Soal Jawab Bersama Ustaz Idris Sulaiman 1 Oktober 2012 & 24 September 2016

1. SOALAN: Apakah taat kepada pemerintah adalah hal akidah atau fekah?
Soal jawab bersama Ustaz Idris Sulaiman, 1 Oktober 2012

JAWAPAN:

Sebahagian kata soal ketaatan kepada pemerintah adalah hal fekah. Saya kira perkataan ini ada syubahat kerana soal ketaatan pemerintah telah sabit dalam quran dan hadis.

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taat juga kepada Rasul dan mereka yang berkuasa dalam kalangan kamu (ULUL AMRI) …” (An- Nisak: 59)

HADIS-HADIS KETAATAN KEPADA PEMERINTAH

Sabda Nabi SAW: “Aku wasiatkan kepada kamu untuk bertaqwa kepada Allah; mendengar dan taat (kepada penguasa kaum muslimin), walaupun (dia) seorang budak Habsyi…….” (HR Abu Dawud, no. 4607; Tirmidzi 2676)

Sabda Nabi SAW: “Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya? Sabda baginda: “engkau dengar dan taat terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan taat.” (HR Muslim)

HAL FEKAH BERMULA DENGAN AKIDAH

Ia perintah dalam quran dan hadis dan kita wajib terima dan beriman. BUKANKAH BERIMAN ITU ADALAH HAL AKIDAH? Mereka keliru jika mengatakan hal ini fekah. Mereka tidak sedar setiap suruhan agama atau apa juga bab sama ada hal fekah, akhlak atau muamalah sekalipun, ia bermula dengan akidah. Contoh dalam hal muamalah iaitu Allah halalkan jual beli dan haramkan riba.

AKIDAH ADALAH KITA PERCAYA (BERIMAN) DENGAN DALIL QURAN DAN HADIS

Baik jual beli adalah muamalah (urusan fekah), tetapi ia bermula dengan akidah. Bagaimana? Ia bermula dengan beriman bahawa jual beli itu halal kerana Allah halalkan, kita juga beriman riba itu haram dan kita bertindak sejajarnya. Kenapa kita berurusan yang halal? Kerana kita beriman dan berakidah Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

BOLEH JATUH KAFIR BIARPUN SOLAT 5 WAKTU JIKA TANPA AKIDAH (BERIMAN)

Sebagai contoh adalah seorang yang solat 5 waktu, boleh jadi dia jatuh kufur walaupun dia solat 5 waktu. Sekiranya dia solat 5 waktu tanpa akidah. Kita maklum solat 5 waktu itu bab fekah. Tetapi kita nak kata bahawa ia bermula dengan akidah. Bagaimana dia jaga solat 5 waktu, tetapi boleh jatuh kufur sekiranya dia tidak beriman dengan akidah solat itu adalah wajib. 

Maka, akidah mendahului segala tindak tanduk kita walaupun dalam hal amalan dan muamalah. Begitu juga dalam hal ketaatan kepada pemerintah. Kenapa kita taat kepada pemerintah? Bukankah ia akidah dan kerana Allah dan Rasul? Kita mempercayai ia kewajipan ke atasku. Bukan suatu pilihan walaupun aku tak suka tengok pemerintah ini kerana macam hamba Habsyi. Kenapa? Ia suruhan Allah dan Rasul. 

AKHLAK MUSLIM ADALAH MENDAHULUKAN SURUHAN SYARAK BERBANDING NAFSU DUNIA

Bukan seperti golongan pencinta dunia yang taat apabila dapat projek. Ini bukan akhlak seorang muslim. Akhlak muslim taat kerana Allah dan Rasul walaupun dia benci perbuatan maksiat, korupsi yang kezaliman oleh pemerintah. Selagimana pemerintah tidak jatuh dari syirik dan kufur yang jelas ada bukti. Ada syarat yang ketat. Maka, ia urusan akidah. 

PUNCA KEKELIRUAN KETAATAN PEMIMPIN ADALAH PERKARA FEKAH

Saya memahami kenapa mereka kata ini adalah soal fekah. Kerana mereka memahami ketaatan pemimpin ini adalah SOAL KHILAFIYAH dan IJTIHADIYYAH. Saya faham mereka anggap hal ini adalah khilafiyyah. Sering dalam apa sahaja masalah dianggap khilafiyah. Walhal dalam hal ketaatan kepada pemimpin adalah jelas dan tidak ada meragukan, bahkan tidak ada khilaf. 

IJMAK ULAMAK SUNNAH DALAM HAL KETAATAN MELAINKAN KHAWARIJ

Imam Nawawi secara terang dalam syarah muslim menyatakan hal kewajipan taat pemimpin. Ahli sunnah telah ijmak sepakat. Tidak ada ulamak ahli sunnah yang mengatakan seperti pemikiran khawarij. Bahkan mereka katakan pemikiran khawarij adalah sesat dan menyimpang. 

 

2. SOALAN: Mereka tidak mahu bersama khawarij dalam masa yang sama tidak mahu berjemaah (bersama pemerintah)?
Soal jawab bersama Ustaz Idris Sulaiman, 24 September 2016

JAWAPAN:

Ini keliru dan seolah-olah bercanggah. Bagaimana seorang itu menolak fahaman khawarij dalam masa yang sama menolak bersama Al-Jamaah.

Terdapat 2 ciri utama khawarij iaitu:

1. Mengkafir dosa besar
2. Melawan pemerintah atas alasan pemerintah kafir (tidak berhukum dengan hukum Allah) 

Firman Allah: Barangsiapa yang tidak berhukum dangan hukum Allah, mereka itu kafir” (Al-Baqarah) 

Mereka (golongan khawarij) memahami kafir dalam ayat ini sebagai kafir terkeluar dari agama. Sedangkan sahabat Ibn Abbas yang dikira sebagai tokoh mentafsir yang paling ulung dalam mentafsirkan quran, dia menyanggah pendapat tersebut.

