KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL-BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (14 Julai 2017)

 

PERKARA KE- 29

Kata Imam Al-Barbahari: “Wajib mendengar dan mentaati para pemimpin dalam perkara yang dicintai dan diredhai Allah, dan mentaati orang yang memegang tampok khilafah yang diangkat berdasarkan kesepakatan (ijmak) dan kerelaan masyarakat. Maka dialah Amirul Mukminin”.

 

SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

AL-JAMAAH BERMAKSUD ‘BERSATU DI BAWAH PEMERINTAH MUSLIM’

Apa yang disebutkan oleh Imam Al-Barbahari adalah berkaitan dan asas atau dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Bahkan dalam istilah ASWJ antara maksud istilah Al-Jamaah khususnya adalah ‘Mendengar dan Taat Kepada Pemerintah’. Dasar dan Sunnah ASWJ adalah mentaati pemerintah muslim. Perhatikan perkataan ‘pemerintah’ yang kita gunakan.

Dalam Bahasa Arab dikatakan “Waliul Al-Amr” bermaksud pemerintah.

MAKSUD KHALIFAH ADALAH ‘PEMERINTAH TERTINGGI’, MANAKALA PEMERINTAH MERUJUK KEPADA ‘INDIVIDU’

Pemerintah merujuk kepada individu dan bukan merujuk kepada institusi, sekumpulan orang bukan ideologi atau pegangan. Individu ini adalah seorang. Allah tidak mengatakan mentaati pemerintah-pemerintah.   Perhatikan perkataan pemerintah. Dalam perkataan pemerintah ini ia merangkumi semua istilah yang digunakan bagi merujuk kepada seorang pemerintah itu sama ada khalifah bagi zaman khulafak Ar-Rasyidin atau perkataan yang digunakan oleh Imam Al-Barbahari iaitu  “Amirul Mukminin”.

Hadis Nabi ﷺ: “Jika dibai’at dua orang KHALIFAH, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR Muslim, Abu ‘Awaanah, Al-Baihaqi dan yang lain)

ISTILAH LAIN PEMERINTAH ADALAH SEPERTI AMIRUL MUKMININ, PRESIDEN, KHALIFAH, MENTERI BESAR DAN LAIN-LAIN

Kita ada istilah Amirul Mukminin, Sultan, Amir, Malik (Raja), Rais (Ketua), Presiden, Perdana Menteri, Menteri Besar. Ini semua istilah-istilah bagi merujuk pemerintah tertinggi yang sebuah negara atau wilayah jajahan. Kita sebut taat pemerintah merujuk taat kepada pemerintah sesebuah tempat tidak kira apa juga istilah yang digunakan. Ini yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran.

ULIL AMRI BERMAKSUD ‘PEMEGANG URUSAN’

Firman Allah:Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri di kalangan kamu. Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (QS An-Nisak:59)

ULIL AMRI bermaksud orang yang memegang urusan. Amri di sini bermaksud orang memegang urusan di sesuatu tempat. Maka orang itu yang perlu ditaati.

Kita kata ‘ketaatan kepada pemerintah’ adalah merujuk kepada orang yang memegang urusan kenegaraan atau pemerintahan sesebuah tempat. Malangnya, ramai yang keliru siapa pemerintah. Mungkin kerana syubahat atau jahil.

PEMERINTAH DAN LANTIKAN WAKILNYA

Perkataan pemerintah dalam Bahasa Melayu itu sendiri sudah memberi isyarat . Pemerintah daripada perkataan ‘perintah’. Keyword ini menjelaskan kata itu iaitu orang yang layak memberi suruhan atau larangan. Pemerintah ada tanggungjawab, autoriti memberi larangan atau suruhan di sesebuah wilayah atau negara tersebut. Setiap suruhan perlu ditaati dan jika tidak ditaati akan menjadi musykil (keliru).  Dalam masa yang sama pemerintah melantik wakilnya.

Memang lumrah dalam sesebuah tempat akan ada ramai yang memberi suruhan dan larangan. Yang dimaksudkan pemerintah adalah yang ‘pemerintah tertinggi’ dan dibawah ada wakilnya. Zaman khalifah dulu di Madinah adalah pusatnya, dan di tempat lain ada wakil amirul mukminin. Mereka adalah ‘AMIR’ bagi pemerintah di peringkat pusat (tertinggi) iaitu Amirul Mukminin. 

PEMERINTAH TERTINGGI & WAKIL PEMERINTAH … KEKELIRUAN HARI INI IAITU SIAPA PEMERINTAH

Istilah wakil-wakil pemerintah banyak digunakan adalah seperti Menteri Besar, Yang Dipertua sehingga kepada Ketua Kampung. Ini semua wakil ‘Pemerintah Tertinggi’. Paling atas adalah pemerintah tertinggi dalam erti kata yang sebenar. Hari ini kita hidup dalam kekeliruan dan penuh syubahat sehingga satu tahap ada yang pertikaikan siapa pemerintah sedangkan ia telah maklum.

SESEBUAH NEGARA AMAN ADALAH KERANA ADANYA PEMERINTAH

Dengan adanya pemerintah, sesuatu negara akan wujud keamanan. Kalau anda masih ragu tempat anda ada pemerintah atau tidak, maka lihat sama ada keamanan atau tidak.

Kaedahnya adalah ‘Tidaklah Kemanan Itu Ada Melainkan Adanya Pemerintah’.

Jika tidak ada pemerintah, keadaan akan kucar kacir dan negara gawat hingga berlakulah segala macam kekacauan.

PEMERINTAH ADALAH ORANG YANG ADA KUASA SENJATA

Maka pemerintahan dengan erti kata yang sebenar ialah ‘Pemerintah Yang Memegang Kuasa Atas Tentera Dan Polis’. Dua angkatan bersenjata. Maka siapa yang pegang tentera dan polis, dialah pemerintah. Itulah sifir.

TIGA SEBAB RAKYAT TAAT KEPADA PEMERINTAH

Tanpa kekuatan persenjataan, maka pemerintahan jadi simbolik sahaja. Jelas tidak ada kekuatan, negara akan mengundang kejatuhan. Dengan ada ketenteraan, orang akan rasa takut dan gerun. Akhirnya pemerintah ditaati sama ada kerana:

1. Kefahaman agama (cara terbaik)
2. Kerana habuan dunia; atau
3. Takut dikenakan hukuman

SIAPA PEMERINTAH DI MALAYSIA?

Dalam konteks negara Malaysia, kita faham ada pembahagian ada diperingkat persekutuan iaitu Agong, dibawah ada Perdana Menteri (ie Waliul Amri – wakil pemerintah).

PEMERINTAH IBARAT INDIVIDU

Kalau anda kata anda Muslim, anda wajib faham perkara ini. Kita ada Agong dan kita ada Perdana Menteri (PM), di peringkat negeri pula kita ada Sultan, Raja dan Menteri Besar. Mereka semua adalah Waliul Amr dalam konteks syarak. Akhirnya pemerintah seorang individu. Kalau ada 2 orang atau lebih pasti ada pertembungan sepertimana Allah hendak menegakkan hujah keatas manusia bahawa tuhan itu satu.

Firman Allah: “…Jika ada tuhan langit dan tuhan bumi, nescaya setiap tuhan akan membawa pergi apa yang diciptanya” (Al-Mukminun: 91)

Kita lihat bahawa tidak pernah terhenti peredaran bumi disebabkan tuhan langit tarik matahari dan tuhan bumi tarik bumi. Kalau ada 2 atau 3 tuhan pasti ada pertembungan. Begitu juga dalam keluarga, kalau ada queen control, mesti tidak harmoni. Dalam sebuah keluarga bapa jadi ketua keluarga, dalam masa yang sama ada queen control oleh si ibu. Maka akan retak dalam institusi kekeluargaan tersebut.  Demikianlah dalam sebuah negara, pasti ada pertembungan jika tidak ada seorang ketua yang mengetuai.

MUSLIM WAJIB DENGAR DAN TAAT PERINTAH ALLAH DAN RASUL

Imam Al-Barbahari kata:Wajib mendengar dan mentaati para pemimpin dalam perkara yang dicintai dan diredhai Allah”.

Maksudnya di sini memberi satu had/ batas/ limitasi. Ketaatan mutlak bukan kepada pemimpin, dan ia hanya taat mutlak kepada Allah dan Rasul. Allah ulang sekali lagi taatilah Allah dan Rasul.

Apa rahsia disebaliknya? Ketaatan kepada pemerintah bukan mutlak. Sebaliknya ketaatan kepada Allah dan Rasul tidak boleh tangguh, tidak boleh pertikai, teragak-agak. Kalau ada satu larangan tidak boleh kata: ‘tunggu, aku rujuk apa kata si fulan dan apa kata si fulan’ sepertimana orang jahil lakukan hari ni. Allah dan Rasul kita perlu ‘Dengar dan Taat’. Sebaliknya apabila pemimpin kata, kita perlu lihat sama ada ia ‘SELARI dengan perintah Allah dan Rasul’.

TAAT KEPADA PEMERINTAH HANYA PERKARA MAKRUF

Apa maksud makruf? Ia dari perkataan ‘ARAFA’ (diketahui). Kalau nak kata dalam hal kebaikan agak tersasar sikit. Dalam Bahasa Inggeris bermaksud ‘well known’ atau sedia diketahui.  Kalau sebut taati pemerintah dalam hal kebaikan pun boleh. Bagi seorang muslim, dia tidak tahu benda-benda jahat ni. Seorang muslim itu baik, maka dia hanya taat perkara yang baik. Makruf maknanya hal kebaikan dan bukan hal kemaksiatan.

Hadis Nabi ﷺ:Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal maksiat kepada pencipta” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis Nabi ﷺ:Wajib atas seorang muslim untuk dengar dan taat dalam hal yang dia suka atau hal yang dia benci kecuali apabila diperintahkan dengan suatu maksiat” (HR Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas seolah-olah macam kontradik. Dibenci oleh siapa, individu atau syarak? Maksudnya dibenci oleh individu. Benci dalam hal maksiat adalah berbeza. Contohnya, pemerintah suruh dan pastinya kita ‘benci’ untuk berperang kerana kemungkinan terbunuh adalah tinggi. Jadi, wajib dengar dan taat pemerintah untuk berperang.

Hadis Nabi ﷺ:Sesungguhnya ketaatan dalam hal-hal makruf”. (HR Bukhari dan Muslim)

ASAS KETAATAN ALLAH/RASUL & KETAATAN KEPADA PEMERINTAH

Asas Hukum ada 5 iaitu Wajib, Sunat, Harus, Makruf dan Haram. Maksudnya adalah wajib dengar dan taat dalam perkara yang dicintai Allah.

ALLAH MENCINTAI PERKARA WAJIB DAN SUNAT

Apakah perkara yang dicintai dan diredhai Allah? Perkara Wajib dan Sunat sahaja. Makruh adalah dibenci Allah, Haram tentu tidak suka. Perkara Harus Allah tidak suka dan tidak benci.

PERKARA HARUS YANG DISURUH PEMERINTAH, IA MENJADI HUKUM ‘WAJIB’ DITAATI RAKYAT

Adakah kita taat pemerintah hanya perkara Wajib dan Sunat? Tidak. Ketaatan pemerintah menjangkaui perkara wajib dan sunat sahaja, bahkan merangkumi perkara Harus. Taat perkara Wajib dan Sunat ini maklum. Andaikata pemerintah minta kita lakukan perkara Sunat dan Harus, maka ia akan jadi Wajib.  

Pemerintah perintahkan kita secara individu yang asalnya sunat dan harus, ia akan jadi wajib. Maka, ketaatan kepada pemintah merangkumi perkara wajib, sunat dan harus. Bahkan kalau kita perincikan, hakikatnya ketaatan pemerintah muslim lebih menjurus kepada perkara secara dasarnya adalah harus. Apabila ada arahan dia jadi wajib dan kalau ada larangan, ia jadi haram.

TAAT PEMERINTAH SELAGI SURUHAN TIDAK MENJURUS KEPADA MAKSIAT

Kalau kita lihat institusi kerajaan semua melibatkan peraturan dan undang-undang. Yang mana peraturan, undang-undang wajib ditaati selagimana tidak menjurus kepada maksiat.

MEMBUKA PERNIAGAAN DAN MENURUT UNDANG-UNDANG 

Berniaga itu harus. Tetapi apabila nak buka kedai, perlu diikuti ada peraturan-peraturan. Adakah boleh guna hukum umum syarak ‘Bumi Allah Itu Luas’, dan boleh sahaja buka kedai di mana-mana seperti ditengah jalan? Tidak boleh walaupun tempat berkenaan mempunyai pelanggan yang ramai. Wajib taat undang-undang selagimana tidak melibatkan rasuah dan sebagainya.

LANGGAR UNDANG-UNDANG JALANRAYA ADALAH DOSA TETAPI TIADA DISEBUT KHUSUS DALAM QURAN 

Begitu juga undang-undang jalanraya. Ada yang kata undang-undang jalanraya tidak ada dalam Al-Quran. Anda lebih dungu dari keldai di rumah anda. Ini termasuk dalam ayat Quran “Taatlah Allah, Rasul dan pemimpin dari kalangan kamu”. Bahkan disebut oleh Quran, tinggal lagi tidak diperincikan sedemikian rupa.

Undang-undang jalanraya ini adalah arahan pemerintah termasuklah had kelajuan, pakai tali pinggang keledar dan sebagainya. Apa hukum langgar lampu merah?  Adakah jatuh wajib, sunat, harus, makruh atau haram? Wajib langgar tu itu jawapan khawarij. Kena faham. Semua ni ada hukum? Syariat Allah jelas. Kalau dilanggar, ia mengundang dosa atas kita. Wajib ikut peraturan.

KAITAN ANTARA JURUNIKAH DAN PEMERINTAH

Jika berkaitan dengan Jabatan Agama Islam dalam hal peraturan seperti nikah cerai. Kita maklum nikah syarat ada 4 iaitu wali, 2 saksi, ijab qabul dan mas kahwin.  Mana datang peranan pegawai Jabatan Agama (jurunikah)? Adakah mereka tetamu yang tidak diundang?

Jurunikah ni adalah wakil pemerintah dan sebahagian dari undang-undang. Mereka adalah orang yang dilantik mendaftar secara sah bagi proses nikah-cerai. Semua wajib dipatuhi.

Saya pernah bertemu dengan rakyat Malaysia yang nak kahwin dengan orang Amerika. Orang Amerika persoalkan syarat kahwin ada 4 saja tetapi  kenapa perlu ambil darah HIV, ambik gambar, kena surat dan sijil-sijil. Haru keluarga perempuan kenapa jahil sangat. Kalau jahil tahu jahil mudah, ini jahil tapi buat pandai. Kena buat sesi jelaskan.

MENGHORMATI PEMERINTAH ADALAH AKHLAK ORANG MUSLIM

Hari ni masyarakat jahil dalam semua aspek. Dari seremeh perkara seperti langgar lampu merah hinggalah melibatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Ia bahaya dan sebagai muslim kita kena maklum tentang hal ini. Saya melihat pada hari ini siapa pemerintah pun dia tak tahu. Kalau sebut nama pemerintah macam sebut nama kawan dia.

Saya tegur anak-anak saya sendiri apabila mereka sebut: “Najib nak datang kajang”. Cuba sebut nama Guru Besar: “Hei Mat”, tak ke kena penampar. Begitu juga majikan kita. Kita pun tidak tergamak. Kalau orang kafir memang panggil nama sahaja. Allah kata mereka lebih dungu dari binatang. Saya melihat pemerintah Negara perlu dihormati, antaranya dengan memanggil dengan nama yang sepatutnya. Orang-orang yang terdekat dengan, kita panggil nama betul seperti pakcik atau tuan. Tiba-tiba pemerintah tertinggi kita jadi tak faham. Yakinlah ini bukan akhlak Islam. Islam menyuruh kita hormati orang yang ada autoriti seperti pemerintah.

BEZA ANTARA ‘TIDAK TAAT SURUHAN MAKSIAT’ DAN ‘MENARIK KETAATAN KEPADA PEMERINTAH’

Dalam perkara ketaatan pemerintah hanya dalam hal kebaikan sahaja. Bagaimana pemerintah mengeluarkan arahan berbaur maksiat? Kita tidak taat.

Adakah kita tidak taat bermaksud kita cabut tangan ketaatan secara mutlak atau bagaimana? Dukacita ada yang keliru.  Apabila pemerintah bagi arahan maksiat, kita sudah boleh tidak taat dan boleh lawan. Tiada sesiapa ulamak Sunnah yang berfatwa begitu. Yang berfatwa begitu adalah ulamak-ulamak khawarij dari dulu hingga hari ini. Maka dalam hal maksiat kita tidak taat, tapi dalam hal-hal lain masih kekal bersama pemerintah.

Hadis Nabi ﷺ:Sesungguhnya jika kamu diperintah oleh seorang pemerintah lalu pemerintah lakukan kemaksiatan tersebut, dan jangan kamu menarik tangan ketaatan daripadanya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Pemerintah berlaku maksiat dan zalim, wajib kita benci kemaksiatan tersebut. Nabi kata jangan tarik tangan ketaatan daripadanya. Kita katakan bahawa tiada alasan yang membolehkan menarik ketaatan selagi jelas pemerintah muslim.

ANCAMAN KEPADA MUSLIM YANG TIDAK TAAT KEPADA PEMERINTAH

Hadis Nabi ﷺ:Barangsiapa tarik tangan ketaatan daripada pemerintah, dia akan bertemu Allah tanpa alasan dapat dikemukakan. Barangsiapa siapa yang tiada bai’at, dia mati dalam keadaan jahiliyyah” (HR Bukhari)

Satu ancaman yang sangat berat. Zaman jahiliyah memang macam itu, semua saling menjatuhkan antara satu sama lain. Apabila datang Islam, agama perintahkan taat kepada pemerintah. Kita tidak ganggu kedudukan pemerintah walaupun dia zalim dan berbuat maksiat. Kita tidak redha zalim tetapi terus taat dalam hal kebaikan yang lain.

Kata Ubadah bin Saud:Kami berbai’at kepada Baginda ketika kami cergas dan ketika kami terpaksa, Ketika kami susah dan ketika kami senang. Dan ketika kami terpaksa menganggung beban”. Ubadah bin Saud kata lagi:Kami diperintah supaya tidak ganggu gugat pemerintah kecuali dalam keadaan melihat sesuatu kekufuran yang jelas”. (HR Bukhari Muslim)

MASIH WAJIB TAAT PEMERINTAH WALAUPUN BELIAU MELAKUKAN MAKSIAT, BIDAAH ATAU ZALIM

Nabi sebut syarat batas ketaatan kepada pemerintah selagimana dia muslim kecuali melihat suatu kekufuran. Maknanya pemimpin buat bidaah dan maksiat, masih kena taat melainkan kufur yang jelas seperti menyembah berhala, menyeru orang mati, percaya kuasa selain dari Allah, percaya tangkal atau percaya ahli sihir. Masih wajib taat juga jika pemerintah melakukan kekufuran yang halus dalam bab-bab ilmiah seperti firqah ahli kalam. 

Ahli kalam ada ideologi falsafah tentang sifat Allah. Ia menjurus kepada kekufuran tetapi tidak termasuk dalam kekufuran yang hadis sebutkan kerana melibatkan perkara ilmiah dan banyak syuhabat-syubahat. Rata-rata masyarakat tidak tahu.

Akhirnya kita simpulkan siapa yang dapat putuskan pemerintah telah kafir? Tidak lain dari ulamak bermanhaj salafi dan bukan ulamak khawarij atau ulamak suuk.

Hadis Nabi ﷺ: Akan datang pemerintah yang melakukan kezaliman dan kefasikan”. Sahabat bertanya: “Tidakkah kita perlu memerangi mereka?” Nabi kata:Tidak selagimana dia mengimami solat dalam kalangan kalian” (HR Muslim)

PENGAJARAN KISAH SADDAM HUSSEIN DAN MAAMAR GHADAFI YANG ZALIM … JATUHKAN PEMERINTAH ATAS ‘KEMAMPUAN’ DAN ‘MASLAHAT’

Ulamak pernah kafirkan Saddam Hussien dan Maarmar Ghadafi. Keduanya ada ideologi dan akidah yang menyeleweng. Contohnya, Ghadafi mempunyai kitab hijau yang jauh menyimpang dari syarak.  Bolehkan ditarik tangan ketaatan? Ya boleh dilawan, boleh jatuhkan atau diserang.

Fatwa ulamak mengatakan boleh menjatuhkan beliau sekiranya ada ‘kemampuan’ atau ‘maslahat’ lebih besar. Kemampuan maksudnya adalah mesti ada kekuatan persenjataan dan maslahat di sini bermaksud bahawa apabila dijatuhkan kedua-dua pemimpin zalim ini, keadaan lebih baik dari sebelumnya.

SYARAK MENDAHULUKAN MASLAHAT UMAT

Jika kedua-dua kumpulan iaitu pro kerajaan dan pro pembangkang bertempur, akhirnya  apabila bertempur ‘Yang Kalah Jadi Abu Dan Menang Jadi Arang’, ia ditegah syarak. Yakinlah bahawa itulah yang dikehendaki oleh Yahudi dan Nasrani seperti yang telah berlaku di negara seperti Syria, Lubnan, Tunisia, Mesir, Libya dan Iraq.

Akibatnya banyak berlaku perlanggaran syariat dalam hubungan rakyat dan pemerintah masyarakat Islam pada hari ini.

Alhamdulillah kesedaran terhadap perkara ini bertambah baik. Kitab ini adalah kali kedua dibaca selepas tahun 2012. Malangnya kitab ini tidak habis dibaca kerana masalah tertentu. Pada ketika itu tiada yang bahaskan berkenaan taat kepada pemerintah atau masalah khawarij ini. Seakan-akan disenyapkan. Alhamdulillah hari ni ramai asatizah bangkitkan perkara ketaatan kepada pemerintah. Dulu maksud khawarij pun tak tahu hingga ada yang kata khawarij ni  sejenis kuih. Terbaru, kita perlu sedarkan kepada masyarakat tentang bahaya Ikhwanul Muslimin. Jangan ingat mereka sebagai pahlawan pula. Begitu juga kerosakan Hamas di Palestin, Hizbulat di Lubnan. Ini semua dianggap sebagai pahlawan.

TIADA SUMBANGAN IKHWANUL MUSLIMIN KEPADA UMAT ISLAM MELAINKAN MEMECAHBELAH KESATUAN

Kita perlu kaji sejarah tentang kebaikan atau sumbangan kepada umat Islam oleh Ikhwanul Muslim sejak penubuhan 100 tahun lalu, juga Hamas dalam berpuluh tahun memecah umat Islam hingga kesannya boleh dilihat di depan mata.

SOALAN-SOALAN

 1. Apa benar pendapat menyatakan Al–Sisi adalah khawarij?

 Ya. Suatu ketika dulu tapi sekarang dia sudah jadi pemerintah.

Al-Sisi melawan pemerintah iaitu Mursi telah dilantik. Dia menyalahi syarak. Lihat manhaj salaf berterus terang bukan kaedah ‘halal untuk aku dan haram untuk engkau’. Mursi pemerintah yang sah tetapi dijatuhkan oleh Al-Sisi . Perbuatan itu menyalahi syarak. Tetapi apabila Mursi telah jatuh, dia bukan lagi pemerintah.

3 KEADAAN PEMERINTAHAN DAN HUKUMNYA 

1. Keadaan negara aman – Hukum jatuhkan pemerintah adalah khawarij atau bughat.
2. Keadaan gawat tiada pemerintah (2 kelompok bertelagah) – Keadaan ini Muslim tiada ketaatan sesiapa pun. Maka ambil pendekatan tunggu dan lihat. Tidak boleh menyertai perang saudara.
3. Apabila dilantik pemerintah baru – ada ketetapan yang berbeza.

Akan datang dibahaskan bagaimana seseorang menjadi pemerintah. Bagaimana urusan pertabalan dijalankan. Ada yang kata kena jadi khalifah seperti fahaman sesat Hizbut Tahrir. Ini kerana terlalu banyak syubahat yang perlu dirungkaikan.

2. Media massa seperti facebook dan kumpulan-kumpulan whatsapp ramai yang menentang pementangan pemerintah. Perlukah kita ‘lawan’ semula untuk pertahankan pemerintah?

Sama ada tuan-tuan sedar atau tidak, sekarang adalah keadaan pemerintah sedang digulingkan.

3 SITUASI APABILA MELIHAT PEMERINTAH DIPERLEKEH @ DIJATUHKAN

1. Berpeluk tubuh atau buat tak tahu sambil kata: Aku tak masuk campur hal politik” dan bertindak seperti ‘Syaitan Bisu’.
2. Masuk sekali untuk jatuhkan kerajaan: Timbulkan sepkulasi, kutuk pemerintah zalim walaupun tidak ada bukti sahih depan mata, tambahkan keadaan gawat, perbalahan dan silap haribulan tumpah darah sesama kita.
3. Mempertahan keamanan negara: Bantu pemerintah memerangi puak khawarij atau bughat.

MENJATUHKAN PEMERINTAH ADALAH MENGIKUT PETUNJUK KAFIR LAKNATULLAH

Saya tidak nafikan banyak syuhabat iaitu pilihan pertama atau kedua seperti ‘ ini demokrasi’ membolehkan. Tapi kita kena maklum bahawa Sistem Demokrasi ini taghut, jadi jangan kita ikut telunjuk kafir untuk menjatuhkan pemerintah dan abaikan perintah Nabi ﷺ iaitu ‘Taat Pemerintah Walaupun Zalim”. Jika tidak, akhirnya nak keluar kerja pun tak boleh dan silap haribulan jadi apa yang berlaku Syria ini.

DEMONSTRASI AMAN SYRIA & AKIBAT TIDAK PERTAHAN PEMERINTAH

Jangan lupa tragedi Syria bermula daripada demonstrasi kecil-kecilan disebuah ceruk kampung. Tetapi lihat apabila ramai yang BERPELUK TUBUH dengan anggapan ‘Tidak mengapa Demonstrasi Adalah Hak Bersuara Dan Kita Nak jatuhkan Kerajaan Seleweng’. Barangkali puak-puak  yang ‘Berpeluk Tubuh’ merasa bahananya sama ada terkorban, terseksa atau terpaksa berhijrah. 

MEMBURUKKAN PEMERINTAH ADALAH PERMULAAN ANCAMAN KESELAMATAN NEGARA

Maka adalah suatu suatu perkara yang serius dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara. Setiap muslim perlu bertanggungjawab untuk mengajak kepada kesatuan masyarakat, menahan tangan-tangan perosak yang ingin memburuk pemerintah dan ingin merosakkan nama baik pemerintah. Ini adalah mukadimah untuk jatuhkan pemerintah dengan menyebut aib, aib isteri pemerintah, olok-olok dan sebagainya.

Jatuhkan pemerintah bukan terus berperang, ia bermula dengan mengapi-apikan dahulu hingga memberi perasaan benci kepada masyarakat. Sebahagian anggap ini semua benda bahan lawak jenaka, tetapi ia adalah ancaman yang serius dan perlu diambil perhatian.

PERTAHAN PEMERINTAH ADALAH TANGGUNGJAWAB MUSLIM

Maka saya kira kita semua wajib mengembleng tenaga menjaga kesatuan dan keamanan negara. Jika tidak, kita semua akan merasakan akibatnya nanti.

3. Adakah golongan 1 (berpeluk tubuh) iaitu dia membiarkan khawarij berleluasa dikira sebagai mati jahiliyyah seperi hadis Nabi ﷺ?

Golongan berpeluk tubuh atau membiarkan pemerintah dicela, diaib, dituduh, diumpat dan difitnah adalah ‘Syaitan Bisu’. Golongan yang berpeluk tubuh ini bukan terkena dalam hadis mati dalam keadaan jahiliyyah kerana mereka tidak tarik tangan ketaatan. Ada syubahat yang perlu diperincikan.

4. Hadis Nabi ﷺ: “Jika dibai’at dua khalifah, maka bunuh yang terakhir dari keduanya.” Apa mesej Nabi ﷺ sebenarnya?

Maksud hadis ialah perlu jaga kesatuan, pertahan negara, pertahan pemerintah walaupun ada salah silap dan perkara yang kita tidak suka.

KENAPA KEDUA PERLU DIBUNUH PEMERINTAH KEDUA?

Tidak mungkin boleh ada 2 pemerintah tertinggi kerana pasti ada perbalahan. Sebelum berlaku perbalahan, syarak telah mencegahnya lebih awal. Cuma jangan ambil tindakan sendiri. Sebaliknya perlu bersama pemerintah untuk membuat tindakan sewajarnya kepada ‘khalifah kedua’. Pemerintah lebih arif dalam hal tersebut.

5. Apakah nasihat kepada mereka yang cuba ‘MENUKAR KERAJAAN’ dengan cara mengundi dengan alasan bahawa mereka melakukan kebaikan (9 Februari 2012).

Mereka yang cuba menukar kerajaan atau kita guna perkataan yang tepat iaitu menjatuhkan / menggulingkan kerajaan. Mereka menggunakan perkataan diplomasi ‘menukar’ kerajaan. Ini bukan baju boleh ditukar. Istilah ini ada dalam syarak iaitu ‘MENJATUHKAN’ atau ‘MENGGULINGKAN’ kerajaan. Istilah menukar tidak ada. 

MENJATUHKAN (MENUKAR) PEMERINTAH DITEGAH OLEH SYARAK

Kita katakan cara salah dan niat juga salah. Masakan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan syarak dibolehkan. Kewajipan dalam syarak adalah bersatu dan jangan memporak perandakan umat Islam. Jangan menjatuhkan kerajaan demi untuk menjada kesatuan kita. Masakan kewajipan ini dinafikan dengan dakwaan yang tidak tentu benarnya. Percayalah apa sahaja yang bercancah dengan syarak adalah ia adalah batil semata-mata. Maka apa sahaja usaha untuk menukar kerajaan adalah kearah keburukan dan kemusnahan.

Firman Allah: “Dan apabila disuruh kepada mereka, ‘Jangan melakukan kerosakan-kerosakan’. Maka kata mereka, ‘Kami ingin melakukan PERBAIKAN (Islah). Allah kata, ‘Sesungguhnya mereka melakukan kerosakan, sedangkan mereka tidak menyedarinya’”.(Al-Baqarah: 11-13)

MENGGELAR ‘PENGAMPU PEMERINTAH’ ADALAH SUATU KEJAHILAN

Mereka tidak sedar melakukan kerosakan akibat kejahilan terhadap kewajipan agama. Kalau boleh elakkan kita menyindir dan memberi gelaran yang tidak baik. Bahkan menggelarkan orang yang teguh di belakang pemerintah sebagai pengampu-pengampu kerajaan, penyokong-penyokong pemerintah, penjilat-penjilat, ulamak-ulamak pemerintah.

Jangan katakan begitu. Apabila kita megatakan kewajipan mengekalkan pemerintah kerana ia berdasarkan dalil-dalil quran dan sunnah. Ditambah lagi dari pendapat-pendapat dari ulamak salaf. Maka hujah hendaklah dibalas dengan hujah dan jangan dibalas dengan caci makian, gelaran. Itu bukan akhlak seseorang muslim.

Hadis Nabi ﷺ: Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencela, orang yang gemar melaknat, orang yang suka berbuat/ berkata-kata keji dan orang yang berkata-kata kotor” (HR Bukhari, Muslim dll)

TIADA DALIL BOLEH MENJATUHKAN PEMERINTAH KECUALI PEMAHAMAN MENGIKUT HAWA NAFSU

Kalau rasa pendapat mereka lebih benar,  apa yang mereka perlu lakukan adalah ‘Bawakan dalil-dalil kamu sekiranya kamu berkata benar”

Percayalah mereka sama sekali tidak akan mampu membawa apa juga dalil yang membolehkan memecah kesatuan islam, menjatuhkan serta menggulingkannya. Carilah mana-mana dalil, tidak ada. Mereka cuba akan bawa dalil quran dan hadis yang mereka faham mengikut pemahaman mereka yang dangkal semata-mata. Yang tidak menepati pemahaman para sahabat salaf As Soleh. Dalil-dalil mereka fahami mengikut hawa nafsu ada. Gorenglah macam mana InsyaAllah ada. Tetapi dalil dari quran dan sunnah menepati pemahaman salafusoleh mereka tidak akan jumpa.

ULAMAK SALAF SEPAKAT TENTANG KETAATAN KEPADA PEMERINTAH 

Carilah pendapat dari Imam Syafie pun tidak ada. Sebaliknya kita telah disebutkan sebelum ini bagaimana Imam Nawawi dalam kita syarah muslimnya apabila menyebut hadis-hadis ketaatan kepada pemerintah.

Kata Imam Nawawi: Ulamak-ulamak telah ijmak sepakat tetap taat kepada pemerintah walaupun mereka telah melakukkan kefasikan dan kezaliman.”

Ini adalah ulamak yang kita hormati. Beliau adalah ulamak besar bagi pengikut mazhab As Syafie.

Salurkan sumbangan anda kepada Surau:
No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)
SURAU AL HIDAYAH

Berminat mendapatkan artikel kajian dan kompilasi sunnah? Sila sertai di telegram untuk perkongsian yang bermanfaat.

https://t.me/KompilasiDanKajianSunnah

 

 

Advertisements