Sering diajar dalam kitab tauhid berkenaan Awwaluddin Makrifatullah (Perkara Utama Dalam Agama Adalah Mengenal Allah). Dalam masa yang sama dalil menyuruh kita beriman dengan Allah. Jadi, kedua-dua maksud ini perlu difahami mengikut dalil yang benar seperti kefahaman Salaf As-Soleh.

PERBEZAAN ‘MENGENAL’ DAN ‘BERIMAN’ KEPADA ALLAH

Perlu diketahui bahawa terdapat perbezaan antara iman (percaya) dan makrifah (kenal).

Kalimah Tauhid mengucapkan Syahadah membawa maksud IMAN iaitu kepercayaan yang disusuli dengan tunduk dan perlaksanaan. Ia berbeza dengan MAKRIFAH yakni kenal. Oleh yang demikian, terdapat 3 perkara perlu dirungkaikan dalam hal ‘Awwaluddin Makrifatullah’ iaitu:

1. AWWALUDDIN MAKRIFATULLAH – TIADA ASAS DALAM AGAMA

Kenal Allah (Makrifatullah) tidak cukup untuk merealisikan sikap seorang sebagai seorang Muslim kepada Allah Taala kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani kenal Rasulullah ﷺ sebagaimana dalil berikut.

Firman Allah: “يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ”
Mereka (Yahudi dan Nasrani) mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri.”[QS Al-Baqarah, ayat 46)

Tetapi adakah perbuatan mereka kenal Rasulullah bererti mereka beriman dengan Baginda? TIDAK.

KEUTAMAAN ‘BERIMAN’ BERBANDING ‘MENGENAL’

Ini kerana mereka kenal tetapi mereka tidak beriman. Kerana itu apa yang penting dan utama ialah IMAN. Bukan sekadar kenal (makrifah). Dapat kita simpulkan bahawa dakwaan bahawa perkara pertama dalam Agama ialah Mengenal Allah (Awwaluddin Makrifatullah), ia tiada asasnya dalam Agama.

2. AWWALUDDIN MAKRIFATULLAH – MENYALAHI DALIL

PENEKANAN TAUHID, BERIMAN DAN ESAKAN ALLAH

Ia menyalahi ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi ﷺ yang menjurus kepada menekankan TAUHID, beriman kepada Allah dan mengESAkannya, disamping beriman kepada Rasulullah ﷺ dan ittiba’ (mencontohi) Sunnahnya.

Tauhid ialah mengESAkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi syirik.

Ia adalah perkara pertama yang perlu diucapkan oleh seorang Muslim dan yang terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Nabi ﷺ bersabda: “أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ الله”
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahwa TIDAK ADA SEMBAHAN MELAINKAN ALLAH dan bahwa Muhammad adalah Rasulullah.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam Hadis Muadz bin Jabal radhiallahu anhu, Nabi berpesan kepadanya sebelum mengutusnya ke Negeri Yaman.

Nabi ﷺ bersabda: “إِنَّكَ تَأْتِى قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ”
Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum Ahli Kitab, maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa TIDAK ADA SEMBAHAN MELAINKAN ALLAH, dan bahawa aku adalah utusan Allah (Rasulullah).” (HR Muslim]

Terdapat juga hadis Rasulullah: ﷺ: “مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ”
Barangsiapa ucapan terakhirnya ialah “la ilaha illallah” maka dia masuk Syurga.” (HR Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani)

Dapat kita lihat daripada hadis-hadis di atas, Nabi Muhammad ﷺ jelas menekankan perkara TAUHID iaitu Kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله (La ilaha illallah) dan bahawasanya inilah PERKARA WAJIB PERTAMA atas seseorang itu sekiranya dia hendak memeluk Islam. Kalimah Syahadah ini juga yang perlu diucapkan sebelum seseorang itu meninggal dunia.

3. AWWALUDDIN MAKRIFATULLAH – RIWAYAT SYIAH

Dakwaan bahawa perkara pertama dalam Agama ialah mengenal Allah (Awwaluddin Makrifatullah’) adalah palsu.  Sebahagian menyandarkan perkataan ini kepada Rasulullah ﷺ. Ternyata Bahawa Perkataan Ini Tiada Asasnya Dalam Hadis Yang Sahih.

Ia disandarkan kepada Ali bin Abi Talib radhiyallahu’anhu, di mana beliau kononnya mengatakan: “أول الدين معرفته”
“Perkara pertama dalam agama ialah mengenal-Nya.” (Riwayat ini disebarkan Syi’ah)


Oleh Abu Adam Amenudden Abdul Hadi & 
Ustaz Idris Sulaiman
April, 2017

Advertisements