makan seperti sebahagian agama? Tidak.

Maka cara sembah  rasul diutuskan untuk mengajar kita. Kita diajar sembah Allah dan tiada ruang untuk menggunakan akal atau ijtihad semata-mata. Pendek kata, dalam kita beragama perlu kembali kepada Al-Quran dan Hadis.

DEBAT MEMESONGKAN AKIDAH MUSLIM DAN MENJADIKAN SESEORANG RAGU-RAGU DALAM AGAMA

Apa masalah dengan debat sampai Imam Ahmad kata ‘Tinggalkan debat’? Antara kepincangan berdebat adalah masing-masing nak tegakkan benang basah. Semua nak kata ‘aku yang betul’. Maka dalam beragama bukan soal kita mahu menang atau kalahkan lawan. Sepatutnya tumpuan kita adalah apa yang Allah dan Rasul kata. Apabila cara yang digunakan adalah untuk berdebat dan bertekak dan akhirnya ia menyimpang dari tujuan dan matlamat asal iaitu mencari kebenaran.

Kata ulamak: “Orang mencari kebenaran dengan berdebat adalah orang yang ragu-ragu dalam agamanya”

DEBAT SINONIM DENGAN CARA KAFIR LAKNATULLAH

Sifat ragu-ragu inilah yang menyebabkan seseorang itu berdebat kerana nak tengok apa hujah lawan. Perkara ini biasa dilihat di Barat iaitu menekankan ‘debate’. Ia sangat penting dalam pola pemikiran barat kerana dengan cara itu mereka boleh mengenalpasti sesuatu. Untuk lihat hujah pihak lawan dan lihat apa kekurangan pada kita. Itu kaedah orang kafir. Sedangkan kita orang Islam untuk cari kebenaran kita ada Allah dan Rasul. Berbanding dengan debat, siapa yang petah dan bijak berkata-kata dia akan menang. Boleh sahaja orang petah berdebat menang, tetapi ‘Si alim’ kalah kerana tidak pandai berkata-kata.

DEBAT HANYALAH TUGAS ULAMAK, MANAKALA PENUNTUT ILMU PERLU BERTANYA & MENGKAJI

Firman Allah: “Bertanyalah kepada Ahli Zikir (Ilmu) jika kamu tidak tahu”

Sebagai muslim tumpuan kita hanya mencari dalil daripada quran dan hadis. Panduan untuk orang muslim adalah menuntut ilmu dan bukan berdebat. Berdebat adalah jika hendak tegakkan hujah ke atas orang lain. Tetapi kalau kita jahil, adakah syarak suruh kita berdebat? Tidak, sebaliknya perlu tanya ulamak.

SIFAT SUKA DEBAT MEROSAKKAN AGAMA & AKIDAH SESEORANG MUSLIM

Hadis Nabi : “Tidaklah suatu kaum menjadi sesat sedangkan setelah sebelumnya mereka di atas petunjuk melainkan mereka ada sifat suka berdebat.” (HR Tirmizi, Ibn Majah)

Ini bahaya jika seseorang itu terbawa dengan hawa nafsu. Daripada mencari kebenaran kepada mencari sesuatu yang mencari selera. Contohnya, ‘perlunya mahram jika perempuan ingin bermusafir’. Kalau seorang yang cari kebenaran, apabila mendengar sabda Nabi ﷺ dia akan berhenti di situ. Tetapi jika orang sudah dengar hadis, nauzubillah tidak menepati citarasa dan hawa nafsunya, jangan terkejut dia akan bangkitkan syubahat dan kemusykilan. Tujuannya nak lari dari apa yang ditetapkan oleh syarak.

AKHLAK BURUK ADALAH SUKA BERDEBAT & KERAS

Hadis Nabis : “Orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang paling keras membangkang (berdebat).” (HR Bukhari dan Muslim)

Orang macam ini tidak pernah mengaku kalah. Ini bukan sifat seorang muslim, sebaliknya sifat muslim adalah suka cari kebenaran. Kalau dia ada dalil, dia berusaha menyampaikan kepada orang lain. Kalau tidak tahu dia sedar apa yang dalil dan hujah yang dia ada. Dia akan kaji dan tanya kepada orang lain. Jika jumpa dalil terus terima.

SIFAT MUSLIM YANG BAIK HANYA TAASUB DENGAN KEBENARAN (QURAN & HADIS)

Kata ulamak: “Kebenaran adalah barang tercicir setiap seorang mukmin”

Benda yang kita paling sayang seperti handphone tercicir dan pastinya akan jadi serba tak kena. Andaikata tiba-tiba orang jumpa dan pulangkan kepada kita, pastinya kita terus ambil tanpa berbantahan.

 DEBAT MELAHIRKAN SIFAT RAGU-RAGU DALAM AGAMA

Umar Abdul Aziz kata: “Barangsiapa yang jadikan agamanya sebagai bahan perdebatan, maka dia akan banyak berpindah-pindah”

Syubahat-1: ‘Allah dimana? Bincangkan’

Bunyi macam manis tetapi sebenarnya membuka malapetaka. Kebenaran itu kita tanya kepada ahlinya, bukan untuk dibincang atau berdebat. Maka, dia akan berpindah dan ragu-ragu.

Syubahat-2: ‘Adakah batal jika sentuh antara lelaki dan perempuan? Bincangkan’

Ada juga jawapan, di Malaysia batal tetapi di Mekah tak batal sebab tukar mazhab. Inilah dikatakan berpindah-pindah ‘sekejap batal dan sekejap tak batal’.

Syubahat ke-3: ‘Adakah haram jika menghisap rokok?’

Ada ustaz jawab wajib jika ia menjadikan cara kita rasa tenang. Ini yang dikatakan kalau orang mencari agama dengan berdebat. Akhirnya kita hidup sentiasa dalam keraguan.

AGAMA JELAS DAN TIADA KERAGUAN DI DALAMNYA

Dalam agama tidak ada ruang untuk kita meragui. Kalau nak percara sesuatu, boleh tak kira percaya dan juga ragu-ragu? Itu satu benda yang kontradik. Percaya tapi ragu-ragu. Dalam perkara agama atau akidah tidak boleh ragu-ragu. Tidak mungkin siang dan malam bercantum. Maka demikian tidak mungkin kita percaya dan dalam masa yang sama kita ragu-ragu. Demikian juga dalam amal ibadah kita, kita kena dalam keadaan yakin. Contoh dalam masalah lelaki perempuan bersentuh. Perlu dicari penyelesaian. Tidak boleh bersandar dengan perkataan ‘ulamak khilaf’. Inilah kesan berdebat, kesan bincangkan. Dan akhirnya jadi keliru. Jika seseorang muslim sekejap batal dan sekejap tak batal, ini adalah kehidupan yang tidak dibanggakan.

DALAM AKIDAH (AGAMA) TIADA RAGU-RAGU, TIDAK PASTI ATAU SANGKA-SANGKA

Dalam akidah kena yakin. Akidah adalah keyakinan yang kuat. Ulamak kata dalam ibadah perlu yakin, paling tidak adalah sangkaan yang kuat. Tidak bolah sangka-sangka (50-50) iaitu ragu-ragu. Dalam amal ibadah tidak boleh kita amalkan dengan ragu-ragu. Pokok utama dalam agama jauhkan sikap ragu-ragu, tidak pasti, sangka-sangka dan sebagainya.

Seorang ulamak zaman tabiin berkata kepada sorang yang mahu berdebat dengannya.

Kata Hassan Al Basri rhm: “Aku mengetahui agama aku. Jika kamu telah menghilangkan agamamu, maka carilah ia”

Maksudnya beliau telah yakin dengan agamanya dan tidak perlu nak berdebat dengan sesiapa untuk lihat siapa yang betul. Maka, tiada ruang untuk berdebat kerana yakin agama telah betul. Tentu sahaja apabila yakin sesuatu mesti dengan dalil. Kalau yakin kosong adalah tidak boleh. Keyakinan perlu berdiri di atas asas yang kukuh. Jika ragu dengan sesuatu kita tanya kepada ahlinya.

