Usahakan Tadabbur Al-Quran @ Terjemahan 
Oleh Dr. Fadlan Othman

Bacalah dan usahakan tadabbur Al-Quran dalam bahasa yang anda faham, iaitu Terjemahan Al-Quran.

BENTUK-BENTUK MEMAHAMI AL-QURAN

Pengertian Al-Quran terbahagi kepada empat, mengikut kata-kata Abdullah bin Abbas r.a.:
التفسير على أربعة أوجه : وجه تعرفه العرب من كلامها، وتفسير لا يعذر أحد بجهالته، وتفسير يعلمه العلماء، وتفسير لا يعلمه إلا الله تعالى ذكره.

Maksudnya: Tafsir itu terbahagi empat bentuk iaitu:

1. Diketahui oleh orang Arab daripada bahasa mereka
2. Tidak dimaafkan sesiapapun yang tidak mengetahuinya
3. Diketahui oleh para ulama
4. Diketahui hanya oleh Allah Ta’ala sahaja.

(Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Bayrut: Muassasat al-Risalah. 1420H-2000. Jil. 1 Hlm. 75)

PERINTAH ALLAH UNTUK MENELITI DAN MENGAMBIL PENGAJARAN

Al-Imam Ibnu Jarir al-Tabari r.a. telah menjelaskan bahawa Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk mengambil pengajaran dan meneliti ayat-ayat Al-Quran.

Ini menunjukkan langkah pertama yang perlu dilakukan ialah berusaha memahami maksud ayat-ayat Al-Quran. Selepas memahami maksudnya, barulah diusahakan tadabbur dan penelitian terhadapnya.

(Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Bayrut: Muassasat al-Risalah. 1420H-2000. Jil. 1 Hlm. 82)

Sekurang-kurangnya, usahakanlah agar kita dapat mencapai tahap kefahaman orang Arab semasa membaca al-Quran. Mulakan menghafal satu perkataan demi satu perkataan, saban hari tanpa henti. Sehari satu muka surat pun sudah memadai.

KONSISTEN DALAM USAHA ADALAH TANGGA KEJAYAAN

Firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (QS Al-Ankabut:69)

Jom mulakan hari ini juga!

DFO
Rabu,1 Rejab 1438
29 Mac 2017

Advertisements