KULIAH KITAB SYAIKH MUHAMMAD JAMIL
Oleh Ustaz Idris Sulaiman, 20 Mei 2012

ISI UTAMA

  1. Biografi Syaikh Muhammad 
  2. Guru Dan Kepentingannya Untuk ‘Masa Depan Di Akhirat’
  3. Pengalaman Syaikh Muhammad Sebelum Mengenal Islam Sebenar
  4. Perbezaan Pengalaman Ulamak Salaf Di Arab Saudi & Luar
  5. Catatan Bertemu Islam Sebenar Di Dalam Buku “Bagaimana Aku Bertemu Hidayah…”
  6. Pengalaman ‘Berzikir & Selawat’ Bersama Kumpulan Sufi
  7. Zikir ‘Ikatan Yang Mulia’ Dengan Membayangkan Wajah Syaikh
  8. Zikir Dituntut Tetapi Perlu Dengan ‘Cara Syarie’ – Bukan Tinggikan Suara
  9. Hanya Agama Islam Diiktiraf Allah
  10. Semua Orang Termasuk Kafir Inginkan Syurga Tetapi Adalah Mereka Layak?
  11. Setiap Amalan Wajib Beserta Dengan Kaedah Yang Betul
  12. Tegahan Nabi ﷺ Dalam Menguatkan Suara Ketika Berzikir
  13. Salahfaham Sufi Dalam Sifat ‘Ihsan’
  14. Ihsan Melahirkan  ‘Rasa Suka & Takut Kepada Allah’ Dalam Setiap Beribadat
  15. Membayang Wajah Syaikh Dalam Berzikir Boleh Membawa Kesyirikan
  16. Menguatkan Suara Ketika Berzikir Menyalahi ‘Rasa Tenang’ Dalam Beribadat
  17. Takbir ‘Allahu Akbar!!!’ Dalam Ceramah Umum Dan Demonstrasi Adalah Satu Penyimpangan Kaedah Berzikir
  18. Larangan Nabi ﷺ Kepada Orang Yang Mengangkat Suara Ketika Berzikir
  19. Maksud Zikir Dengan ‘Merendah Suara’
  20. Hikmah Menyebut Zikir ‘Tasbih Dan Takbir’ Pada Situasi Tertentu
  21. Teguran Nabi ﷺ Kepada Sahabat Yang Berzikir Kuat
    Kaedah Songsang Sufi Untuk Mendapat Sifat Tawaduk
  22. Rasulullah Contoh Tauladan Yang Wajib Diikuti

 

KANDUNGAN

BIOGRAFI SYAIKH MUHAMMAD 

Muhammad bin Jamil Zainu lahir di Aleppo, Syria pada 1925 (1344 H). Awalnya dia mengikuti Tareqat Sufiyyah Syadzili dengan mazhab fiqh Hanafi namun kemudian meninggalkannya menuju Manhaj Salaf. Pada usia 10 tahun ia masuk sebuah sekolah asrama selama 5 tahun di mana ia menjadi penghafal Al-Qur’an di usia belasan tahun. Setelah menghafal Al-Quran dia mempelajari Tafsir, Fiqh Hanafi, Nahu dan Saraf, Sejarah Islam, Hadis, Fizik, Kimia, Matematik, Bahasa Perancis dan lain-lain di Al Kulliyah As-Syaikh Syaikhariyah At-Tajhiziyah. Dia kemudian melanjutkan kuliah forensik di Universitas Aleppo dan menjadi pengajar.

Pada tahun 1948 M dia menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah. Tahun itu juga diterima pada program pengutusan pengajar yang diadakan Al Azhar tetapi tidak dapat mengikutinya kerana mengalami masalah kesihatan. Akhirnya dia mengajar di Darul Mu’allim hingga kurang lebih 29 tahun. Setelah itu dia pindah untuk mengajar di Masjidil Haram di Mekah iaitu  ketika melaksanakan umrah, dia berkenalan dengan Syaikh Abdul Aziz bin Baz. Dari perkenalan itu dia ditunjuk oleh Syaikh Bin Baz untuk mengajar di Masjidilharam selama musim haji. Tugas mengajar ini tidak hanya sampai di sini. Setelah musim haji berakhir, Syaikh mengirim dia ke Jordan dan tinggal di Universitas Shalahuddin. Di sini dia merangkap sebagai imam, khatib dan guru Quran.