Ibn Abbas berkata: “Bukan itu pemahaman seperti mereka kata bahawa perkataan kafir ini keluar dari Islam. Tetapi ia adalah kufur yang bukan terkeluar dari Islam (kufur kecil).” 

KUFUR: SEMUA AMALAN BERGANTUNG KEPADA NIAT

Kufur kecil adalah kufur nikmat atau kufur amali. Perbuatan itu boleh jadi kufur tetapi orangnya tidak semestinya kufur. Kufur terbahagi kepada KUFUR AMALI dan KUFUR ITTIQADI (kepercayaan / keimanan). Jadi, semua amalan bergantung kepada niat. 

Perbuatan boleh jadi kufur tapi orangnya tidak semestinya kufur. Perlu ditegakkan hujah ke atasnya baru boleh nilai sama ada ia jatuh kufur atau tidak.  Dengan amalan sahaja tidak boleh menghukum kufur kerana boleh jadi dia jahil, tidak sedar atau dipaksa. Ini adalah kebarangkalian sebelum kita jatuhkan hukum kafir. Begitu juga dengan maksiat, bidaah, syirik. 

Dalam syirik terbahagi kepada dua iaitu
1. Syirik kecil (riak) – tidak terkeluar dari agama
2. Syirik besar – terkeluar dari agama

KEKUFURAN BERGANTUNG KEPADA NIAT: CONTOH – MAKSIAT MINUM ARAK 

Sekiranya dia tidak menghalalkan minum arak itu, maka ia maksiat kecil. Tetapi dia halalkan arak, dia jatuh kafir kerana halalkan apa yang jelas haram. 

Dalam hal bidaah melibatkan dosa dan kecil. Jika melibatkan bidaah memuja kufur, ia telah terkeluar Islam. 

GOLONGAN KHAWARIJ MENGAMBIL HUKUM SECARA PUKAL

Golongan khawarij adalah jahil tidak memahami perincian iman dan kufur ini. Akhirnya mereka pukul rata. Mereka kata sesiapa yang buat dosa besar adalah kafir. Lalu mereka praktikkan dari kalangan orang Islam bermula kepada pemerintah. Kalau pemerintah buat dosa besar, atas dasar itu mereka kata tidak ada ketaatan kepada pemerintah muslim. Mereka jatuhkan pemerintah muslim yang dirasakan melakukan dosa besar. 

GOLONGAN TIDAK MAHU BERSAMA PEMERINTAH – MUKTAZILAH

Kembali kepada pertanyaan tadi. Golongan menolak khawarij dan tidak mahu bersama pemimpin. Mereka seperti golongan muktazilah. Golongan muktazilah mereka adalah golongan antara khawarij dan golongan murjiah.

Tiga golongan ahli bidaah:

1. Khawarij – mengkafirkan dosa besar (keras)
2. Murjiah – jika pelaku dosa besar asal sahaja ucap kalimah لا اله الا الله, lengkap iman seperti Abu Bakar dan Jibril (bersangka baik)
3. Muktazilah – pelaku dosa besar dia bukan islam dan bukan kafir (atas pagar)

Mereka keliru. Golongan tidak sokong khawarij dan tidak bersama pemerintah adalah seperti golongan muktazilah (berdiri atas pagar).

TIADA ISTILAH ATAS PAGAR DI DALAM ISLAM – HANYA BENAR ATAU SALAH

Dalam Islam tiada istilah berdiri atas pagar. Sama ada bersama golongan yang Jamaah atau bersama golongan yang sesat. Tiada istilah berdiam diri tidak buat apa-apa terhadap kerosakan yang berlaku depan kita. Tolong menolong pemerintah dalam hal yang baik pun tidak mahu. Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya sesama muslim, apatah lagi bersama pemerintah kita tolong menolong dalam hal kebaikan seperti hal memajukan Negara, memperkasakan umat islam. Bagaimana boleh memperkasakan umat Islam tanpa tolong menolong ini?

GOLONGAN ATAS PAGAR TIDAK MEMBANTU UMAT ISLAM (SYAITAN BISU)

Oleh itu, pemikiran seperti ini (berdiri atas pagar) adalah sangat tidak membantu umat Islam. Bahkan dia akan memporak perandakan umat Islam. Golongan ini dikira sebagai syaitan bisu kerana melihat kerosakan oleh khawarij  “Kami tidak bersama kamu tetapi kami tidak mengingkari kamu”. Ini perbuatan tidak bertanggungjwab. Sepatutnya khawarij harus diperangi.

PRINSIP ISLAM – WAJIB BERSAMA JAMAAH: BERSATU ATAS KEBAIKAN, MENOLAK KEBURUKAN

Tentu sahaja kita bersatu padu dengan pemerintah muslim kita. Hal ini tidak bererti kita sokong perbuatan salah silap yang dilakukan oleh pemerintah. Kita tidak bersekongkol dalam maksiat, kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah. Ia bukan soal parti atau sesiapa. Ini soal prinsip. Di mana sahaja muslim itu berada, tidak kira Negara mana pun sama ada Arab Saudi, Mesir atau mana-mana negara. Prinsipnya sama. Kena faham prinsip tersebut bahawa kita kena bersama JAMAAH, tolong menolong dalam kebaikan dan menolak/mencegah dosa dan kemaksiatan.

Firman Allah: “Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya”. (QS Al-Maidah:2)