Kuliah Kitab Al-Ushul Ats-Thalatsah Syeikh Muhammad Oleh Ustaz Idris Sulaiman (26 Oktober 2017)

MAKSUD TAGHUT – MELAMPAU BATAS BERUPA ‘SEMBAHAN ATAU PEGANGAN’

Kata Ibn Qayyim: Taghut adalah segala sesuatu di mana seorang hamba ‘melampaui batasannya sama ada berupa sembahan, pegangan atau orang yang ditaati’. Dan taghut itu banyak bentuk, yang utama adalah 5 iaitu:

1. Menyembah Iblis yang dilaknati Allah iaitu sembah selain agama Islam

2. Orang yang disembah dalam keadaan rela

3. Orang yang mengajak manusia menyembah dirinya

4. Orang yang mengaku mengetahui sesuatu perkara ghaib

5. Orang yang berhukum selain apa yang diturunkan Allah

Firman Allah: “Tidak ada paksaan memeluk agama Islam. Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan jalan yang sesat. Barangsiapa yang engkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang amat kuat.” (QS Al-Baqarah: 256)

Inilah makna ‘Lailaha Illallah” – Tiada sembahan kecuali Allah.

Sabda Nabi : “Pokok urusan agama adalah Islam, tiangnya adalah jihad dan puncak yang paling tinggi adalah jihad di jalan Allah” (HR Tirmizi)


SYARAH KITAB

Ibn Qayyim telah menjelaskan perkara-perkara taghut. Jenis-jenis perbuatan melampaui batas dalam bentuk sembahan, ikutan dan seumpamanya.

GOLONGAN PERTAMA TAGHUT ADALAH ‘SEMBAH IBLIS’ LAKNATULLAH

Iblis adalah jenis taghut pertama iaitu orang yang menyembah Iblis laknatullah. Semua agama selain Islam adalah menyembah Iblis. Walaupun nama agama berbeza tetapi semua agama selain Islam adalah bentuk sembahan Iblis. Iblis yang memalingkan manusia ke arahnya. Barangkali mereka menamakan tuhan yang berbeza, tetapi di sebaliknya kesesatan itu adalah berpunca dari Iblis.

Iblis tidak peduli kerana yang penting baginya adalah seseorang itu dipalingkan dari menyembah Allah. Sama ada orang itu benar-penar itu menyembah Iblis sepertimana pemuja syaitan atau dia menyembah sesuatu yang lain. Yang penting dia melakukan syirik. Maka realitinya seorang yang menyembah selain dari Allah, dia mengikut jejak dan arahan Iblis yang dilaknat Allah.

Firman Allah: “Sesungguhnya ke atas engkau (Iblis) laknatKu sehingga hari kiamat.” (QS AS-Shad: 78)

Iblis pada asalnya bersama Malaikat untuk melakukan perintah Allah. Tinggal lagi apabila diperintah untuk sujud Adam as. Ketika itulah tersingkap sifat buruk dalam diri Iblis iaitu kedegilan, kesombongan dan takbur. Akhirnya dia terdiri dari kalangan orang kufur mengingkari perintah Allah. Ia menjadi pengajaran bagi seseorang. Barangkali sebelum itu dia nampak biasa, tetapi apabila diuji dengan musibah melanda. Pada ketika itu dia menzahirkan warnanya yang sebenar. Dia menzahirkan sikap, pegangan atau pandangan dalam sesuatu isu. Apabila perkara itu berlaku baru kita nampak.

Pada asal Iblis nampak baik ketika bersama malaikat. Apabila disuruh menyembah Adam, baru nampak sikap sebenar dan layak mendapat laknat Allah. Maka Allah menghalau Iblis dari mendapat rahmatNya.

Firman Allah: “Dan ketika Kami perintahkan para Malaikat, mereka semua sujud kecuali Iblis. Dia enggan dan bersikap takbur dan akhirnya dia tergolong dalam golongan kafir.” (QS Al-Baqarah: 34)

GOLONGAN KEDUA TAGHUT ADALAH ‘ORANG YANG RELA DISEMBAH’

Orang yang disembah dalam keadaan dia rela. Dia sekutukan Allah dengannya. Dalam keadaan dia rela dan redha disembah. Kalau dalam keadaan dia tidak redha adalah berbeza sebagaimana Nabi Isa as. Kita menyakini bahawa Nabi Isa tidak menyuruh pengikutnya menyembahnya.

Yang menjadi taghut apabila dia rela. Orang menganggap dia ada kelebihan dan kuasa sedangkan dia tahu tidak benar tetapi merelakan. Maka dia tergolong dalam kepala-kepala taghut.

GOLONGAN KETIGA ADALAH ORANG YANG ‘MENGAJAK DIRINYA DISEMBAH’ 

Beza yang taghut kedua. Golongan ketiga mengajak orang sembah dan barangkali tiada orang yang sembah pun. Soal sama ada orang ikut atau sembah adalah perkara lain. Dalam masyarakat kita seperti tuhan Harun dan sebagainya. Maka ini adalah pemuka taghut.

GOLONGAN KEEMPAT ADALAH ‘MENDAKWA TAHU PERKARA GHAIB’

Orang yang mendakwa tahu perkara ghaib adalah taghut. Kenapa ia dikira taghut dan apa maksud perkara ghaib? Maksud ghaib adalah tidak nampak.Ghaib juga terbahagi kepada 2 maksud iaitu:

1. Melibatkan perkara sesuatu yang sedang berlaku

2. Melibatkan perkara yang akan berlaku

i. GHAIB – SESUATU PERKARA YANG ‘SEDANG BERLAKU’

Kalau sesuatu perkara sedang berlaku, barangkali kita tidak hadir. Ia dikira perkara ‘separa ghaib’ kerana bagi kita ghaib tetapi bagi orang yang menyaksikannya tidak ghaib.

Contoh: Apa yang berlaku di luar sana kita tidak tahu, tapi bagi mereka yang melihat tidak ghaib kerana mereka nampak.

ii. GHAIB –  SESUATU PERKARA YANG ‘AKAN BERLAKU’

Ini adalah perkara ghaib yang hakiki. Jenis ghaib kedua ini kita yakin secara yakin dan pasti iaitu tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan hanya diketahui oleh Allah atau yang dikhabarkan mana-mana RasulNya. Maka sesiapa yang mendakwa perkara ghaib akan datang, dia telah kufur. Dia telah mendahului Allah dan RasulNya.

Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), tidak ada yang mengetahui perkara langit dan bumi kecuali Allah” (QS An-Naml: 65)

Allah perintahkan kepada RasulNya supaya menjelaskan bahawa tiada yang diketahui perkara ghaib langit dan bumi kecuali Allah. Ia bererti sesiapa yang mendakwa tahu perkara ghaib, dia telah mendustakan Allah dan RasulNya.

Katakan kepada mereka yang mendakwa tahu perkara ghaib: “Bagaimana kamu mengetahui sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun tidak tahu. Adakah kamu lebih mulia dari Rasulullah atau sebaliknya?”

Sekiranya kata mereka lebih mulia dari Rasulullah, maka mereka telah kafir dengan kenyataan tersebut. Maka ini satu hujah yang jelas. Allah menyebutkan tentang sifatnya.

Firman Allah: “Dialah yang mengetahui perkara ghaib dan tiada sesiapa yang dapat mengetahui ilmu ghaib yang dimiliki kecuali sesiapa yang diredhai dari kalangan rasul-rasul.” (QS Al-Jin: 26-27)

Perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasul hanya sedikit sahaja, sekadar yang dikhabarkan. Selebihnya hanya Allah yang tahu.

Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad) kepada umat, aku tidak memiliki perbendaharaan Allah. Dan aku tidak tahu perkara ghaib. Aku tidak katakan yang aku Malaikat. Sesungguhnya aku hanya mengikuti apa yang disampaikan kepadaku.” (QS Al-Anaam: 50)

GOLONGAN KELIMA – ORANG YANG ‘BERHUKUM SELAIN HUKUM ALLAH’

Kita lihat berhukum dengan selain hukum Allah akan menjadi taghut kerana ia mengambil peranan Allah.

Firman Allah: “Sesungguhnya hukum hakam itu milik Allah.” (QS Al-Yusof: 40)

Jika seseorang itu telah meletakkan hukum hakam, maka dia telah mengambil peranan Allah. Perkara berhukum ini melibatkan ‘tauhid Rububiyyah’. Ini melibatkan urusan Allah dan bidangkuasaNya. Ia juga bermaksud Allah yang menghidupkan, menguruskan dan mematikan, memberi rezeki dan sebagainya. Ini semua melibatkan tauhid Rububiyyah termasuklah dalam perbuatan Allah adalah meletakkan hukum hakam.

Sesiapa yang meletakkan hukum hakam rekaan sendiri, dia menafikan tauhid Rububiyyah milik Allah Taala. Mereka yang meletakkan hukum selain hukum Allah, lalu ada orang-orang mengikuti mereka. Orang ini dikira sebagai tuhan kerana mengambil peranan Allah. Kita nampak banyak tuhan palsu dan bathil. Antara tuhan itu ialah mereka yang meletakkan hukum hakam. Patung-patung dikira sebagai tuhan kerana ia disembah. Orang yang meletakkan hukum hakam, menyalahi hukum Allah juga dikira sebagai tuhan kerana telah mengambil peranan Allah.  Orang yang ikut hukum tersebut dikira sebagai penyembah kepada tuhan-tuhan tersebut.

ALLAH MENYATAKAN ‘PENDETA DAN RAHIB’ DIJADIKAN SEBAGAI TUHAN

 Firman Allah: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta, rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan. Demikian juga menjadikan Al-Masih Ibn Maryam sebagai tuhan, sedangkan mereka disuruh sembah tuhan yang satu. Tiada sembahan kecuali Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan dariNya.” (At-Taubah: 31)

Allah mengingkari perbuatan orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka menganggap pendeta dan rahib sebagai tuhan. Rahib ada dikalangan Yahudi dan Krisitian. Dan yang menyembah Isa Ibn Maryam adalah orang Kristian. Maka perbuatan mengangkat rahib dan pendeta dikira sebagai satu bentuk penyembahan. ‘Angkat’ bermaksud mendahului perintah rahib dan pendeta berbanding perintah Allah Taala. Dalam Islam tiada kerahiban, sebaliknya apa yang disuruh adalah menimba ilmu dan beramal. Pendeta adalah satu istilah bagi Yahudi.

Pendeta – bermaksud ulamak
Rahib – Orang soleh atau orang iktikaf dalam rumah ibadah. Mereka mengabdi diri dalam rumah ibadah dan tidak semestinya ada ilmu, bahkan rahib jahil.

KENAPA RAHIB & PENDETA ‘DINAMAKAN’ SEBAGAI TUHAN?

Allah ‘namakan’ pendeta-pendeta dan rahib sebagai tuhan kerana:

1. Mereka ‘diangkat’ sedangkan mereka  meletakkan hukum hakam yang menyalahi hukum Allah.

2. Mereka diikuti dalam hal suruhan dan larangan.
Perbuatan pengikut dikira perbuatan menyembah. Tidak semestinya menyembah perlu sujud dan rukuk tetapi cukup sekadar ikut suruhan dan larangan adalah dikira satu bentuk penyembahan.

Seorang sahabat yang berasal dari Nasrani iaitu Ali bin Hatim bertanya kepada Rasulullah apabila beliau mendengar ayat surah Taubat ayat 31.

Katanya Ali Bin Haatim: “Kita tidak angkat mereka (pendeta dan rahib) jadi tuhan. Macam mana perbuatan itu dikira sebagai tuhan?”

Kata Rasulullah : “Bahkan mereka telah mengharamkan ke atas pengikutnya perkara halal, dan menghalalkan perkara yang haram. Lalu mereka ikut. Maka demikian itulah adalah bentuk penyembahan terhadap mereka.” (HR Tirmizi)

AKIBAT TAGHUT BOLEH MENYEBABKAN ‘KAFIR, ZALIM & FASIQ’

Kita perincikan sedikit iaitu ‘berhukum selain hukum Allah’. Para ulamak memperincikan berdasarkan nas-nas Quran dan Hadis. Orang yang berhukum selain dari hukum Allah adalah kafir zalim dan fasiq.

Firman Allah: “Demi tuhanmu mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhamad) sebagai pengadil dari apa yang mereka perselisihkan.” (QS An-Nisa’:65)

Firman Allah: “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka KAFIR.” (Al-Maidah: 33)

Firman Allah: “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka ZALIM.” (Al-Maidah: 45)

Firman Allah: “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka FASIQ.” (Al-Maidah: 47)

Dalam satu surah iaitu Al-Maidah, ayat yang hampir sama tetapi sedikit berbeza tentang perkataan ‘Kafir, Zalim dan Fasiq’.

i) TAGHUT YANG BOLEH ‘JATUH KAFIR’

Adakah orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah beerti dia tidak beriman, kafir, fasiq, atau zalim secara automatik?

Syaikh Muhammad Soleh Al-Uthaymin berkata: “Tidak bergitu. Orang yang tidak berhukum dengan hukum perlu dilihat kedudukan dan keadaannya. Sekiranya dia berhukum selain hukum Allah dan memperlekehkan hukum Allah seperti ‘Hukum Allah mundur dan tidak mengikut zaman’,atau menganggap hukum Allah tidak sesuai dengan zaman sekarang. Hukum baru yang diadakan lebih bermafaat’. Orang ini jatuh kafir”

Contoh: Orang yang meletakkan sistem, garis panduan yang jelas menyalahi agama atau anggap ia lebih sempurna kerana ikut kemodenan dan berperikemanusiaan. Ini akan membuatkan dia tergelincir dari Islam.

ii) TAGHUT YANG BOLEH ‘ JATUH ZALIM’

Seseorang yang anggap hukum Allah lebih baik dan sesuai. Dalam masa yang sama dia tetap menyelisihi hukum Allah kerana ikut hawa nafsu. Maka dia dikira sebagai zalim.  Yang menyelamatkan dari jatuh kafir kerana hatinya masih mengiktiraf hukum Allah yang terbaik dan sempurna. Dia tetap mengetahui apa yang dilakukan salah.

iii) TAGHUT YANG BOLEH  ‘JATUH FASI

Seseorang itu masih anggap hukum Allah itu yang wajib dan sempurna. Dia menyalahi  hukum Allah kerana sebab dunia seperti rasuah, penyelewangan, nak ambil hati manusia, nak jaga kedudukan dan jawatan. Maka dia adalah fasiq.

Soalan:

1. Dalam FB tersebar video kucing yang tidak mahu memijak melangkah Al-Quran walau diumpan dengan makanan. Sebaliknya kucing itu memijak dan melangkah buku biasa. Adakah hal ini termasuk dalam tanda kebesaran Allah?

CARA MELIHAT KEBENARAN YANG DANGKAL & JAHIL

Kita perlu berhati-hati dalam menggunakan cara-cara seperti ini untuk membuktikan sesuatu. Kita kata bahawa kemuliaan, kebesaran dan keagungan Al-Quran tidak wajar dibuktikan dengan perbuatan kucing. Al-Quran lebih besar dan mulia dari pengiktirafan yang diberikan oleh kucing. Apakah sampai begitu dangkal pemikiran kita, kita sanggup menghina diri kita dan menghina Al-Quran dengan kita berharap pengiktirafan dari kucing? Kemuliaan dan keagungan Al-Quran tidak perlu dari kucing. Ini adalah dari satu sudut.

Dari sudut yang lain, barangkali kucing ini mengelak untuk melangkah Al-Quran. Apakah ada jaminan mana-mana kucing satu dunia sepakat tidak mahu melangkah Al-Quran? Kita perlu bertindak bijaksana. Tidak ada jaminan sama sekali. Bagaimana dari kalangan musuh Islam, mereka bawa kucing yang melangkah Al-Quran. Apakah benar Al-Quran sudah hilang kehormatan dan keagungannya? Tidak sama sekali dan ini bukan cara pembuktiannya.

ADAKAH UKIRAN AWAN BERBENTUK PERKATAAN ‘ALLAH’ PETANDA KEBESARAN ALLAH? 

Ini bukan kejadian kali pertama. Banyak sudah contoh-contoh sebelum ini, cuma ia berbeza cara dan rupa. Sebelum ini ada yang menunjukkan dilangit dengan ‘Awan berbentuk Allah dan sebagainya’. Maka mereka kata ini tanda kebesaran Allah dan kebenaran Islam. Jawapan yang sama, adakah kita guna cara yang sama untuk buktikan kebenaran dan keagungan Islam? Kita harus berhati-hati barangkali boleh sahaja orang lain menunjukkan gambar ‘Awan membetuk perkataan Jesus’, maka apakah ketika itu kita berpaling tadah dari Islam dan menukar kepada agama Krisitan?

KEMULIAAN & KEBENARAN AL-QURAN DENGAN MELIHAT PETUNJUK DAN PENGAJARAN DARINYA

Jelas hal-hal seperti ini menunjukkan kita lemah fikiran dan tergolong dalam orang-orang yang jahil. Akhirnya kita kata, kebenaran dan kebatilan adalah kita kembali kepada Quran dan Hadis. Hanya itu cara kita mendapat pentunjuk dan hidayah. Bukan dengan melihat kucing, awan untuk mendapat kebenaran.

Salurkan sumbangan anda kepada Surau:
No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)
SURAU AL HIDAYAH


Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di telegram untuk perkongsian yang bermanfaat. 

https://t.me/KompilasiDanKajianSunnah

 

Advertisements