Selanjutnya Syaikh pergi ke Jordan untuk berdakwah, disana ia menjadi seorang Imam, guru dan pengkhutbah yang berpengaruh. Bulan Ramadan tahun 1400 H, dia diminta oleh salah seorang pelajar dari Darul Hadis Khairiyah Mekah untuk mengajar di sekolah tersebut kerana mereka sedang memerlukan tenaga pengajar terutama untuk ilmu hadis. Setelah menghubungi pengetua sekolah dan juga atas tazkiyah (pujian) yang diberikan oleh Syaikh Abdul Aziz bin Baz, dia mengajar di sekolah tersebut dengan subjek tafsir, tauhid, Al Quran dan pelajaran-pelajaran lain.

Di sekolah inilah dia mulai menulis risalah-risalah kecil yang ringkas dan diterjemahkan ke beberapa bahasa, antaranya bahasa Inggeris, Perancis, Benggali, Indonesia, Turki, Urdu, dan lain-lain. Risalah-risalah yang berjumlah kurang lebih 20 buah ini dia kumpulkan lalu diberi judul judul Silsilah At Taujihat Al Islamiyah. Beberapa di antaranya telah dicetak sampai ribuan helai. Ada juga yang dibagi cuma-cuma. Kemudian menjadi pengajar disana selama bertahun-tahun hingga wafatnya pada hari Jumaat (29 Syaikhawal 1431 H / 8 Oktober 2010) dan disolatkan di Masjidil Haram, Mekah.

SYARAH KITAB

Alhamdulillah pada malam ini kita akan mulakan kitab yang dikarang oleh Syaikh Muhammad Bin Jamil Zainu yang bertajuk ‘Jalan Golongan Yang Selamat’. Buku ini boleh dianggap sebagai panduan asas yang menceritakan apa itu agama Islam dengan erti kata yang sebenar.

GURU DAN KEPENTINGANNYA UNTUK ‘MASA DEPAN DI AKHIRAT’

Sebelum kita memulakan kitab ini, ada baiknya kita cerita sedikit berkenaan Syaikh Muhammad. Beliau termasuk dari kalangan tokoh ilmuan Islam yang hidup pada zaman kita sekarang. Kita bukan sahaja perlu kenal guru agama tetapi sejauh mana kita boleh mempercayai kata-kata Syaikh Muhammad. Dalam hal agama jangan ambil daripada sesiapa sahaja, sebaliknya kita perlu tahu dari siapa kita belajar, dengan siapa kita menuntut ilmu kerana ini adalah berkenaan agama (kepercayaan) kita. Agama ini yang menjamin sama ada kita selamat di akhirat kelak. Jadi perlu kita kenal Syaikh dengan Muhammad. Semoga apabila kenal kita lebih terbuka dan percaya, lebih mudah menerima apa yang disebutkan oleh beliau dalam buku ini. Sepertimana yang disebut oleh tokoh ulamak Islam zaman lampau iaitu pada kurun ke-2 hijrah menasihatkan.

Kata Ibn Sirin: “Sesungguhnya ilmu yang kamu belajar ini adalah ilmu agama. Maka lihatlah dengan siapa mengambil agama itu”.

Agama bukan sebarang ilmu tetapi satu-satunya ilmu yang menjamin kamu kebahagian di dunia dan akhirat.

Firman Allah: Dan barangsiapa mencari agama selain agama Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi”. (QS Al-Imran: 85)

Syaikh Muhammad lahir pada 1925M di Syria. Beliau adalah seorang guru yang mengajar di sekolah. Pada umur 29 tahun mengajar di sekolah dan pada tahun 1978 ketika umur lebih 50 tahun. Beliau berhijrah ke Mekah dan sempat berjumpa ulamak besar Syaikh Abdul Aziz Bin Baz iaitu Mufti Arab Saudi ketika itu. Apabila sudah kenal, Syaikh Bin Baz rekomen beliau mengajar di sebuah pusat pengajian hadis.

PENGALAMAN SYAIKH MUHAMMAD SEBELUM MENGENAL ISLAM SEBENAR

Syaikh Muhammad Jamil Zainu berpengalaman dengan bermacam kumpulan Islam. Seperti mana kita maklum umat Islam berpecah aliran dan mazhab. Apabila beliau masih kecil, dia telah menyertai kumpulan Naqshabandi iaitu salah satu kumpulan sufi. Kemudian berpindah ke kumpulan sufi Syadziliyah, seterusnya masuk pula kumpulan sufi Qadiriyah. Syaikh Muhammad turut serta dengan halaqah-halaqah sufi ini, mengenal Syaikh-Syaikh serta melihat apa yang kumpulan-kumpulan ini lakukan.