PERKARA 9

Kata Imam Ahmad rhm: “Sunnah adalah pentunjuk Al-Quran. Dalam Sunnah tiada qias”

Jelas Sunnah adalah hadis Nabi ﷺ. Hadis Nabi ada tiga jenis iaitu:

i. Kata-kata (Sunnah yang paling kuat
ii. 
Perbuatan
iii. Perakuan

Semuanya dipanggil hadis tetapi bezanya adalah bentuknya.

NABI MUHAMMAD DITUGASKAN UNTUK ‘MENERANGKAN’ AL-QURAN

Firman Allah: “Dan kami turunkan kepadamu Al-Quran agar kamu (Muhammad) menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (An- Nahl: 44)

Ada 2 mesej dalam ayat diatas ialah:

1. ‘Kami telah diturunkan oleh kepadamu (wahai Muhammad)’bermaksud Al-Quran

2. ‘Agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka’bermaksud Sunnah

Kita simpulkan bahawa Quran dan Hadis saling memerlukan antara satu sama lain. Ia bergandingan seperti ‘pasangan kembar yang tidak boleh dipisahkan’. Al-Quran perlu difahamkan ikut hadis. Golongan anti hadis atau Quraniyun menolak sebahagian hadis. Mereka faham quran ikut kefahaman mereka semata-mata.

GOLONGAN SESAT MENJADIKAN ‘AKAL’ SEBAGAI RUJUKAN UTAMA DALAM AGAMA

Kata golongan Quraniyun: “Kita tidak mahu tengok hadis kerana hadis ini ada sahih, dhaif, palsu dan macam-macam. Maka kita tolak semua. Imam Bukhari pun tolak hadis, apabila membukukan kitabnya, dia menolak hadis-hadis yang lain”

Ini tidak cerdik. Kalau ada hadis ada yang lemah dan palsu, tolaklah yang itu. Imam Bukhari sekadar memilih paling sahih ‘disisinya’. Sama sekali Imam Bukhari tidak pernah kata selain hadis dari kitabnya adalah hadis dhaif atau palsu.

Perkara yang hendak dikatakan adalah Quran tidak boleh dipisahkan dari Hadis kerana Hadis menjelaskan apa yang terdapat dalam Al-Quran. Kalau mahu faham firman Allah, ada kalanya perlu penjelas. Maksud Allah tidak lain dengan kita kembali penjelasan Rasulullah ﷺ. Tidak ada yang lebih faham tentang maksud Quran kecuali Nabi ﷺ. Rasulullah adalah orang yang ber’autoriti’ atau paling faham maksud Allah dalam Al-Quran.

‘QURAN LEBIH MEMERLUKAN SUNNAH BERBANDING SUNNAH DARI QURAN’

 Makhul As-Syami (w 112H) kata: “Al-Quran itu lebih memerlukan As-Sunnah (Hadis) dari keperluan As-Sunnah dari Al-Quran.”

Maksudnya disini adalah kalau nak dibangkan Al-Quran dan Hadis yang mana yang lebih memerlukan antara satu sama lain? Al Quran lebih memerlukan As-Sunnah untuk memahami maksudnya, berbanding Sunnah memerlukan AlQuran. Dengan kata lain, kalau kita kembali kepada As-Sunnah kita akan mendapat penjelasan. Ini hakikat. Lumrah kalau baca AlQuran kita akan dapati banyak perkataan-perkataan yang tidak faham daripadanya kecuali kitakembali kepada Sunnah. Contoh:

Firman Allah: “Dan dirikanlah solat..” (QS Al-Luqman: 4)

Macam mana nak dirikan solat? Tidak ada cara lari kecuali kita kembali kepada hadis. Jarang sekali kalau kita membaca hadis, kita akan kembali kepada Al-Quran. Syubahat kata ‘Al-Quran dalam Bahasa Arab, apa susah nak faham’. Perkataan itu setengah betul dan setengah salah. Memang Al-Quran itu difahami makna zahir tetapi perinciannya masih tidak faham.

SAHABAT PUN KELIRU APABILA MEMBACA AL-QURAN, APAKAH UMAT KINI LEBIH BAIK DARI SAHABAT?

Firman Allah: “Orang-orang yang beriman yang tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itu orang yang mendapat keamanan dan hidayah.” (An-Naam: 82)

Apabila ayat turun, para sahabat jadi tak keruan dan susah hati. Para sahabat sangat memahami perkataan ‘zalim’. Pada hari ini semua kata pemerintah zalim. Tapi sahabat memahami maksud zalim dalam erti kata yang lebih menyeluruh dan lebih bahaya iaitu ‘kezaliman diri sendiri’.

Sahabat kata: “Ya Rasulullah, siapa yang tidak buat kezaliman? Setiap kita buat kezaliman”

Apa maksudnya? Ketahuilah setiap dosa yang kita buat adalah kezaliman untuk diri sendiri kerana dengan perbuatan dosa itu melayakkan diri ke neraka. Dia menzalimi tubuh badannya. Tidak pasal-pasal tubuh badan diseksa di neraka kerana dosanya. Maka dia telah zalim tubuh badannya. Sahabat jadi tidak tenang apabila ayat ini turun. Jangan lupa sahabat bukan calang-calang orang. Mereka orang yang paling faham Bahasa Arab.

Nabi menjawab persoalan sahabat: “Bukan begitu. Ayat tidak campur dengan iman dan kezaliman maksudnya dosa. Tetapi kezaliman ini adalah syirik”

Maksud iman disini adalah tidak syirik kerana apabila dicampurkan rosak iman tersebut. Apabila sahabat dengar jawapan Rasululllah barulah mereka tenang. Perkara di sini adalah apabila sahabat dengar ayat Al-Quran pun mereka boleh salah faham, maka orang yang datang kemudian, yang tidak faham Bahasa Arab lagilah tidak faham.

PEMIKIRAN KELOMPOK SESAT YANG MEMAHAMI AGAMA

Kita sekarang berdepan dengan 2 kelompok ekstrim iaitu:

1. Kelompok pertama hanya pegang quran sahaja. Dalil mereka iaitu, ‘Al-Quran yang tidak adalah keraguan, petunjuk buat orang beriman’. Jika mahu pertunjuk pegang Al-quran. Hadis jangan sebab ada dhaif dan palsu. Tolak semua hadis.

2. Kelopok kedua iaitu menolak Quran dan Hadis

Kata mereka: “Siapa yang baca Quran dan Hadis terus, boleh jadi sesat. Perlu ikut tok guru, alim ulamak. Kita baca tidak akan faham’

Sampai bila pun kita tidak faham kalau tidak buka Quran dan Hadis. Maka, perlu baca Quran dan Hadis, cuba fahamkannya.

Kata Imam Ahmad: “Dalam Sunnah tidak ada Qias”

HAL AKIDAH TIDAK BOLEH DIFAHAMI DENGAN AKAL SEMATA-MATA

Perkataan ini bermaksud tiada Qias dalam Akidah. Yang ada nas-nas qat’ie atau taukifiah kerana masalah akidah tidak dapat difahami dengan akal semata-mata. Maksud qias adalah ‘perbandingan’ untuk kita fahamkan sesuatu. Sesuatu yang tidak nampak dibandingkan dengan sesuatu yang nampak. Kita qiaskan antara 2 perkara dan membuat kesimpulan yang sama.

PENERANGAN ‘AKIDAH VS FEKAH’

Contoh: Apa hukum dadah kerana dalam Quran dan Hadis tidak ada. Maka ulamak menggunakan kaedah qias dan menyamakan dengan arak.

Maksud ‘sunnah tiada qias’ di sini adalah:

1. Tiada qias dalam akidah. Akidah lawannya adalah fekah. Akidah berkait tentang kepercayaan dan fekah bermaksud amal perbuatan.

Kepercayaan terletak di hati jantung. Jadi kepercayaan melibatkan keyakinan. Adapun fekah melibatkan perbuatan, fekah juga melibatkan hati seperti niat. Akidah lazimnya melibatkan perkara ghaib. Contoh paling besar adalah dalam rukun Iman. rukun Islam melibatkan benda-bend fekah (perbuatan).

Rukum Iman – percaya kepada Allah, Malaikat, Nabi , Kitab … melibatkan perkara ghaib
Rukun Islam – mengucap 2 kalimah syahadah, Solat , puasa…melibatkan amalan dan anggota.

Beriman dengan Allah adalah ghaib segala ghaib. Apatah lagi kita yang tidak bertemu dengan rasul. Akidah melibatkan perkara ghaib. Jadi bagaimana kita nak samakan benda yang kita nampak dan tidak nampak.

Di mana Allah? Ini isu besar yagng menjadi polemik hingga kafir mengkafir. Nas dan dalil kata “Allah mencipta langit dan bumi, kemudian Dia istiwak di atas Arasy.”

KESESATAN BERMULA DENGAN ‘MENTAKWIL’ PERKARA YANG GHAIB

Ini salah terjemah hingga Allah disalah tafsir istiwa’ dengan perkataan ‘duduk’. Menjadi isu bagaimana Allah duduk kerana salah terjemah. Ada kelompok tertentu mereka cuba faham dengan menanyakan bagaimana Allah duduk. Benda yang tidak nampak cuba bangkitkan. Jangan nak disamakan Arasy dengan tempat makhluk. Allah kata macam itu, maka kita kata ‘Kita dengar dan kita taat tanpa kita cuba fikirkan bagaimana’. Maka, dapat disimpulkan dalam hal akidah perlu kembali kepada nas, tidak boleh ijtihad dengan menaakul.   

Dalam fekah ada qias? Ada tetapi bukan semua perkara fekah diqiaskan, bahkan dalam amal ibadah tidak boleh diqiaskan. Qias hanya melibatkan dalam hukum hakam sesuatu.

Contoh: Dalam Sunnah apabila masuk masjid hendaklah melakukan solat tahayatul masjid. Bolehkah qiaskan buat tahayatul rumah daripada tahayatul masjid? Tidak.

Hadis Nabi : “Apabila azan dikumandangkan syaitan lari terkentut-kentut”. (HR Bukhari dan Muslim)

Syaitan akan lari apabila azan dikumandangkan. ‘Ditakwilkan’ syaitan tak suka azan, maka orang kena rasuk jin perlu dilaungkan azan. Begitu juga syaitan dibuat daripada api, maka jika kebakaran laungkan azan. Ini qias yang tidak benar (bathil). ‘Takwilan’ lain adalah nak masuk rumah penuhkan malaikat dengan laungkan azan. Baru-baru ini dilaungkan azan  sebelum ada ‘exam UPSR’ sebab nak halau syaitan.

SYAITAN MENYUKAI PERKARA YANG MENYELISIHI SUNNAH

Kaedah ini menyalahi Sunnah qias. Tiada sahabat yang melakukan qias begini. Dalam benda ghaib tidak boleh fikir-fikir akal macam itu. Kita tidak nampak syaitan. Bahkan dikhuatiri dengan perbuatan itu lagi syaitan datang kerana mereka melakukan perbuatan yang menyelisihi Sunnah Nabi ﷺ. Apabila buat perkara menyelisihi, syaitan pasti suka walaupun dalam bentuk azan. Lihat sahaja tok bomoh apabila merawat menggunakan ayat quran, tetapi dengan dia menghina ayat Al Quran. Ini yang syaitan suka. Maka itu syaitan tolong tok bomoh sihir tersebut apabila dihina, dilanggar ayat quran atau ketetapan syarak. Dalam hal ibadah hendaklah kita sedaya upaya kembali kepada Sunnah Nabi ﷺ. Sebagaimana Nabi beribadat, maka macam itulah kita beribadat. Kalau nabi tak buat, maka kena tinggalkan.

KISAH 3 SAHABAT YANG MEMANDANG RENDAH AMALAN NABI

Pada zaman Rasulluah ada 3 sahabat yang datang ke rumah baginda untuk mengetahui ibadah baginda, bertanya ibadah Rasullullah ketika di rumah. Mereka tahu ibadah Rasul di masjid kelihatan seperti biasa-biasa. Apabila mendengar penjelasan dari isteri baginda,

Kata perawi hadis: “Mereka meneganggap ibadah Nabi sedikit. Kata orang pertama, ‘tetapi ini Rasulullah beribadat macam itu kerana baginda hamba Allah yang telah diampunkan dosa yang lepas dan akan datang. Maka hari ini aku akan berpuasa setiap hari.’ Kata orang kedua pula, ‘Aku akan qiamullail dan tidak akan tidur malam’. Orang ketiga, ‘Aku tidak akan kahwin dengan perempuan selamanya’”

Nabi menjawab ketika: “Ada orang yang kata begini dan begini. Adapun aku orang yang paling bertaqwa dari kalian semua. Dan aku adalah paling berilmu dan paling mengetahui tentang Allah Taala. Tetapi ada hari aku berpuasa dan ada hari aku berbuka, ada hari aku qiamullail dan sebahagian malam aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan wanita. Siapa yang tiddak berpaling dari sunnahku maka dia bukan tergolong dari umatku.” (HR Bukhari dan Muslim)

IJTIHAD HANYA DALAM MELIBATKAN HUKUM KEPADA PERKARA BARU YANG TIADA DI ZAMAN NABI

Dalam hal ibadah tidak kira puasa, solat malam atau kahwin, ikutlah Sunnah nabi ﷺ kerana itulah jalan keselamatan. Jangan kita bertaakul, ijtihad dan seumpamanya. Hanya sahaja dalam hal melibatkan hukum hakam iaitu perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah ﷺ, yang tidak disebut jelas dalilnya. Maka, kita ada ruang untuk berijtihad dan guna kaedah qias seperti solat dalam kapal terbang. Boleh solat dalam kapal terbang, kalau terpaksu duduk. Ini adalah ijtihad dengan bersandarkan dalil.

Hadis Nabi : “Solatkah dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu duduk, jika tidak mampu lagi berbaring” (HR Bukhari)

SUMBER KEBENARAN AGAMA ADALAH AL-QURAN, AS-SUNNAH DAN PEMAHAMAN SAHABAT

Kesimpulan dari perkara 8 dan 9, Sunnah adalah penjelas Al-Quran. Maka sumber dalil yang paling tinggi adalah Quran kerana ia berdasarkan firman Allah. Tetapi Al Quran perlu kepada Sunnah (hadis) untuk memahaminya. Ia tidak berhenti di sini. Inilah titik perbezaan antara kita mendukung manhaj salafussoleh dengan sekelian kelompok yang lain.

Yang ketiga memahami agama adalah kefahaman para sahabat. Nabi ﷺ baca Quran dan Hadis dilihat dan didengar oleh sahabat.  Maka para sahabat lebih faham apa maksud ayat Quran. Ini 3 sumber rujukan muslim dan juga menjadi inti dakwah salafussoleh. Ia berbeza dengan dakwah salaf berbanding dakwah syiah, khawarij dan kelompok sesat yang lain. Semua mendakwa ikut Quran dan Hadis. Kenapa berselisih? Kerana faham ikut kefahaman masing-masing.  Sedangkan sepatutnya ikut kefahaman sahabat, mereka lebih tepat dan selamat jalannya.

 

Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di telegram untuk perkongsian yang bermanfaat. 

https://t.me/KompilasiDanKajianSunnah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements