KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL-BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (9 Mei 2017)

PERKARA 113

Kata Imam Al-Barbahari: “Jika telah berlaku fitnah, maka tetaplah di dalam rumahmu dan hindarilah dari keburukan fitnah. Waspadalah dari sikap taasub kerana segala bentuk pertikaian antara kaum muslimin dalam merebut dunia adalah fitnah. Bertaqwalah kepada Allah yang tiada sekutu baginya. Janganlah keluar, condong dan ikut campur tangan dalam pertikaian (fitnah) tersebut. Jangan mencintai sedikit pun dalam ajaran mereka kerana sesiapa yang mencintai sesuatu sama ada bagus atau buruk, maka sama sahaja seperti apa yang dia mengamalkannya”.


SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita dan menjauhi kita dari maksiat. Bagi saya, ia sangat penting kerana Imam Al-Barbahari menceritakan kewajipan seorang muslim ketika berhadapan dengan zaman fitnah.

DEFINISI ‘ZAMAN FITNAH’

Zaman fitnah mengikut Quran dan Hadis ialah ‘Peperangan Antara Sesama Kaum Muslimin’. Manakala Zaman fitnah mengikut bahasa ialah ‘Cubaan Dan Dugaan’.

Apa kewajipan seseorang muslim ketika berlaku fitnah?

Hendaklah wajib menahan diri, lisan dan tangannya. Menetap dalam rumahnya. Kita raikan juga zaman sekarang dengan menahan jari jemarinya (menaip untuk berjidal di media sosial).

Apa yang dimaksudkan cubaan (ujian) dan dugaan ketika berdepan dengan kaum Muslimin?

Ia dari sudut ketika pertempuran, tidak diketahui mana yang benar. Ini lumrah ketika ada perbalahan dan pertempuran. Maka syarak mewajibkan ketika berlaku fitnah hendaklah masing-masing menahan diri. Jika terjerumus akan termasuk kaum binasa, mencampakkan diri dalam bahaya dan kebinasaan.

EMPAT (4) PERINGKAT KEADAAN POLITIK & PEMERINTAHAN

Yang dimaksudkan zaman fitnah adalah keadaan ketika sudah celaru. Seperti keadaan Syria ketika hari ni. Ada beberapa peringkat yang dilalui dan setiap peringkat ada hukumnya.

1. Peringat pertama: Negara aman damai dan ada pemintah yang sah
Hukum: Muslim Wajib Dengar dan Taat Pemerintah.
Rakyat boleh kerja dan melakukan urusan harian.

2. Peringkat ke-2: Negara tidak stabil dan kaum pemberontak keluar
Hukum: Muslim Wajib Dengar dan Taat Pemerintah.
Rakyat wajib pertahan dan bersama pemerintah perangi kaum Khawarij (pemberontak, pendemonstrasi atau pembangkang).

3. Peringkat ke-3: Negara tidak aman iaitu kaum pemberontak berjaya bunuh @ menggulingkan pemerintah (eg.Iraq, Syria)
Hukum:  Menjauhi Segala Fitnah Dengan Duduk Bersendiri.
Tiada pemerintah yang sah, sesama tentera berbalah.Ini disebut oleh Imam Nawawi, kita relakan kalau ada orang yang nak bunuh. Jadilah sebaik-baik anak Adam iaitu Habil yang dibunuh oleh Qabil. Hadis makan akar-akar kayu terpakai.

Nabi bersabda: “Apabila dua orang Muslim masing-masing berdepan dengan pedang, pembunuh dan dibunuh dalam neraka. Sahabat kata: ‘Yang membunuh masuk neraka maklum tetapi yang dibunuh bagaimana?’ Kata Nabi: “Kerana dia sangat prihatin untuk bunuh saudaranya, tinggal lagi nasib tidak menyebelahinya” (HR Bukhari Muslim)

4. Peringkat ke-4: Negara kembali pulih semula.
Hukum: Maka keadaan ini wajib mentaati pemerintah yang baru itu.
Pihak yang menentang melantik ketua yang sah, dan ketua kembalikan keamanan dan hentikan peperangan.

PUNCA PERBALAHAN: HARTA DAN JAWATAN

Kenapa? Ini kerana perbuatan turut serta hanya akan menyemarakkan perbalahan tersebut. Barang kali kita nak mendapatkan islah dan tanpa disedari kita semarakkan pertumpahan darah atau hak-hak antara Muslim. Hakikatnya perbalahan yang berlaku dalam kalangan manusia kebiasaan adalah kerana keduniaan. Kalau kita lihat perang dan pertempuran sehingga hari ini. Ini bukan masalah yang akan datang, bahkan ia termasuk di negara kita. Bila menyebut perkara dunia maksudnya masing-masing menyebut ‘harta dan jawatan’.

Dukacita bukan kerana nak meninggikan kalimah Allah ‘La Ila Haillallah’ tetapi tidak lebih berpunca nak rebut harta dan jawatan. Maka jika kita termasuk dalam perebutan ini, fitnah akan terpalit.

Maka dalam pertempuran antara dua kumpulan Islam, di satu pihak ada tujuan buruk (tujuan harta dan jawatan), dan lagi satu pihak tujuan lebih buruk (rebut harta dan jawatan juga). Maksudnya keduanya buruk kerana berebut dunia dan bukan keran meninggikan agama. Nabi  ﷺ kata khususnya di akhir zaman. Malah kita berada di akhir zaman.

Nabi bersabda: “Zaman akan semakin dekat. Dan ilmu akan diangkat. Dan fitnah akan terzahir. Dan sifat tamak haloba berleluasa. Dan Al-Haraj akan menjadi banyak.” Sahabat Tanya:  ‘Apa maksud Al-Haraj itu?’ Kata Nabi: ‘Pembunuhan berleluasa’”.

ZAMAN AKAN  SEMAKIN DEKAT ?

Maknanya kita rasa masa semakin cepat, bahkan suatu tempat dan tempat yang lain sangat dekat dengan kemajuan dalam perhubungan atau pengangkutan.

PEMBUNUHAN BERLELUASA (AL-HARAJ)

Pembunuhan kita nampak sangat jelas. Nyawa melayang macam nyamuk. Sekali letup bom, satu kampung ranap. Pernah sekali Amerika laknatullah jatuhkan satu bom dengan maklumat dari talibarut dari kalangan Libya sendiri. Dia jatuhkan satu bom, ranap satu kampung. Mengikut faham Amerika ini adalah kampung talibarut Ghadafi. Apabila diselidik, ia adalah hanya perbalahan antara kabilah dan tiada kaitan dengan pengikut Ghadafi. Akhirnya ranap satu kampung dan berpuluh ribu mati.

TINDAKAN MUSLIM APABILA BERLAKU PERTEMBUNGAN & PEMBUNUHAN SESAMA ISLAM

* Merujuk Zaman Pemerintahan PERINGKAT KE-3: Tidak Diketahui Siapa Yang Benar . Maka Ini Pesan Rasulullah.

Nabi bersabda: “Zaman fitnah apabila perang, patahkan busur dan potong talinya. Dan pukul pedang2 kamu dengan batu.  Dan tetapkan kamu dalam rumah-rumah kamu. Dan jadilah seperti sebaik-baik anak Adam (Habil).” (HR Ahmad)

Patah busur – supaya tidak boleh digunakan
Potong tali – supaya jangan ada yang guna
Patahkan pedang – supaya orang tidak menggunakan

Nabi bersabda: “…..Tinggalkanlah itu semuanya. Sekalipun engkau akan memakan akar-akar kayu, namun engkau tetaplah pada pendirianmu itu.” (HR-Muslim)

Adapun pada zaman PEMERINTAHAN PERINGKAT 1, 2 DAN 4, kaum Muslimin wajib dibelakang pemerintah yang sah sebagai Al-Jamaah.

SIFAT FITNAH ADALAH SEPERTI MAGNET (MENARIK)

Nabi ﷺ berpesan supaya tidak menggunakan senjata ketika fitnah. Fitnah bersifat magnet, ia membuatkan orang tertarik. Sekiranya berdepan situasi kalau kita mengingkarinya, contoh seperti kita dengar suatu ceramah kita rasa jengkel ‘betul ke ustaz ini sebab lain je ajaran Nabi’, lalu tidak lama kemudian rasa jengkel sudah tidak ada lagi. Maka ketahuilah kita sudah termasuk dalam fitnah. Seperti itu juga kita tandas. Apabila sudah lama, sudah tak bau busuknya. Inilah fitnah tandas.

KETIKA FITNAH: JADILAH SEPERTI HABIL 

Sekali lagi syarak mengambil kira sifat manusia. Syarak suruh patahkan senjata dan duduk rumah. Dalam fitnah jangan memberanikan diri. Jadilah sebaik-baik anak Adam (Habil) – merujuk peperangan Habil dan Qabil. Habil yang telah merelakan diri dibunuh, dialah terbaik. Perlu kita maklum bahawa ini adalah zaman fitnah. Tidak diketahui siapa yang benar.

BUGHAT & KHAWARIJ: KAUM PEROSAK YANG MEMERANGI PEMERINTAH

Berbeza sebuah Negara dilanggar kaum pemberontak. Maka, ini bukan fitnah kerana dalam situasi kaum pemberontak (dalam keadaan Islam) yang mengangkat senjata untuk memerangi pemerintah, maka kaum ini dikira sebagai Bughat atau Khawarij.

UMAT ISLAM WAJIB DI BELAKANG PEMERINTAH MEMERANGI BUGHAT & KHAWARIJ

Kaum Bughat atau Khawarij wajib diperangi. Mereka adalah kaum perosak yang hendak menjatuhkan sesebuah Negara. Mereka ingin menjatuhkan pemimpin yang sah dalam sesebuah negara. Ingin mengadakan kekacauan dan pertumpahan darah. Maka ia patut di perangi. Keadaan ini bukan dalam situasi fitnah, wajib perangi Bughat dan Khawarij dibelakang pemerintah yang sah. Rakyat jelata wajib berdiri di belakang pemerintah Muslim yang sah dan memerangi kaum Bughat atau Khawarij yang mahu timbulkan kekacauan dalam Negara.

PERINTAH SYARAK PERTAHANKAN PEMERINTAH

Ini kerana ketika bersama pemerintah, kita menegakkan perkara hak iaitu pemerintah Muslim wajib ditaati (dalam perkara makruf). Adapun khuruj dengan melawan atau melanggar pemimpin sah adalah perbuatan yang batil . Malah ditegah oleh syarak. Maka, maksudnya kaum keluar ketaatan, rakyat sama sekali  tidak boleh bersama bersama atau membantu mereka. Sebaliknya mereka perlu memerangi kaum perosak ini dengan membantu pertahankan pemerintah.

Nabi bersabda: “Sekiranya dua khalifah dilantik, maka BUNUHLAH yang kedua terakhir daripadanya.” (HR Muslim)

Yang pertama itu adalah pemimpin yang sah. Jika ada sesiapa yang nak melantik dirinya yang kedua, maka yang kedua perlu diperangi kerana mana boleh sebuah tempat ada dua pemimpin. Tidak mungkin. Ia akan menimbulkan perbalahan dan perpecahan. Islam menegah apa juga bentuk perpecahan dan perbalahan.

Tidak dinafikan asalnya nyawa seorang Muslim terpelihara. Kita tidak boleh perangi mereka kerana telah dipelihara nyawa, harta dari kezaliman. Hanya dikenakan hukuman kecuali diakui oleh syarak.

Nabi bersabda: “Tidak halal darah seorang muslim kecuali dalam 3 perkara, nyawa dibalas dengan nyawa, seorang yang sudah berkahwin yang berzina, orang meninggalkan agamanya iaitu yang keluar dan menyelisihi Jamaah” (Hadis Bukhari dan Muslim)

AL-JAMAAH ADALAH BERSAMA PEMERINTAH YANG SAH

Jamaah bermaksud kaum Muslimin yang bersatu di bawah pemerintah yang sah. Imam Nawawi mengatakan bahawa sebahagian ulamak mengatakan ‘menyelisihi Jamaah’ iaitu keluar dari ketaatan pemerintah. Sama ada kerana kebidaahan, bersikap Bughat atau Khawarij. Adapun Bughat dan Khawarij wajib diperangi.

Firman Allah: “Sekiranya dua kaum beriman berperang. Maka damaikanlah antara keduanya. Sekiranya salah satu daripada keduanya bertindak melampau atas lawannya, maka perangilah puak yang melampau itu” (Al Hujurat: 9)

Bughat bermaksud melampau batas dan tidak mahu taat kepada pemerintah Muslim. Khawarij adalah keluar dari ketaatan. Bughat lebih kepada sifat keduniaan (eg. engkar perintah datang ke mahkamah) dan Khawarij lebih kepada sifat agama (ie tidak taat dan mengkafirkan pemerintah)

PERINTAH NABI PERANGI KAUM KHAWARIJ

Nabi bersabda: “Akan keluar suatu kaum yang cetek pemikiran dan tidak berfikiran matang (jauh). Ucapan mereka dari sebaik-baik perkataan (guna dalil quran dan hadis), iman mereka tidak melewati kerongkong (pandai berkata-kata), mereka tergelincir dari agama seperti anak panah keluar dari sasarannya (sangat laju dan cepat). Di mana kamu temui mereka, Bunuhlah Mereka. Sesungguhnya membunuh mereka ada pahala pada hari kiamat” (HR Bukhari dan Muslim)

IKTIBAR SYRIA: KHAWARIJ BERMULA DENGAN SLOGAN ‘PEMIMPIN ZALIM’

Hadis yang sangat berat dan tegas. Mereka kaum perosak , jahil dan buat-buat alim. Jika dibiarkan akhirnya kita juga yang merana. Sebagai contoh seperti berlaku di Syria. Ia bermula demonstrasi kecil-kecilan dan tidak dibendung dengan tegas dan cepat, akhirnya ia melarat. Wallahualam, saya tidak terkejut jika mereka dibantu oleh pihak luar. Lama-lama satu Negara kacau. Dan akhirnya ribuan orang mati. Kini, rakyat Syria terpaksa tagih simpati Negara kafir dan mereka juga datang ke negara kita. Kesian. Itulah akibat sikap tidak bertanggungjawab dari kalangan penduduk mereka.

‘TIDAK ENDAH DENGAN AKTIVITI KHAWARIJ’ – TIDAK BERSAMA AL JAMAAH

Tidak kurang berat adalah sikap yang lain (yang tidak memberontak), mereka buat tidak endah. Yang mendiamkan perbuatan perosak ini. Kita saksikan sendiri di Negara kita dengan demonstrasi Kotor 1, Kotor 2, Kotor 3. Ini perbuatan memporak peranda Negara kita. Dalam masalah in jangan bagi muka. Kerosakan yang mereka buat bukan RM10 atau RM20, tapi ribuan. Begitu juga nyawa bukan seorang dua, tapi ribu-ribu mati nanti. Tidak hairan syarak sangat tegas. Berdepan Khawarij, syarak kata bunuh. Siapa kata kalau bukan Rasulullah sendiri. Kita yang tak faham. Maka kaum muslimin perlu memerangi mereka.

SOALAN-SOALAN

1. Sejauh mana sudah masuk dalam perbuatan Bughat atau Khawarij jika seseorang rakyat menyebut-nyebut di dalam media sosial berkenaan ‘Kerajaan Zalim” dengan mengadakan GST, minyak mahal dan sebagainya?

Saya kira ini fitnah-fitnah mereka untuk menghasut masyarakat dan rakyat. Dan kena ambil  maklum isu-isu seperti ini. Semua orang tak suka GST sebab kena bayar lebih……siapa suka? Tapi cara menangani  perlu dengan bijaksana. Adakah marah GST dan  kita bakar kelambu? Atau adakah dengan jatuhkan pemerintah? Itu cara Khawarij.

Sesiapa yang membangkitkan isu ini secara terbuka, di pentas rakyat. Tujuannya maklum. Dia bukan menasihat. Itu bukan cara beri nasihat tapi memporak perandakan Negara. Ini bertopengkan nasihat. Ramai yang terpedaya dan tak sedar apa yang berlaku.

KAEDAH NASIHAT KEPADA PEMIMPIN

Nabi  bersabda: “Barangsiapa yang hendak menasihati penguasa dengan suatu perkara, maka Jangan Dilakukan Dengan Terang-Terangan, Tapi Gandenglah Tangannya Dan Menyepilah Berdua. Jika diterima memang begitu, jika tidak maka dia telah melaksanakan kewajibannya” (HR Ahmad:14792)

MENGUMPAT, PENYEBAR PERSEPSI @ FITNAH

Nabi bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba Berbicara Dengan Suatu Perkataan Yang Tidak Dia Fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Apakah fatwa Ulamak Kibar berkenaan berkenaan demonstrasi @ demonstrasi aman ini?

SOKONG DEMONSTRASI MEMBANTU TUMPAH DARAH KAUM MUSLIMIN

Syaikh Dr. Soleh Al-Suhaimi ketika mengulas tentang apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini berkata:

“…….Demi Allah yang tidak ada Tuhan selainNya, di antara kita yang menyokong demonstrasi, Wallah, dia termasuk sebab terbunuhnya kaum muslimin.” (Petikan fatwa Syaikh Dr. Soleh Al-Suhaimi terhadap isu Mesir, Masjid Nabawi Madinah)

3. Selain hadis Nabi ‘Taat Pemerintah Walaupun Zalim’, apa rasionalnya kita tidak jatuhkan pemimpin yang jelas zalimnya?

Hadis Nabi : “Akan ada selepas peninggalanku para pemerintah yang tidak mengikut petunjukku dan tidak beramal dengan sunnahku, dan ada di kalangan mereka pemerintah yang hati mereka adalah hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzaifah) berkata, “Bagaimana jika aku berdepan dengannya?” Baginda berkata, “Dengar dan taat kepada pemerintah itu, jika belakangmu dipukul dan hartamu dirampas, dengarlah dan taatlah.” (HR Muslim)

BERDEPAN DENGAN PEMERINTAH ZALIM (HATI SYAITAN): ‘DENGAR DAN TAAT’

Menjadi Sunnatullah, apabila pemerintah dijatuhkan, akibatnya sangat dahsyat. Sebab itu dalam hadis Huzaifah, Rasulullah menyebut pemimpin ini tidak mengikut petunjuk, tidak mengikut sunnah, malah hatinya hati syaitan. Tentulah yang Rasulullah maksudkan adalah pemerintah yang zalim.

Pemerintah yang merampas harta rakyat; sama ada melalui cukai GST, tol, kenaikan harga, atau merampas terang-terangan, Rasulullah telah pun menyebutnya di dalam hadis. Lalu apa perintah Baginda? ‘Dengar dan patuh.’ Bukan Baginda redha, bukan menggalakkan pemerintah berbuat zalim, tetapi petunjuk wahyu mengatakan kezaliman lebih besar akan berlaku jika manusia melakukan sebaliknya.

IKTIBAR ARAB SPRING

Kesan tidak patuh kepada sabda Baginda ﷺ sangat buruk. Arab Spring yang direncanakan oleh Ikhwanul Muslimin ini sangat musibah. Lihat sahaja Syria, Libya, Mesir, Iraq, Tunisia dan lain-lain. Adakah Negara mereka lebih baik dari sebelumnya (demonstrasi)? Tidak

Semua kita merasa sedih apa yang berlaku kepada saudara Islam di sana. Apa nak buat…nasi sudah jadi bubur. Apapun, ini adalah ketentuan Allah dan perlu dijadikan iktibar supaya tidak berlaku di Negara kita.

3. Kerosakan kaum perosak Ikhwanul Muslimin jelas. Apa sebenarnya matlamat yang diperjuangkan oleh mereka?

Terdapat 2 matlamat utama Ikhwanul Muslimin iaitu:

1. Memegang pemerintahan atau mewujudkan ‘Khilafah Islamiyah’
2. Menguatkan gerakan dan pengaruh Jemaah Ikhwanul Muslimin

Subhanallah. Matlamat tidak menghalalkan cara. Islam mengutamakan tauhid dan akidah berbanding Khilafah Islam. Jadi, ini perlu diterapkan dalam setiap umat Islam.

KHILAFAH ISLAMIYAH INI ADALAH SUATU HADIAH DARI ALLAH

Firman Allah: “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan mengerjakan amal saleh, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi… (An-Nur:55)

DAKWAH TAUHID MENDAHULUI KHILAFAH ISLAM

Firman Allah: “…. sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia ridhai (An-Nur: 55)

 4. Khawarij adalah golongan yang mengkafirkan pelaku dosa besar. Bagaimana boleh mengaitkan hadis di bawah dengan sifat Khawarij kerana Dzul Khuwaisirah tidak kafirkan Nabi , malah dia hanya menegur Nabi ?

Kata Dzul Khuwaisirah: “Wahai Rasulullah, berlaku adillah”. 

Nabi ﷺ bersabda: “Akan keluar dari tulang sulbi keturunan lelaki ini satu kaum yang muda usianya tetapi bodoh caranya berfikir, perkataan yang keluar daripada lisan mereka adalah perkataan-perkataan wahyu (Al-Quran), tetapi …..HR Bukhari- 3611)

Ya. Siapa mempunyai salah satu daripada sifat tersebut akan dikatakan sebagai Khawarij iaitu:

1. Mengkafirkan pelaku dosa besar; ATAU
2. Melawan pemerintah

Hadis Nabi : “Seburuk-buruk orang yang dibunuh dibawah payungan langit, dia adalah sebaik-sebaik pembunuhan buat orang yang membunuh mereka iaitu Khawarij.” (HR Tirmizi)

Seburuk-buruk orang adalah Khawarij. Bagi yang membunuh, dia adalah sebaik-baik pembunuhan kerana membunuh orang yang buruk.

5. Sejauh mana kewajipan mempertahankan pemerintah?

Hadis Nabi : “Jika dibai’at 2 khalifah, MAKA BUNUH yang terakhir dari keduanya”

Dalil di atas jelas menyebut pentingnya kita mempertahankan pemerintah. Jika mendakwa pertahankan pemerintah tetapi hanya berdiam diri ketika kaum perosak menebarkan fitnah, persepsi negatif dan mengajak menjadi pembangkang kepada pemerintah, ini bermaksud Syaitan Bisu.

Ia tidak kurang musibahnya dengan kaum perosak tadi kerana tidak menjalankan amar Makruf Nahi Mungkar, apatah lagi seruan ‘Memerangi Pencabar Khalifah’ seperti Hadis di atas.

MAKSUD ‘MEMPERTAHANKAN’ PEMERINTAH (DBP)

1. menjaga supaya kekal atau supaya tidak berubah: ~ adat. 2 menjaga supaya tidak diserang (dikuasai, dirosakkan dll)..pedang atau senjata; melindungi: ~ tanah air drpd serangan musuh.
*bukan sekadar SOKONG 

6. Dalam hadis mempertahankan pemerintah, Nabi menggunakan perkataan ‘Khalifah’. Apakah pemerintah kita juga khalifah yang wajib ditaati kerana mereka juga jahil, dan tidak seperti 4 Khalifah Ar Rasyidin yang alim?

DUA SUDUT PERKATAAN KHALIFAH

1. Sudut pertama – Ketaatan Rakyat Kepada Pemerintah.

Khalifah adalah suatu istilah merujuk kepada pemimpin Negara. Sesiapa jadi pemimpin Negara sama guna istilah khalifah atau guna istilah lain Perdana Menteri, Pemerintah, Presiden atau Sultan. Dalilnya adalah semua hadis-hadis ‘Taat Pemimpin Walaupun Zalim’.

2. Sudut kedua – Khalifah Kepada Perhimpunan Seluruh Umat Islam

Hadis “…Akan wujud khilafah mengikut manhaj Nabi, kemudian akan berlaku sistem beraja,  dan akhir sekali peringkat khilafah sekali lagi atas manhaj Nabi” (HR Ahmad)

Ulamak kata Imam Mahdi adalah khalifah yang terakhir.

7. Apakah dalil wajib taat pemimpin kerana Nabi sebut wajib pertahan khalifah dan bukan pemimpin?

Hadis Nabi : “Jika dibai’at 2 khalifah, MAKA BUNUH yang terakhir dari keduanya”

Dalil Khalifah juga merujuk kepada pemimpin, sultan, perdana menteri atau presiden seperti di bawah. Begitu juga hadis-hadis lainyang menyuruh wajib taat pemimpin walaupun zalim.

Hadis Nabi : “Aku wasiatkankepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.” (HR Ahmad dll)

PEMERINTAH ADALAH KHALIFAH – LIHAT DEFINISI PERTAMA ‘KHALIFAH’

Apa yang diambil kira adalah ‘Jawatan Selaku Pemerintah’ bukan gelaran presiden, sultan, perdana menteri atau sultan. Kembali kepada definisi pertama khalifah atau pemerintah yang sah tadi.

KESIMPULAN

Semoga kita tergolong dari kalangan  Al-Jamaah iaitu 1 dari 73 golongan yang terus masuk ke syurga,  dan tidak termasuk dalam syubahat Khawarij yang sesat dari keturunan Dzul Khuwaisirah yang bertindak ‘Seperti Mana Keluarnya Panah Daripada Busurnya’ iaitu mereka yang begitu cepat membuat kesimpulan tanpa mengkaji (tabayyun) terlebih dahulu daripada Keseluruhan Dalil Dan Nas, serta memahami agama seperti para Salaf As-Soleh.

Persoalan berkenaan Al-Jamaah @ ketaatan kepada pemimpin juga terdapat di artikel berikut:

1. https://mazuddin2.wordpress.com/2017/01/19/imam-al-barbahari-siri-2-asas-sebagai-muslim-adalah-mengikut-kefahaman-sahabat-dan-taat-kepada-pemimpin/

2. https://mazuddin2.wordpress.com/2017/03/30/ketaatan-kepada-pemimpin-perkara-fekah-atau-akidah-hukum-berlepas-diri-dari-golongan-khawarij-dan-juga-golongan-pemerintah/

3. https://mazuddin2.wordpress.com/2017/05/04/penyatuan-umat-islam/

4. https://mazuddin.wordpress.com/#7.0

Advertisements