PERBEZAAN PENGALAMAN ULAMAK SALAF DI ARAB SAUDI & LUAR

Antara ulamak-ulamak Arab Saudi seperti Syaikh Uthaymin, Syaikh Bin Baz, Syaikh Fauzan dan lain-lain berbeza pengalaman dengan ulamak dari negara luar. Boleh dibuat kesimpulan antara ulamak Arab Saudi dan ulamak negara lain adalah mereka tidak berkesempatan menyertai kumpulan-kumpulan Islam  yang berbeza. Secara umumnya, di Arab Saudi hanya ada Islam berpegang kepada aliran Quran dan Sunnah dengan mengikut kefahaman Salaf. Dalam fekah, mereka aliran Imam Ahmad Bin Hanbal. Maka dikatakan di Arab Saudi tiada perpecahan Islam yang besar seperti tareqat-tareqat atau kumpulan yang lain. Berlainan keadaan di negara Islam yang lain, seseorang itu bergantung nasib dan hidayah Allah. Kalau dia bertemu hidayah, Alhamdulillah. Tetapi dalam masa yang sama betapa ramai bertemu dengan jemaah tareqat dan kumpulan yang bermacam-macam.

Maka benarlah betapa sedikitnya (asing) golongan Islam iaitu hanya 1 dari 73 pecahan yang mengikuti jalan yang selamat.

Sabda Nabi ﷺ:  Sesungguhnya Bani Israil telah berpecah-belah menjadi 72 agama. Dan sesungguhnya umatku akan berpecah-belah menjadi 73 agama. Mereka semua di dalam neraka, kecuali satu agama. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka, wahai Rasulullah’ Beliau menjawab,’Siapa saja yang mengikutiku dan (mengikuti) sahabatku.’” (HRTirmidzi)

CATATAN BERTEMU ISLAM SEBENAR DI DALAM BUKU “BAGAIMANA AKU BERTEMU HIDAYAH…”

Begitu juga dengan Syaikh Muhammad yang masuk dalam kumpulan-kumpulan ini. Seperti yang kita maklum manusia sentiasa melalui proses perkembangan. Syaikh Muhammad bermula dari menuntut ilmu, belajar dan sehinggalah menjadi ulamak. Kelebihan Syaikh Muhammad sempat masuk kumpulan seperti Ikhwanul Muslimin, mengenali Jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir dan lain-lain. Ini pengalaman Syaikh Muhammad yang banyak dan dia dapat merasai sendiri. Kumpulan Sufi yang telah disertai oleh Syaikh Muhammad terdapat dalam buku “Bagaimana Aku Bertemu Hidayah Ke Jalan Yang Lurus”.

PENGALAMAN ‘BERZIKIR & SELAWAT’ BERSAMA KUMPULAN SUFI

Kata Syaikh Muhammad: “Apabila dalam kumpulan sufi seperti Syadzili atau Naqshabandi ini, mereka mengadakan halaqah-halaqah zikir. Beberapa orang Jemaah dalam berkumpulan membuat bulatan lalu melakukan ibadah tertentu seperti baca Quran dan sebagainya.  Halaqah diketuai oleh seorang  Syaikh dan masing-masing memegang biji-biji tasbih. Syaikh atau ketua kumpulan akan kata ‘Tahlil seratus kali’, ‘Tasbih seratus kali’, ‘Tahlil seratus kali’. Maka anggota Jemaah melakukan seperti diarahkan beramai-ramai dengan suara yang kuat. Apabila selesai, mereka akan melakukan selawat seratus kali.”

ZIKIR ‘IKATAN YANG MULIA’ DENGAN MEMBAYANGKAN WAJAH SYAIKH

Selawat sufi iaitu:Ya Allah selawatlah kepada junjungan Muhammad sebanyak makhluk yang ada di muka bumi ini”. Lalu dah selesai zikir-zikir ini dibacakan.

Syaikh akan sebut: ‘Ikatan yang mulia’.

Ikatan yang mulia yang dimaksudkan adalah perlu dibayangkan Syaikh besar atau Syaikh depan mereka semasa berzikir. Maka bermacam-macam dilihat dalam majlis zikir ini. Tujuan membayangkan wajah Syaikh adalah supaya lebih khusyuk semasa zikir sedang dibaca. Maka dah peringkat ini, Syaikh Muhammad lihat Jemaah makin naik syok dengan menggeleng kepala kiri kanan. Bahkan sampai ada yang bangun berdiri, melompat-lompat berzikir dan selawat. Ada fitrah pada manusia. Syaikh Muhammad tidak dapat menerima sebab sampai terjerit-jerit, melompat-lompat sehingga rasanya macam ada acara dalam sarkas. Ia bercanggah dengan Islam.

ZIKIR DITUNTUT TETAPI PERLU DENGAN ‘CARA SYARIE’ – BUKAN TINGGIKAN SUARA

Zikir adalah suatu yang dituntut tetapi persoalannya disini adalah caranya yang salah iaitu zikir dengan beramai-ramai, dengan satu suara, tinggikan suara, ditambah dengan menggeleng-geleng kepala. Kata Syaikh Muhammad telah jelas ia menyeleweng dari agama Islam. Kalau kita lihat dalam sejarah Islam , penyelewengan telah berlaku sejak zaman sahabat. Sahabat iaitu Abdullah Bin Mas’ud atau Ibn Mas’ud. Ibn Mas’ud adalah sahabat yang agung. Beliau banyak meriwayatkan hadis Nabi ﷺ hingga sampai kepada kita. Suatu peristiwa yang mirip dengan kisah Syaikh Muhammad tadi, suatu hari Ibn Mas’us masuk ke masjid kariahnya. Beliau dapati ada halaqah zikir yang pakai batu kelikil. Ketuanya sebut tasbih seratus kali, tahlil seratus kali, takbir seratus kali. Apakah Ibn Mas’ud menyertai Jemaah halaqah ini? Tidak. Bahkan Ibn Mas’ud telah mengingkarinya.

Kata Ibn Mas’ud: “Apa yang telah kamu buat ini?

Jawab ketua Halaqah: “Kami guna batu-batu untuk digunakan untuk bertahlil, tasbih dan takbir”

Kata Ibn Mas’ud: “Hitunglah dosa-dosa kamu kerana aku jamin tidak akan hilang sedikitpun pahala kamu. Berjaga-jaga kamu wahai umat Muhammad. Betapa cepatnya kamu hendak binasakan diri. Sahabat-sahabat Nabi masih ada, bahkan pakaian Rasulullah masih ada. Pinggan mangkuk Rasullulah yang masih belum pecah. Dan demi nyawaku di tanganNya, kamu sama ada berada di agama lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya membuka pintu kesesatan”

Anggota Halaqah menjawab: “Wahai Abu Abd Rahman. Kami sekadar mahukan kebaikan”

Kata Ibn Mas’ud: “Betapa ramainya mereka yang inginkan kebaikan tetapi mereka tidak memperolehinya.” (HR Darimi)

Maksud Ibn Mas’ud dalam atsar di atas:

1. ‘Hitunglah dosa-dosa kamu kerana aku jamin tidak akan hilang sedikitpun pahala kamu.’
Maksudnya adalah kamu kena risau dengan dosa yang kamu lakukan kerana apa yang dilakukan sekarang adalah dosa dan bukan pahala.

2. ‘Sahabat-sahabat nabi kamu masih ada, bahkan pakaian Rasulullah masih ada.’
Maksudnya adalah Sahabat adalah ulamak kamu yang telah mewarisi agama dari Rasulullah.Maka rujuklah mereka. Rasulullah baru wafat, kenapa buat perkara yang tidak pernah dilakukan oleh baginda.

3. ‘Dan demi nyawaku di tanganNya. Kamu sama ada berada di agama lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya membuka pintu kesesatan.’
Sumpah Ibn Mas’ud. Apa yang mereka lakukan jelas membuka pintu kesesatan.

HANYA AGAMA ISLAM DIIKTIRAF ALLAH

Kalau kita lihat orang kafir kita sepakat mereka jika mereka tidak masuk Islam, mereka akan masuk neraka. Ini kepercayaan kita.

Firman Allah: Dan barangsiapa mencari agama selain agama Islam, dia tidak akan diterima. Dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi. (QS Al-Imran: 85)

Kalau lihat orang-orang kafir, adakah mereka jahat-jahat belaka? Betapa ramainya baik dari kalangan orang kafir yang berhati mulia, menolong orang, bersedekah dan membantu sana sini. Lihat sahaja paderi yang baik dan innocent. Boleh kita kata mereka semua mengharapkan kebaikan dan tidak ada yang siapa yang inginkan kecelakaan untuk diri kecuali orang yang betul-betul macam Iblis. Semua orang mahu masuk syurga termasuklah orang kafir. Jangan ingat orang kafir sengaja nak masuk neraka.

SEMUA ORANG TERMASUK KAFIR INGINKAN SYURGA TETAPI ADALAH MEREKA LAYAK?

Orang Yahudi, Nasrani dan semua yang bukan Islam kebanyakan mereka inginkan masuk syurga. Tapi kita kata adakah keinginan, harapan dan niat yang baik, mengadakan amalan-amalan yang baik, apakah semua kesudahannya masuk ke dalam syurga? Jawapannya sama sekali tidak. Sebaik-baik kafir pun, secara pasti mereka tetap termasuk dalam golongan yang paling zalim iaitu melakukan dosa yang paling besar iaitu syirik (menyekutukan) Allah. Sebaik mana pun mereka sama ada melayan, menderma, tolong orang tetapi melakukan syirik itu adalah akhlak paling teruk.Tidak boleh diterima oleh Allah Taala.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan sesiapa yang menyekutukanNya. Dan Dia ampunkan selain dosa syirik bagi sesiapa yang dikendakinya…” (QS An-Nisak: 48)

SETIAP AMALAN WAJIB BESERTA DENGAN KAEDAH YANG BETUL

Niat sahaja tidak cukup untuk mendapat pahala, bahkan caranya juga perlu baik. Dalam masalah zikir ini, apa yang boleh diambil iktibar oleh Mas’ud? Yang ditegur oleh sahabat bukan zikir itu tetapi cara melakukan zikir yang dituntut. Apa yang ditegur adalah cara dengan zikir beramai-ramai, meninggi suara serentak seperti budak-budak sekolah. Kita kata budak-budak nak belajar atau kalai hari pertama nak belajar tiada masalah. Tetapi sekrang sudah budak besar yang hari-hari macam itu. Takkan nak belajar lagi. Setiap kali zikir mesti kuat suara beramai-ramai dan suara tinggi.  Sunnahnya adalah dengan cara perlahan atau sendiri-sendiri seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.

TEGAHAN NABI ﷺ DALAM MENGUATKAN SUARA KETIKA BERZIKIR

Rasulullah tidak zikir secara beramai-ramai dengan suara keras. Sebaliknya buat sendiri-sendiri dengan perlahan, tawaduk dan khusyuk. Itu baru berkesan. Rendah suara supaya hati terikat dengan apa yang kita ucapkan sepertimana dalam bacaan Quran, kita disuruh baca quran dengan perlahan di samping bertajwid. Bukan juga kuantiti zikir yang menjadi ukuran tetapi cara mengikuti Sunnah Nabi ﷺ atau tidak. InsyaAllah walau sekali dengan cara sunnah Nabi ﷺ, itu lebih baik tidak terbanding dengan kuantiti yang banyak tetapi cara menyalahi sunnah Nabi ﷺ. Bagaimana kita boleh harapkan amalan diterima Allah Taala jika menyalahi Rasulullah?

Firman Allah: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (QS Al Hasyr: 7)

SALAHFAHAM SUFI DALAM SIFAT ‘IHSAN’

 Kembali kepada ‘Ikatan yang mulia’ dalam halaqah sufi tadi. Membayangkan wajah Syaikh  perlu diambil perhatian. Ia suatu penyimpangan yang sangat bahaya. Di dalam syarak ada suatu kaedah ibadah iaitu rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan.

Sabda Nabi ﷺ: “Ihsan adalah hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, nescaya Allah melihat engkau.” (Hadis Jibril)

IHSAN MELAHIRKAN  ‘RASA SUKA & TAKUT KEPADA ALLAH’ DALAM SETIAP BERIBADAT

Tidak kita apa sahaja ibadah, dituntut ada Ihsan dalam diri kita. Secara tidak langsung kita kena bayangkan seolah-olah melihat Allah tidak kira sama ada guna mata kepala atau mata hati. Tujuannya supaya ibadat kita lebih ikhlas, khusyuk dan sungguh-sungguh. Dengan maksud yang lain kita akan merasa suka kerana dapat melihat Allah seperti hadis Nabi ﷺ menyebut tidak ada nikmat yang paling hebat kecuali melihat Allah di syurga nanti.

Jika tidak bayangkan dapat melihat Allah, kena beriman Allah melihat kita. Maksudnya perlu bayangkan keadaan kedua adalah kita rasa takut. Maka perlu ada perasaan suka dan perasaan takut dalam ibadah dengan kita melakukan perkara disuruh dan tinggal perkara yang dilarang kerana Allah melihat kita. Ini yang dituntut.

MEMBAYANG WAJAH SYAIKH DALAM BERZIKIR BOLEH MEMBAWA KESYIRIKAN

Boleh kita melihat orang sufi ini telah menyimpang maksud Ihsan. Dari membayang Allah, mereka suruh bayangkan wajah Syaikh pula. Sangat bahaya. Semasa ibadah dengan bayangkan wajah Syaikh, silap haribulan boleh jatuh syirik kerana seolah-olah menyembah Syaikh itu. Ikatan yang mulia diamalkan sebahagian kumpulan sufi ini menyalahi  maksud Ihsan yang dituntut kepada muslim dalam ibadah.

MENGUATKAN SUARA KETIKA BERZIKIR MENYALAHI ‘RASA TENANG’ DALAM BERIBADAT

Syaikh Muhammad menegur perbuatan mereka yang mengeraskan suara ketika berzikir. Asal berzikir hendaklah dilakukan secara perlahan sepertimana membaca Al-Quran.

Firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah GEMENTARLAH HATI mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (QS Al-Anfal: 2)

Firman Allah: Apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan TENANG agar kamu mendapat rahmat”. (QS Al-A’raf: 204)

Firman Allah: “…..Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi TENANG. (QS Ar-Rad: 28)

TAKBIR ‘ALLAHU AKBAR!!!’ DALAM CERAMAH UMUM DAN DEMONSTRASI ADALAH SATU PENYIMPANGAN KAEDAH BERZIKIR

Apabila berzikir beramai-ramai, biasa juga kita dengar ada orang sebut takbir….dan didambut beramai-ramai ‘Allahu Akbar!!!!’. Apa sahaja ibadah tidak boleh kembali kepada emosi dan semangat. Perlu kembali apa dalil denganmengikut apa yang disebut dan diajar oleh Nabi ﷺ. Disebut nama Allah, perlu ada rasa gentar dan khusyuk. Apabila menjerit ‘Allahu Akbar!!!!’, adakah kita rasa gentar atau takut? Apa yang mereka rasa adalah semangat dan rasa kuat. Kalau ada polis atau FRU depan tu, mereka boleh langgar seperti dalam demonstrasi. Zikir bukan akan merasakan kita kuat, ego atau semangat, sebaliknya kita merasa tawaduk, rasa rendah diri, takut dan cemas.

LARANGAN NABI ﷺ KEPADA ORANG YANG MENGANGKAT SUARA KETIKA BERZIKIR

Satu kisah ketika Nabi berada di dalam rumah dan terdengar seseorang membaca Al-Quran dengan nyaring dan kuat.

Sabda Nabi ﷺ: “Wahai sekalian manusia, kamu semua munajat kepada Allah. Maka jangan ada di antara kamu yang mengangkat suara (jahar) bacaannya kerana mengganggu sebahagian yang lain.” (HR Abu Daud)

Perbuatan mengangkat suara akan ganggu orang lain kerana mungkin ada yang nak baca quran, tengah solat, berzikir atau berdoa. Jelas sesiapa yang angkat suara termasuk dalam kalangan pentingkan diri sendiri. Walaupun melakukan sebaik-baik perkara seperti membaca Quran, tetapi hendaklah tidak ikut emosi dan semangat semata-mata. Maka, apabila berdoa dan berzikir secara umumnya jangan ditinggikan atau direndahkan sampai diri sendiri tidak dengar.

MAKSUD ZIKIR DENGAN ‘MERENDAH SUARA’

Maksud zikir yang didengari diri sendiri adalah lidah digerakkan dan suara hanya boleh dengar untuk diri sendiri seperti ketika membaca Al-fatihah. Kalau hanya lidah gerak tanpa suara, itu adalah bacaan hati. Kalau sampai orang sebelah dengar tidak boleh juga. Ibadah tidak boleh dilakukan sewenangnya kerana terdapat panduan yang digariskan syarak.

HIKMAH MENYEBUT ZIKIR ‘TASBIH DAN TAKBIR’ PADA SITUASI TERTENTU

Dalam Sunnah apabila kita keluar bermusafir dan berada di permukaan tinggi, sunnahnya kita bertakbir. Apabila turun tempat yang rendah, kita baca Subhanallah. Apa hikmahnya? Ulamak kata ketika naik tempat tinggi jangan rasa tinggi sangat sebab Allah Maha Besar. Jadi jangan sombong. Di tempat rendah pula kita bersihkan(sucikan) Allah dari benda-bendah rendah dan hina.

TEGURAN NABI ﷺ KEPADA SAHABAT YANG BERZIKIR KUAT

Dalam satu peristiwa, Rasulullah keluar dengan tentera Islam. Sahabat kuat semangat, berani untuk bertemu dengan musuh. Mereka bertakbir tetapi boleh kata bukan serentak atau beramai-ramai tetapi sendiri-sendiri. Mendengar sahabat bertakbir dengan semangat, Nabi ﷺ tegur perbuatan tegur perbuatan mereka.

Kata Nabi ﷺ: “Wahai manusia, berpada-padalah dengan diri kamu. Sesungguhnya kamu tidak mendoakan tuhan yang pekak mahu pun yang jauh. Sebaliknya kamu sedang berdoa tuhan yang Maha mendengar dan Maha dekat yang sentiasa berasmamu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jadi Sunnah ketika berzikir adalah jangan ditinggikan bersuara. Rasulullah mengajar kita cara tahlil, tabir dan tasbih.

KAEDAH SONGSANG SUFI UNTUK MENDAPAT SIFAT TAWADUK

Kisah terakhir yang diceritakan dalam buku ini ialah cara tarbiah sufi adalah sepertimana dilakukan oleh Syaikh sufi. Syaikh sufi telah bawa satu plastik dengan kacang kemudian pergi ke pasar. Apabila jumpa dengan budak kecik, dia kata kalau nak kacang ludah ke muka. Setelah diludah, Syaikh sufi itu akan memberi kacang dan kemudian pergi ke budak lain pula. Itulah cara dia merendah diri, tawaduk dan memperhambakan diri kepada Allah. Akhirnya Syaikh keluar dari pasar dengan penuh lendir di muka  tetapi penuh ceria kerana telah berjaya belajar rendah diri. Syaikh Muhammad tanya adakah ini cara Rasulullah ajar kita merendah diri dengan membiarkan orang menghina diri dengan meludah ke muka? Jelas ini cara yang sangat menyimpang dengan cara apa yang diajar oleh Allah dan Rasulullah.

Firman Allah:Sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam. Kami telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian” (QS At-Tin: 5)

RASULULLAH CONTOH TAULADAN YANG WAJIB DIIKUTI

Kita juga telah sepakat bahawa siapakah yang paling rendah diri atau bertaqwa dan hebat ibadah, adakah Maulana  atau wali Songo? Tidak. Dia adalah Rasulullah yang mana baginda adalah paling hebat dari semua segi.

Firman Allah: Dan sesungguhnya kamu(Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.  (QS Al-Qalam: 4)

Rasulullah tidak pernah menyuruh orang meludah dimukanya. Nabi menyuruh kita baca Quran dengan menghayatinya hingga hati merasa gentar. Kita munajat di tengah malam apabila tiada orang, kita berdoa, berzikir, solat, qiamullail dengan penuh tawaduk dan ikhlas. Jika meninggi suara hingga jiran sebelah dengar kita tengah berzikir? Itu bukan ikhllas tapi menunjuk-nunjuk.

Ringkasnya buku ini adalah menceritakan tentang apakah itu agama Islam yang sebenar. Kita sudah dengar cerita kumpulan dalam Islam seperti Tareqat Syadzili, Naqshabandi, Qadiri dan lain-lain. Yang mana satu yang betul. Secara pasti kita kata tidak betul kerana masing-masing bercanggah antara satu sama lain. Masing-masing dakwa mereka yang betul. Itu yang kita cuba pelajari dalam buku ini tentang sifat-sifat mereka yang selamat iaitu terus masuk syurga atau cara untuk selamat dari neraka.

Salurkan sumbangan anda kepada Surau:
No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)

SURAU AL HIDAYAH

 

Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di kumpulan whatsapp untuk perkongsian yang bermanfaat.

https://chat.whatsapp.com/3WSsUyGYpi08kWqCf0rtIx

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements