KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL-BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (31 Mac 2017)

PERKARA KE-21

Kata Imam Barbahari: “Beriman dengan adanya sirat (jambatan) di atas jahannam. Sirat akan mengambil siapa yang Allah dikehendaki. Akan lolos siapa yang Allah kehendaki, dan akan jatuh ke jahannam siapa yang Allah kehendaki. Mereka memiliki cahaya sesuai dengan kadar keimanan mereka.”

SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

Apabila seseorang itu mati, ia dikira telah berpindah ke alam berikutnya. Secara teknikalnya, ia termasuk dalam urusan alam akhirat.

PERBEZAAN TITIAN SIRAT (ZAHIR) DAN SIRATUL MUSTAQIM (MAKNAWI)

Kata Imam Al-Barbahari:
“Beriman dengan titian sirat”. Ia satu perkara dan kita ada sirat Al-Mustaqim. Nampak bunyi sama tapi dua perkara berbeza. Boleh kita kata satu zahir dan satu maknawi. Titian sirat adalah zahir di akhirat, manakala siratul mustqim adalah jalan yang lurus yang disebut dalam surah Al fatihah.

ORANG BERIMAN AKAN BERJAYA DI TITIAN SIRAT YANG DIBENTANG ATAS NERAKA JAHANNAM

Sifat sirat itu adalah ibarat jambatan yang dibentang atas neraka jahannam yang lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang. Manusia akan melaluinya mengikut kadar amalan mereka. Di kalangan manusia, akan ada melewatinya sekelip mata (sepantas kilat), ada yang seperti angin, ada yang pantas seperti kuda dan ada yang kurang daripada itu. Antara dalil yang menunjukkan perkara ini adalah:

Firman Allah: “Dan tiada seorang pun kalian melainkan akan mendatanginya (neraka). Dan hal itu adalah suatu kemestian.”(QS Maryam: 71)

Ulamak tafsir mengatakan mendatanginya bermaksud melewati titian sirat di atas neraka jahannam. Ketika mana manusia atau golongan beriman melewati atas titian sirat, para malaikat mendoakan ke atas mereka: “Ya Allah selamatkan, selamatkan”.

GAMBARAN TITIAN SIRAT

Adanya sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang agak panjang memperincikan titian sirat:

“…Lalu dibentangkan jambatan atas neraka jahanam. Sahabat bertanya:” Apakah jambatan itu?” Kata Nabi: “ Ia licin dan diatasnya ada pengait-pengait seperti duri pokok sakdan di Negeri Najam. Orang beriman lalu di atasnya ada yang seperti sekelip mata. Ada seperti kilat, ada seperti angin dan ada seperti kuda yang pantas. Ada yang selamat tetapi dalam keadaan terluka. Ada yang keadaan tergelincir dan terhumban ke neraka jahanam. Orang yang terakhir melintasinya dalam keadaan mengesot”.

Kata Imam Al-Barbahari: “Mereka memiliki cahaya sesuai dengan keimanan yang mereka miliki”.  Cahaya itu adalah untuk menyuluh jalan.

ORANG BERIMAN DIBERI CAHAYA

Firman Allah: “Ketika engkau melihat orang beriman lelaki dan perempuan, cahaya bergerak cepat di hadapan dan sebelah kanan. Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, kamu beroleh syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Kamu kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar” (QS Al-Hadid: 12)

Jannah (syurga) maksudnya pokok-pokok yang mempunyai daun yang banyak dan besar. Ia taman yang ada pokok dan daun yang besar.  Ini disebutkan kepada orang yang beriman. Dalam penjelasan tafsir, cahaya yang disebutkan adalah untuk merentasi sirat secara khasnya.

ORANG MUNAFIK – ‘BALASAN SETIMPAL AMALAN’

Firman Allah: “Pada hari ini orang-orang munafik lelaki dan perempuan. Mereka berkata kepada orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit cahaya daripada kamu”. Dikatakan kepada mereka: “Baliklah kamu ke belakang. Carilah cahaya di sana”. Maka apabila mereka berpusing didatangkan kepada mereka pintu yang ada sebelah dalamnya syurga, di sebelah luarnya terdapat seksa api neraka. Pada saat itu orang-orang munafik panggil orang beriman: “Bukankah kami dulu bersama kamu?”. Orang beriman jawab: “Benar. Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu, kamu telah mengharapkan kebinasaan orang Islam. Kamu ragu-ragu terhadap agama. Kamu telah terpedaya dengan angan-angan kosong. Kamu menanggap perbuatan munafik menguntungkan kamu, kamu telah perlecehkan orang Islam. Kamu berbohong, kamu kata Islam tapi benci kepada Islam. Kamu tolong musuh-musuh Islam, kamu bocorkan rahsia dan sebutkan kelemahan orang Islam kepada orang kafir.

Maka pada hari ini tidak akan diterima apa juga wang penebus. Begitu juga orang-orang kafir. Neraka sahaja tempatmu. Itu seburuk-buruk tempat kembali” (QS Al Hadid: 12-15)

Ini adalah undang-undang Allah kerana ‘Balasan setimpal amalan’.

SIFAT ORANG MUNAFIK

Orang munafik di dunia bermuslihat dan bermuka-muka. Menzahirklan sesuatu tetapi dalam hati mereka sembunyikan yang lain. Zahirkan Islam tetapi kufur kepada agama.  Bermuslihat dengan orang Islam dan agama Islam. Mereka melakukan tipu daya dan menyangka bahawa mereka bijak memperdayakan orang Islam. Tanpa mereka sangka, Allah sentiasa mengawasi gerak geri mereka. Oleh kerana itu di akhirat Allah membalas perbuatan mereka  seperti mereka lakukan ketika di dunia. Lihat apabila mereka meminta cahaya, dan orang beriman suruh pusing balik dan ambik cahaya.

Imam Ibn Katsir: “Tidaklah seseorang di akhirat melainkan akan diberi cahaya.”

Apabila sahaja mereka berjalan dan sampai ke titian sirat, ketika itu akan terpadamlah cahaya orang-orang munafik. Boleh kita simpulkan bahawa orang kafir lagi terpadam. Apabila orang beriman nampak cahaya orang munafik tiba-tiba terpadam ketika sampai ke titian sirat, orang beriman merasa risau cahaya mereka juga akan terpadam. Orang beriman cemas dan khuatir akan mengalami nasib yang sama.

Firman Allah: “….Orang-orang beriman akan mengatakan: “Ya tuhan kami, sempurnakanlah cahaya bagi kami….” (QS At-Tahrim: 8)

Sempurnakanlah cahaya bermaksud kekalkanlah cahaya sampai ke pintu syurga.

DOA SEMOGA DIMUDAHKAN URUSAN TITIAN SIRAT

Kita mohon daripada Allah semoga tergolong daripada hamba yang beriman yang akan dapat merentasi titian sirat dengan cahaya terang benderang. Dan terdiri dapat kalangan yang dapat melintasi titian sirat selaju mungkin. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memakbulkan doa hambaNya. Ameen.

PENAFIAN AHLI KALAM DALAM HAL TITIAN SIRAT

Berbeza dengan golongan ahli kalam, khususnya Jahmiah dan Muktazilah. Mereka menafikan perincian yang menceritakan tentang keadaan hari akhirat. Dalam kalangan ahli kalam mereka menolak tentang aspek titian sirat. Mereka tidak beriman perkara titian sirat sepertimana keadaan dalam kubur, fitnah kubur atau seksa kubur atau telaga haudh. Atas alasan nas tentang titian sirat adalah hadis ahaad (periwayat yang tidak ramai). Maka mereka dakwa ini akan menimbulkan keraguan sejauh mana benar perawi tersebut.

SYUBAHAT-SYUBAHAT AHLI KALAM DALAM HAL AKHIRAT

Falsafah mereka: “Untuk kita nak beriman dengan sesuatu, kepercayaan perlu berdiri dengan benda yang yakin. Tidak boleh percaya dengan sesuatu yang tak betul. Jadi, hadis ahaad tidak diyakini kebenarannya (syubahat pertama).” Atas falsafah ini mereka tolak hadis ahaad.

Saya ada lihat video kuliah Hassan Saqqaf, seorang ulamak ahli kalam. Jika tuan-tuan lihat dalam video tu secara terang menyebut tentang titian sirat. Dia kata sebagaimana orang Islam sebelah sana yang mengatakan titian sirat lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tetapi kita menolak perkara ini kerana dia bertentangan dengan Al Quran (syubahat kedua).

AHLI KALAM – MENOLAK HADIS WALAUPUN DARI KITAB BUKHARI DAN MUSLIM

Mereka tidak menerima suatu hadis kalau tiada dasarnya dalam Quran. Sesuatu hadis jika dalam quran tidak cerita tentang titian sirat, maka bagi mereka hadis titian sirat telah melangkau Al Quran. Jadi, mereka tidak boleh terima kerana hanya terima apa yang ada dalam quran, lebih dari itu ditolak. Lalu berdasarkan ketetapan akal, mereka tentukan apa sahaja aspek agama yang boleh diterima dan apa yang perlu di tolak. Hadis-hadis yang kita sebutkan itu adalah daripada kitab Bukhari dan Muslim. Mereka tidak ada masalah untuk menolak hadis-hadis dari kitab Bukhari Muslim. 

KAEDAH AHLI KALAM – MENDAHULUI AKAL DARI DALIL

Kaedah ilmu mereka carca merba, adakala ikut sentimen (ikut perasaan) sepertimana hadis ibu dan bapa nabi dalam neraka. Ia sabit dalam hadis Bukhari Muslim. Membantah atas alasan emosi semata-mata. Mereka tidak pandang sama sekali walaupun dari kitab Bukhari Muslim.

Pendekatan ilmu kalam apabila akal mereka tidak lagi dapat memahami hadis. Akhirnya dengan mudah mereka dakwa titian sirat hanya simbolik sahaja. Akhirnya mereka tolak hadis sahih dengan hujah akal semata-mata.

 

SOALAN-SOALAN

 1. Kedua ibubapa Nabi ﷺ dalam neraka?

Dari Anas, bahawasanya ada seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, di manakah tempat ayahku (yang telah meninggal) sekarang berada?” Beliau menjawab, “Di neraka.” Ketika orang tersebut menyingkir, maka beliau memanggilnya lalu berkata, “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka(HR. Imam Muslim dalam Shahîh-nya (203).

Dari Abu Hurairah berkata: “Nabi ﷺ pernah menziarahi kubur ibunya, lalu beliau menangis dan membuat orang yang berada di sampingnya juga turut menangis kemudian beliau bersabda: ‘Saya tadi meminta izin kepada Rabbku untuk memohon ampun baginya (ibunya) tetapi saya tidak diberi izin, dan saya meminta izin kepada-Nya untuk menziarahi kuburnya (ibunya) kemudian Allah memberiku izin. Berziarahlah karena (ziarah kubur) dapat mengingatkan kematian.’” (HR. Imam Muslim dalam Shahîh-nya (976–977).

SYUBAHAT AHLI BIDAAH DAN AHLI KALAM

Menafikan ibubapa baginda dikategori sebagai orang kafir kerana mereka hidup sebelum Nabi ﷺ diutus sebagai rasul.

Jadi mereka kata sebenarnya ibubapa terdiri sebagai ahli fatrah. Fatrah bermaksud tempoh iaitu zaman Nabi Isa dan Nabi Muhammad ﷺ. Maka zaman jahiliyyah di tengah-tengah, lebih-lebih lagi zaman jahiliyyah dihujung dan jauh dari dakwah Nabi Isa dan telah banyak perubahan agama. Tanggapan mereka adalah rata-rata zaman jahilyyah adalah ahli fatrah.

HUJAH BERKENAAN KAUM JAHILIYYAH DALAM NERAKA

Tetapi Allah berfirman: “Tidak akan diseksa sebuah kaum melainkan datang seorang rasul.” (QS Al-Isra’:15)

Jika diselidik bukan semua mereka terdiri dari ahli fatrah. Ternyata dalam kalangan orang yang hidup pada zaman jahiliyyah, dakwah telah sampai kepada mereka. Mereka mewarisi dakwah Nabi Ibrahim as. Dalam riwayat jelas mereka melakukan ibadah haji dan tawaf. Dari mana mereka dapat cara ibadah ini kalau bukan dari dakwah Ibrahim as. Kita maklum adanya hadis,

Dari Ibnu Abbas ra meriwayatkan, apabila Nabi ﷺ melewati dua buah kuburan.

Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh keduanya sedang diseksa. Mereka diseksa bukan kerana perkara besar (dalam pandangan keduanya). Salah satu dari dua orang ini, semasa hidupnya tidak menjaga diri dari kencing. Sedangkan yang satunya lagi, dia keliling menebar namimah (mengadu domba).” Kemudian baginda mengambil pelepah basahdan belah menjadi dua, lalu baginda tancapkan di atas masing-masing kubur satu potong. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah. Mengapa Rasul melakukan ini?” Beliau menjawab: “Semoga mereka diringankan seksaannya selama keduanya belum kering.” (HR Bukhari Muslim)

Kedua-dua penghuni kubur meninggal semasa zaman jahilliyyah. Jika tidak sampai dakwah, bagaimana mereka boleh diseksa? Ini menunjukkan dakwah telah sampai ke Mekah walaupun pada zaman jahiliyyah.

Apa hujah mereka apabila bapa Ibrahim seorang musyrik dan tukang pembuat berhala. Apa yang terjadi kepada isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth? Ini masalah ahli bidaah, ikut hawa nafsu dan emosi tak kena tempat. Kenapa tidak emosi kepada bapa Ibrahim dalam neraka juga.

2. Apa yang berlaku kepada ahli fatrah di akhirat?

Mereka tidak dihumban ke dalam api neraka terus kerana hujah atau dakwah sampai kepada mereka. Kenapa? Hujjah tidak sampai kepada mereka dan mereka adalah golongan jahil.  Tidak tahu tauhid atau haramnya  syirik. Di akhirat mereka diberi layanan khusus dengan erti kata ada ujian khusus. Mereka akan diperintahkan masuk ke pintu tempat yang zahirnya api. Jika mereka menurut perintah tersebut, di balik api adalah syurga. Jika enggan, ia melayakkan mereka bersama orang kafir dan musyrik.

Zahirnya ujian ini adalah sebelum titian sirat kerana ia adalah selepas timbangan amalan dan sebelum masuk syurga. Dibawah neraka jahanam dan di hujung adalah syurga.

3. Kenapa Nabi Ibrahim AS adalah penghulu segala rasul?

Zuriat Nabi Ibrahim adalah bangsa Yahudi dan Arab. Anaknya Nabi Ishak AS adalah bermula bangsa Yahudi dan Nabi Ismail AS adalah semuanya keturunan Arab.

4. Dimanakah tempat orang munafik? Kenapa mereka dihumban dalam kerak neraka yang paling bawah, paling panas dan paling seksa?

Kerana mereka lagi teruk dari orang kafir. Mereka khianat dengan membuat gangguan, bahaya dan ancaman buat orang Islam. Mereka sebenarnya sama dengan orang kafir.

SEMUA AMALAN BERMULA DENGAN NIAT

Maka munafik mereka tidak beriman (hati), batinnya kufur tetapi zahirnya Islam. Mereka ucap kalimah syahadah tapi tidak percaya. Dalam hati mereka melaknat orang Islam dan cintakan orang kafir.

Tuan-tuan boleh nampak sendiri. Mereka cinta orang kafir hingga puji melangit. Segala yang datang dari orang kafir diterima bulat-bulat. Apa yang dibawa oleh orang Islam, diperlekehkan. Lagi-lagi ulamak orang Islam, dikatakan kolot dengan sindiran ini orang padang pasir. Kita maju ke depan. Kira peluk kemajuan yang dibawa oleh Amerika dan UK. Kalau ada apa-apa perselisihan kita kembali kepada ulamak-ulamak kita semisal George Bush, Michael dan sekutunya.

Kita lihat depan mata sendiri.Orang-orang munafik adalah musuh dalam selimut. Mereka membawa ancaman kepada orang Islam. Maka tidak hairan kenapa Allah sebut dalam surah tahrim.

JIHAD MELAWAN KAFIR (PERANG) DAN JIHAD MUNAFIK (HUJAH & ILMU)

Firman Allah: “Wahai Nabi jihadlah melawan orang kafir dan munafik….”. (QS At-Tahrim:6 )

Kedua-duanya kena jihad dan perlu dibasmi. Tinggal lagi jihad kafir adalah dengan medan perang, tetapi munafik adalah dengan lisan dan tulisan (hujah dan ilmu). Munafik kekal dalam neraka.

MUNAFIQ DAN ZINDIQ

Pada pada zaman Nabi ini dinamakan sebagai munafik. Selang berberapa lama iaitu zaman Imam Malik dalam tahun 150H sudah ada istilah sebagai zindiq.

Munafik – orang yang zahirkan Islam tetapi dalam hati kafir
Zindiq – munafik menzahirkan munafik tetapi masih mengucap syahadah

Zindiq tidak dapat dihukum kafir kerana masih mengucapkan syahadah. Perkataan mereka jelas mencaci dan mencela orang Islam, memperlekeh sunnah Nabi ﷺ dan sebagainya. Tinggal lagi masih ucap kalimah syahadah. Pada hari ini namanya liberal, pluralism, comango, modernism. Comango ini Alhamdulilah diharamkan. Mereka NGO iaitu tali barut Yahudi dan Nasrani. Mereka cuba memaksa kerajaan memperakui golongan LGBT, meminta berikan hak atas alasan diskriminasi, juga diberi hak untuk murtad.

Dalam kalangan mereka ada orang-orang Islam. Kalau zaman Imam Malik ada zindiq, hari ni lagi banyak seperti SIS yang kerjanya menghentam Islam. Tidak pernah mempertahankan Islam.

JABATAN AGAMA PERLU DIPERTAHANKAN

Saya berpandangan bahawa sistem keagamaan perlu dijaga dan dipertahankan. Institusi jabatan agama diperangi golongan zindiq ini. Jabatan agama adalah benteng yang menjaga agama. Walaupun kita ada tidak setuju dengan pihak-pihak tertentu sebagaimana mereka melayan sunnah, dalam masa yang sama kita sentiasa perlu bijaksana. Kita tidak mahu memberi tangan dan suara kepada golongan munafik dan zindiq ini dengan pergi turut sama mencela dan melawan institusi keagamaan kita. Kita mempertahankan dan memberi kerjasama. Cara membaik pulih bukan dengan menentang dan meruntuhkan institusi ini. Apa yang kita nampak di negara kita ada ruang untuk dibaikpulih.

Kita lihat bagaimana Negara jiran yang tiada jabatan agama. Kesan peninggalan penjajah. Tujuannya untuk diporak perandakan ajaran Islam. Semua agama boleh masuk. Adakah ini yang kita nak? Disana syiah berkembang luas, termasuk penyembah kubur sangat subur. Sebab apa? Tiada undang-undang yang kawal selia mereka.

5. Apakah hukum jika jelas seseorang itu zahir menentang syariat Islam?

Menceritakan berkenaan hukum kafir, munafik atau zindiq adalah satu perkara. Tapi kalau nak hukum individu seperti Siti Kasim, nak hukum apa tu? Dia kata agama Islam, saya ikut tafsiran saya. Allah itu adalah getaran. Ini adalah perkataan kufur. Tetapi orangnya kafir? Disini datangnya kaedah manhaj salaf membezakan antara membicarakan berkenan hukum dan hukuman ke atas individu. Tidak boleh menghukum individu secara semborono. Tidak boleh dalama whatsapp group dan sebagainya.

PRINSIP KETAT AHLI SUNNAH DAN MENGKAFIRKAN INDIVIDU

1. Pastikan tahu dan bukan tidak tahu (jahil)
2. Pastikan dia sedar dan bukan tidak sedar
3. Pastikan rela bukan terpaksa
4. Tiada syubahat-syubahat lain yang melingkarinya

Perlu ditegakkan hujah dengan berdepan (face to face). Adakah kita orang ada autoriti atau dia akan dengar cakap kita. Jatuhnya hukuman kafir kepada individu hanya boleh dibuat di MAHKAMAH, bukan di luar mahkamah seperti di media-media sosial dan sebagainya.

Sepertimana Ibnu Abbas menjelaskan kepada kaum khawarij  atau Ali ra. Malah Ali tidak terus mengkafirkan kaum khawarij, sebaliknya kaum khawarij yang kafirkan Ali ra.

Tidak boleh membincangkan dengan whatsapp group mana-mana. Saya rasa agama si fulan dia begitu dan begini. Maka, hak menghukum seseorang adalah mahkamah. Tidak boleh dalam media sosial.

Antara hukum mencuri dan kafir, mana lagi berat? Kafir. Hukum mencuri pun perlu melalui mahkamah, maka lebih lagi kalau hukum kafir.

6. Adakah menjadi munafik dan terkeluar Islam jika ada ciri-ciri apabila bercakap dia menipu, khianat, engkar dalam berjanji dan lain-lain?

Sepertimana munafik, kafir, syirik dan bidaah. Ada besar dan ada kecil. Ada munafik kecil dan ada munafik besar, ada kufur kecil dan kufur besar (kafir), bidaah kecil dan bidaah besar, syirik kecil dan syirik besar. Kafir, syirik,munafik atau bidaah. Ada besar dan ada kecil. Besar terkeluar dari agama dan kecil tidak terkeluar dari agama.

Munafiq akidah adalah terkeluar agama, munafik perbuatan adalah munafik kecil (munafik amali).Ada sifat dan ciri-ciri munafik besar tetapi secara amali. Belum cukup melayakkan jadi munafik yang terkeluar dari agama.

Bagaimana dengan zindiq? Dia sudah menzahirkan munafik.

7. Berapa lama perbicaraan di akhirat dan selesai pembahagian syurga dan neraka?

Firman Allah: “Sesungguhnya 1 hari di sisi Allah adalah sama dengan 1000 tahun di dunia.” (QS Al-Hajj:47)

Di akhirat kiraan hari adalah lain berbanding dunia iaitu 1 hari akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia. Berapa lama perbincaran, wallahualam.

Audio kuliah:

https://www.dropbox.com/s/oj7rjumgxhb8xm3/UiS%20Syarhus%20Sunnah%20aB%20-%20No.21%2819%29%20Beriman%20dengan%20Titian%20Sirat%20Mukmin%20vs%20Munafik%20dan%20Zindiq%2031032017.m4a?dl=0

Advertisements