KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (3 Mac 2017)

PERKARA KE-15

Kata Imam Barbahari: “ Tidaklah seseorang mengatakan tentang sifat-sifat Rabb bagaimana atau kenapa melainkan dia ialah seorang yang RAGU terhadap Allah. Al-Quran adalah kalamullah, kitab yang diturunkanNya dan cahayaNya. Dia bukan makhluk kerana Al-Quran berasal dari Allah dan setiap yang berasal dari Allah, ia bukan makhluk. Demikianlah yang dikatakan oleh Malik Bin Anas, Ahmad Bin Hanbal dan para fuqaha’ (ahli fekah) sebelum dan setelahnya. Dan berbantahan di dalamnya merupakan kekufuran.”

 

SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

Perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu terbahagi kepada DUA MAKNA dalam Bahasa Arab iaitu:
i) Rabb = رب
ii) ilah = إله

MAKNA PERTAMA:  Rabb = رَبٌّ bermaksud:

1. Pencipta;
2. Pemilik;
3. Pemberi Rezeki; dan
4. Pengurus

MAKNA KEDUA: Ilahun =  إِلَهٌ bermaksud ‘Yang Disembah’.

“Tiada yang disembah kecuali Allah”. Itu makna kalimah syahadah ( لا اله الا الله).

BEZA TERJEMAHAN DAN TAFSIRAN 

Adapun perkataan“Tiada yang BERHAK disembah kecuali Allah” dapat dilihat tiada perkataan “berhak” بحق dalam lafaz syahadahnya. Maka ia lebih kepada syarah, tafsiran dan penjelasan lanjut buat kalimah syahadah; bukan terjemahan. Perlu dibezakan antara terjemahan dan tafsiran kalimah syahadah.

Ini adalah perkara asas untuk difahami. Seringkali dikatakan perkataan tuhan sedangkan ia perkataan umum. Kalau nak dijelaskan apa maksud Rabb agak kekurangan vocabulary. Ia sering disebut tuhan. Saya merasakan tiada perkataan yang sinonim untuk menjelaskan maksud Rabb. Tetapi apabila disebut Rabb, ia menjurus kepada 4 ciri utama iaitu Pencipta, Pemilik, Pemberi Rezeki dan Pengurus. Disebalik maksud Rabb ada maksud lain tetapi ia ada 4 ciri utama.  Rabb ini perkataan umum. Manusia juga boleh dikatakan sebagai Rabb.

Contoh: رب البيت  -> Pemilik rumah

Manusia boleh mencipta, memilik dan pengurus. Tetapi pemberi rezeki khas untuk Allah. Apabila ditambah perkataan “ال+ رب – > الرب” -> Al-Rabbun, ia menjadi khas bagi Allah (ie. The creator – Yang Mencipta)

PEMBETULAN TERJEMAHAN “لا اله الا الله ” 

Maksud kedua adalah إِلَهٌ yang hanya satu maksud iaitu “Yang Disembah”. Ini adalah maksud kalimah syahadah (لا اله الا الله) yang disebut . Pemahaman masyarakat agak celaru kerana gagal menterjemah sebagai “Tiada Tuhan Melainkan Allah” atau “Tiada Pencipta”, “Tiada Pemilik”, “Tiada Yang Menyembuh” dan lain-lain. Ini semua bukan maksud إِلَهٌ. Maka terjemahan yang tepat bagi (لا اله الا الله)  adalah “Tiada YANG DISEMBAH kecuali Allah”. Maka perlu dibetulkan kalimah ini kepada ahli keluarga dan masyarakat. Perlu ditanya semula kepada isteri dan anak-anak apa maksud لا اله الا الله . Saya hampir yakin mereka akan silap (tiada tuhan).

ARAB JAHILIYYAH MENGAKUI JIKA MAKSUD “TIADA TUHAN KECUALI ALLAH”

Oleh kerana maksud “Tiada Yang Disembah Kecuali Allah”, golongan Arab Jahiliyyah (Abu Jahal atau Abu Lahab) tidak mahu sebut لا اله الا الله kerana mereka tahu maksudnya. Sedangkan jika nak kata maksud “Tiada Pencipta” atau “Tiada Pemilik”, mereka sudah mengakui hal tersebut.

Firman Allah: “Kalau engkau bertanya kepada mereka  siapa pencipta langit dan bumi mereka akan kata Allah” (QS Luqman: 25 dan Az-Zumar : 38   )

Kata Imam Al-Barbahari: “Tidaklah seseorang mengatakan sifat Rabb, bagaimana tuhan itu, kenapa sifat tuhan macam itu dan ini, melainkan dia ada sifat RAGU-RAGU.”

Bagaimana? Dia macam membantah kenapa Allah ada sifat macam itu. Ini bukan soalan hendak tahu sifat Allah tetapi soalan bantahan atau mempersoalkan sifat Allah begitu begitu atau begini. Kenapa? Sebab mereka tidak beriman sifat-sifat Allah yang datang dari Quran dan Hadis.

Apabila mempersoalkan sifat Allah, ia menatijahkan KERAGUAN. Ini adalah isu besar. Ia terus dibahaskan sehingga hari ni. Implikasi besar kerana apabila kita ragu dengan sifat-sifat . Apa sebabnya? Kita ragu terhadap Allah dan menyebabkan iman kita lemah/goyang/tidak sempurna. Akhirnya orang yang mempersoalkan tentang sifat Allah tadi dengan pertanyaan bagaimana dan kenapa. Imannya tidak sempurna atau boleh kita kata dia tidak tergolong orang yang beriman.

KERAGUAN SIFAT ALLAH MENGAKIBATKAN JIWA KOSONG

Kita ada 3 tingkatan Islam, Iman dan Ihsan. Barangkali dia Islam kerana ucap kalimah syahadah, kita tidak nafikan mereka Islam. Tetapi dari segi iman, dia ragu dan tidak sempurna. Kita sebut kuliah yang lepas apabila iman adalah terletak dalam hati. Apabila iman itu kurang/lemah/ragu-ragu, maka ia mewujudkan kekosongan. Apabila jiwa serba kosong, dia tidak merasai kemanisan iman dan mengakibatkan kejauhan dari Allah (tidak merasai kehadiran Allah).

ILMU TASAWUF ADALAH PENAWAR YANG BERACUN

Mereka merasai kekurangan atau kekosongan iman itu. Ini adalah fitrah kerana jiwa perlu diisi sepertimana perut yang memerlukan makanan. Jiwa kalau kosong, ia akan menuntut supaya diisi, lalu mereka cuba dapatkan pengisian dengan ilmu Tasawuf. Dan Tasawuf lebih kepada penyucian jiwa tetapi salah faham terhadap penyucian jiwa dengan jalan kezuhudan (ikut cara mereka), bukan kezuhudan yang syar’ie. Ini kezuhudan yang diada-adakan. Antaranya tidak berkahwin, mengasingkan diri dan sebagainya.

 Sabda Nabi ﷺ: “Aku orang yang paling bertaqwa dan paling tahu tentang Allah, aku tidur malam dan berjaga, aku berpuasa dan berbuka, aku berkahwin. Barangsiapa berpaling dari sunnahku bukan dari golonganku” (Hadis Bukhari dan Muslim)

MENYALAHKAN TARIKAN DUNIA APABILA JIWA KOSONG

Kesimpulannya, golongan ini salah dalam memahami masalah yang mereka hadapi dan akhirnya mereka salah dalam mendapatkan penawar bagi masalah yang mereka hadapi. Apa masalah mereka? Jiwa kosong, tidak merasa kemanisan iman dan jiwa jauh dari Allah. Mereka ingat masalah ini adalah akibat dunia. Mereka salahkan tarikan dunia. Ini adalah ada ‘scape goat’ mereka.

Mereka kata ini sebab akibat kita bergelumang dengan dunia, akibat berkahwin, akibat kita lebih makan minum, akibat tidak qiamullail, akibat kita bergaul dengan manusia. Oleh kerana itu, kita perlu membujang, tinggalkan makan-makanan tertentu, mengasingkan diri (eg. betapa di gua). Mereka berfahaman bahawa bergaul dengan masyarakat ini punca masalah kekosongan jiwa. Ini adalah menyalahkan sesuatu yang tidak bersalah. Maka ubat penawar yang mereka ambil juga salah. Ubat yang mereka ambil adalah ilmu Tasawuf. Bahkan ia menambahkan kegelapan, kecelaruan, keraguan di hati mereka.

KAEDAH SUNNAH APABILA JIWA KOSONG

Dalam sunnah kekosongan jiwa ini akan diisi dengan kembali kepada tauhid, dengan ikhlas dan ittiba’ (ikut Nabi ﷺ), tasfiah dan tarbiah.

QURAN ADALAH KALAM ALLAH

Kata Imam Al-Barbahari: “ Al Quran ialah kalamullah. Kitab yang diturunkan Allah dan cahayanya (panduan/hidayah). Ia bukan makhluk, kerana ia berasal dari Allah. Setiap berasal dari Allah bukan makhluk”

Perkataan Imam Al-Barbahari adalah mudah, tepat dan jelas. Kita lihat dalam perkara ini, Imam Al-Barbahari cuba menghuraikan perselisihan iaitu tentang Quran itu dari kata-kata siapa. Ia adalah masalah yang ditimbulkan oleh Ahli Kalam. Hakikatnya Quran ini kalam siapa tidak pernah menjadi isu di zaman Nabi ﷺ. Hanya dibangkitkan oleh golongan Ahli Kalam selepas itu iaitu sekitar 200H. Bagi maka golongan Ahli Sunnah yang benar, mereka kata bahawa Quran itu kalamullah.

APA ERTI KALAMULLAH?
Al-Quran = Kalam Allah, firman Allah, Kata-kata Allah, BicaraNya, percakapanNya.

Maka Allah disisi Ahli Sunnah yang benar, Allah bersifat berbicara sejak azali. Bukan Allah bisu, tiba-tiba bercakap. Bab ini mendalam sikit untuk membantah Ahli Kalam/ Mantik atau Ahli Falsafah.

Dia berkata-kata dengan apa yang Dia hendak dan Bagaimana Dia hendak. Maka, Allah bukan berbicara, bukan sebelum itu Dia bisu. Maka disifatkan Allah berbicara, berkata , berfirman, Allah juga memanggil dan bicara.  Allah bersuara yang didengar oleh hamba yang dia ingin.

Maka kita tetapkan sifat berfirman bagi Allah dan dalam masa sama dinafikan keserupaan kalam Allah dengan makhluk. Bicara dan kata-kata Allah sesekali tidak serupa dengan makhluk.

Firman Allah: “Tiada sesiapa yang serupa dengannya. Dia maha mendengar dan maha melihat”. (QS Assyura:11).

DALIL-DALIL YANG MENUNJUKKAN ALLAH BERKATA-KATA

Firman Allah: “…. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya dari Allah” (QS An-Nisak:87)

Firman Allah: “Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). ….”. ( QS Al-Maidah:116)

Apa maksud firman? Maksudnya berkata-kata. Tidak perlu nak jadi genius apabila Allah berkata kepada Nabi Isa, Nabi Isa dengar atau tidak? Pastilah dia dengar sebab Allah berbicara dengannya.

SYUBAHAT ILMU KALAM TELAH DIKETAHUI ALLAH

Allah Maha Mengetahui. Allah lebih tahu golongan Ahli Kalam akan bangkitkan syubahat ini. Oleh kerana itu ayat ini  telah disebut sejak azali lagi.

Firman Allah: “…..Allah berkata kepada Musa, dengan kata-kata” atau “وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا” (QS An-Nisak: 164)

Demikianlah Allah menegaskan sendiri Dia telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata. Ulamak menafsirkan bahawa ia adalah bicara secara langsung. Maka itu gelaran Nabi Musa adalah kalimullah.

Gelarah kepada Nabi-nabi:
Ibrahim – Khalilullah
Musa – Kalimullah
Nabi Muhammad ﷺ – Khalilullah dan Kalimullah (semasa peristiwa israk dan mi’raj).

Firman Allah: “Di antara mereka (para Nabi atau Rasul), ada yang Allah berbicara dengannya” (QS Baqarah: 253)

Ini satu keistimewaan. Bukan semua Nabi dapat berkata-kata dengan Allah. Apa maksud “yang berkata-kata dengan Allah”? Ia adalah semua orang beriman ketika berdoa (bermunajat) dengan Allah.

QURAN ITU MAKHLUK ATAU KALAM ALLAH?

Golongan Ahli Kalam kata Quran itu adalah makhluk. Ahli Sunnah kata Quran itu kalamullah. Sepertimana zaman Iman Ahmad Bin Hanbal. Fitnah ini berpanjangan dari 218 hingga 232H (17 tahun). Ini fitnah ujian yang terpaksa dihadapi oleh Imam Ahmad secara khasnya dan ulamak-ulamak sunnah. Sepanjang tempoh tersebut, umat Islam diuji oleh 3 khalifah iaitu Al Makmun, Al Waafeq dan Al Mu’tasin. Ketiga-tiga menguji mereka dengan fahaman Muktazilah yang mengatakan Quran itu makhluk. Bahkan mereka mewajibkan kepada orang ramai dan ulamak. Hingga ke tahap siapa yang tidak mengaku akan diseksa.

Lihat siapa yang terorisme sebenarnya. Pada hari ni mereka(ahli kalam) pusing dengan mengatakan golongan salaf adalah terorisme. Padahal sejarah menunjukan mereka yang  bersifat agresif, memaksa, tidak berlapang dada sehingga manusia diseksa dan dibunuh kerana mempertahankan Quran adalah kalamullah. Penyeksaan atau tekanan apakah yang lebih dahsyat daripada itu semata-mata mahu pertahankan pegangan Quran.

Ternyata Imam Ahmad terus mempertahankan dengan mengatakan Quran adalah kalamullah. Hanya sahaja apabila khalifah yang ke 4 iaitu Al-Mutawakkil, dia membebaskan Imam Ahmad. Al Mutawakkil kembali berpegang Quran itu adalah kamullah.

ASAL KENYATAAN QURAN ITU MAKHLUK?

Asal kesesatan golongan Ahli Kalam apabila mereka hendak bicarakan tentang adanya Allah. Mereka menggunakan ilmu falsafah atau mantik dengan ketepikan dalil. Mereka mengatakan bahawa bukti alam semesta semuanya adalah ciptaan (makhluk). Mereka membuat makmal.


METODE @ MAKMAL AHLI KALAM

Lihat perkataan penting yang digunakan.

i. GEJALA (عَرَضٌ) – Bermaksud sesuatu yang menjadi tanda akan terjadinya sesuatu (simpton).

Contoh: selesema – Gejalanya adalah demam, tubuh badan sakit, tandanya makan tak betul adan sebagainya.

 ii. BAHARU (الحدوث atau الحوادث) – Al-Hawadis itu bersifat baharu. Maka itu wujudnya sifat 20.

Metode mereka: “Bagi membuktikan bahawa ciptaan alam semesta adalah makhluk, lihat sahaja ciptaan tubuh badan (sampel). Kalau dilihat tubuh badan manusia adanya GEJALA seperti tumbuhnya kuku yang makin panjang, gigi makin besar atau badan makin tinggi. Ada perubahan badan dan bukan statik.  Maka, apabila tubuh badan ada tanda GEJALA yang berlaku. Gejala ini adalah bersifat BAHARU, dan SESUATU BAHARU ADALAH MAKHLUK.

Sekiranya Allah berkata-kata, maka itu adalah sesuatu GEJALA, dan gejala adalah benda yang baharu. Jadi, tidak akan ia (ie. kata-kata) datang dari Allah. Kita tidak boleh kata Allah makhluk kerana Allah adalah pencipta. Maka Quran ini datang kemudian. Tiba-tiba Quran datang ini adalah benda baharu (bukan sejak azali). ‘Tiba-tiba’ adalah adalah GEJALA. Tidak akan Quran adalah benda yang kekal (qidam) seperti Allah. MAKA QURAN ADALAH MAKHLUK”.

 METODE AHLI KALAM (IE. JAHMIAH DAN MUKTAZILAH)

Padangan golongan Jahmiah dan Muktazilah katakan Quran ini makhluk yang Allah ciptakan di udara. Ini adalah falsalah dan memang pening baca. Allah ciptakan Quran di awan- awangan. Allah cipta Quran tiada tempat khusus. Mereka lari dari perangkap yang mereka pasang sendiri. Quran di awan-wangan dan datang Jibril kutip atau Jibril mentafsirkan apa yang Allah ciptakan di awan-awangan itu. Kemudian Jibril sampaikan kepada Nabi ﷺ. Atau di kalangan mereka sendiri khilaf dengan versi kedua iaitu Allah mencipta suatu suara di awan-wangan.

KISAH NABI MUSA BERBICARA DENGAN ALLAH

 Dalam kisah bicara Allah dengan Nabi musa di mana Nabi Musa sesudah lari dari Firaun kerana membunuh kaum Qibti. Kemudian beliau pergi ke kota Madyan dan akhirnya berjumpa 2 perempuan dan membantu mereka mendapatkan air. Ayah perempuan tersebut berkenan dengan Nabi Musa, lalu mengahwinkannya dengan syarat bekerja dengannya . Setelah 10 tahun bekerja dengan mertua, itu dia keluar bermusafir. Dalam gelap, hujan renyai-renyai dan kesejukan. Dia cuba hidupkan api tetapi tidak berjaya. Tiba-tiba Nabi Musa nampak satu cahaya di sebelah gunung Tursina (antara Negara Mesir dan Arab Saudi).

Musa pergi ke sebelah gunung Tursina dan sampai ke unggun api itu, dia mendengar suara dari arah unggun itu. Bahkan dari sebatang pokok. Timbul persoalan, Nabi Musa mendengar suara siapa? Dalam Quran secara jelas Allah berbicara dengan Nabi Musa. Bagaimana Ahli Kalam memahami peristiwa secara khasnya. Mereka bertambah merepek dengan mendakwa Nabi Musa bercakap adalah pokok.

HUJAH AHLI KALAM DALAM PERISTIWA NABI MUSA BERBICARA DENGAN ALLAH

Mereka tidak boleh kata Nabi Musa bercakap dengan Allah kerana akan terperangkap kaedah mantik ini “tiba-tiba ada suara”. Tiba-tiba adalah perkara BAHARU, dan perkara baharu adalah makhluk. Tidak boleh kata itu suara Allah, nanti Allah jadi makhluk. Ia seperti keluar mulut harimau dan masuk mulut buaya. Macam mana pokok kata “انا الله” atau “Aku Allah”. Secara jelas Nabi Musa dengan suara “Aku Allah”. Tuan-tuan boleh rujuk semula Ahli Kalam. Saya kira mereka akan lagi merepek. Demikian tadi pemahaman golongan Ahli Kalam terhadap Quran bahawa Quran itu makhluk.

ASYAIRAH BERHUJAH MENGATAKAN QURAN MAKHLUK (KALAM NAFSI)

Adapun Asyairah ternyata bahawa lebih licik atau lebih halus syubahat mereka. Mereka mengatakan bahawa Quran adalah kalamullah tetapi kalamullah di sini adalah “kalam nafsi”. Maksud kalam nafsi adalah “bicara hati”. Kalam nafsi ia tidak ada huruf dan tidak ada suara. Dalam hal ini, ia tidak ada suara. Ini adalah sama dengan Jahmiah dan Muktazilah. Jahmiah dan Muktazilah kata “Allah tidak berkata-kata”.

 Asyairah dakwa kata-kata Allah adalah kalamullah tetapi kalam nafsi. Mana datang huruf dan suara? Di sini Asyairah merepek. Mereka kata Allah cipta suara di awan-awangan dan Jibril kutip atau dengar.  Kita perlu jujur dengan apa yang Asyairah (Ahli Kalam) sebut. Tak perlu nak tafsir sama ada Jibril mainkan semula ayat Quran atau macam mana. Nanti lagi banyak yang mereka merepekkan.

CELAAN KEPADA ALLAH BAGI YANG MENGATAKAN ALLAH TIADA SUARA

Ternyata pendekatan Ahli Kalam tentang sifat kalam Allah atau Quran adalah satu penyelewengan yang sangat dahsyat.  Ia adalah celaan atau pengurangan terhadap Allah Taala . Kalau kita lihat antara sifat berbicara atau tidak berbicara, atau berbicara tanpa suara dan huruf atau berbicara dengan sifat bisu. Mana yang lebih sempurna dari yang lain? Sifat berbicara adalah sifat kesempurnaan. Ia diakui oleh akal yang sihat. Manusia yang berbicara adalah lebih sempurna dari manusia yang bisu. Bagaimana boleh dinisbahkan sifat kecacatan kepada Allah sedangkan dia Maha Agung dan Maha Hebat.

YAHUDI MENGGUNAKAN METODE ILMU KALAM

Dalam peristiwa golongan yahudi apabila Nabi Musa untuk keluar bertemu dengan Allah selama tempoh 30 hari, Nabi musa tinggalkan orang yahudi dengan abangnya (Nabi Harun). Ternyata Allah genapkan kepada 40 hari. Kaum Israel tidak sabar. Mereka sudah cemas dan gelabah, buntu dan titak tahu buat apa. Mereka merasa hilang hubungan dengan Allah . Mereka buat anak patung anak lembu (Al-Ijil). Allah mencela perbuatan Bani Israel . Lembu tersebut berjasad dan ada lubang. Ahli tafsir kata ada lubang dari dubur ke mulut. Apa signafikannya lubang tersebut? Apabila angin bertiup, ia seperti bersiul. Ia nampak ajaib. Ini mantik (Ahli Kalam) Bani Israel iaitu patung tanpa bunyi cacat. Maka mereka buatkan lubang supaya keluar bunyi.  Dari satu sudut, mereka menganggap tiada suara pun satu kekurangan. Allah mencela dengan tuhan mereka hanya bersiul macam itu sahaja?

Firman Allah: “Patung yang disembah tidak bercakap. Bagaimana kamu boleh sembah tuhan macam tu?”( QS Al- Aaraf:148)

Mafhumnya adalah Allah berkata-kata. Kalau patung tidak berkata-kata dan Allah juga tidak berkata-kata, apa maksud Allah mencela patung itu kalau Dia sendiri tak berkata-kata. Nauzubillah.

Akhirnya, apa kemuncak masalah kalau dikatakan Quran itu makhluk? Kalau kita kata Quran adalah makhluk atau Quran adalah suatu yang didatangkan secara mula oleh Jibril. Maksudnya,  bukan Allah sendiri yang berkata-kata, sebaliknya yang pertama menyebutnya adalah Jibril, ini akan menimbulkan kekurangan pada Quran tersebut.

Ia akan dikatakan Quran ini adalah ijtihad dari Jibril. Boleh jadi Jibril dengar salah. Ada yang kata bukan Jibril yang mula bercakap tapi Allah ilhamkan dalam hati Nabi ﷺ. Rasullulah yang mula bercakap. Ia satu pengurangan. Seolah-olah ia datang dari Jibril dan bukan dari Allah.

NATIJAH FAHAM QURAN ITU MAKHLUK: PUNCA SEGALA KESESATAN 

Masalah kalau kita Quran itu makhluk. Apa sifat makhluk? Makhluk bersifat cacat cela dan kekurangan. Apabila faham Quran makhluk, maka mungkin ada salah silap. Tidak hairan dari kalangan Ahli Kalam mentakwilkan (takwif, takyiif dan lain-lain).  Ikut cara faham dan selera mereka. Mereka dengan mudah untuk takwil “Allah ISTIWAK atau arasy” dan diubah kepada “Allah ISTAULA di arasy”.

Mereka kata perkataan istiwak makhluk tidak tepat. Jadi tidak masalah untuk ditukar istaula. Bagi mereka tiada masalah untuk ubah perkataan Quran. Kemuncak Ahli Kalam, secara dasarnya mengguna akal. Kena faham kenapa mereka buat macam itu? Ini kerana sikap mereka terhadap Quran.

METODE AHLI KALAM: HASILNYA GOLONGAN JAHMIAH, MUKTAZILAH, ASYAIRAH, MATURIDIAH, SUFI DAN SYIAH

Kalau Quran mereka dah downgrade, apatah lagi Hadis. Dengan mudah mereka ketepikan Quran dan Hadis dan dahulukan akal dan hawa nafsu. Ini adalah kesesatan segala kesesatan seperti yang dilihat pada hari ni. Kalau kita lihat rata-rata kalau bukan semua golongan Ahli Kalam, Jahmiah, Muktazilah dan Asyairah dan Maturidiah. Mereka anggap Quran makhluk kalau bukan kalam nasfi. Kesudahan mereka sama.

Bagaimana sikap golongan sufi Tasawuf? Mereka tergolong dengan Ahli Kalam. Begitu juga Syiah, akidah mereka adalah kaedah Ahli Kalam. Rata-rata golongan kesesatan bermula dengan Ahli Kalam, mereka terus terumbang ambling dalam kesesatan.

SOALAN-SOALAN

1. Di sekolah-sekolah kebanyakan menggunakan kaedah logik (Ahli Kalam) dalam akademik. Dilihat bahawa kesilapan apabila menggunakan kaedah mantik atau Ahli Kalam dalam agama. Bagaimana Islam melihat dalam meletakkan penggunaan falsafah dengan betul?

Logik adalah trend zaman sekarang. Ini hak asasi iaitu semua hak untuk berfikir. Engkau fikirlah apa yang engkau hendak. Anda fikirlah tentang Allah. JUST DO IT. Ini diberi hak dalam undang-undang manusia untuk hak bersuara (berfikir).

Apa hak asasi bersuara? Ia adalah kaedah fikir bebas dan apa yang engkau hendak dalam ibadah, akidah, akhlak semuanya. Sebab itu orang barat suatu ketika dulu LGBT dikatakan tidak baik. Dalam zaman 50-an. Hari ni mereka kata baik. Ini bukan kemajuan tapi kesesatan. Bermula hak bersuara. Ini trend sekarang.

Mereka anggap sains adalah superior. ‘I only believe in what I see’ atau ‘aku hanya percaya dengan apa yang aku nampak’. Kalau engkau tidak boleh buktikan, aku tak percaya.  Bagi mereka agama hanyalah kepercayaan khurafat dan karut marut, benda kolot. Ini kepercayaan orang dulu yang kata ada Allah sedangkan tiada bukti di mana Allah. Perkataan-perkataan kufur ini wujud akibat berpegang ‘kononnya sains’. Sedangkan terbukti sains juga perlu dilihat. Ada juga penyelidikan dulu-dulu salah kerana manusia tidak lari salah silap.

Maka setiap muslim mesti berpegang Quran dan Hadis yang benar dan sahih adalah too far superior. Quran dan Hadis adalah ibu segala sains, ia asas. Tanpa panduan Quran dan Hadis dalam mengadaptasi sains, lihat sahaja orang kafir barat. Mereka datangkan sains tanpa roh. Dalam usaha mereka untuk kaji sains, mereka jalankan tanpa peri kemanusiaan. Mereka tidak ada masalah untuk jalankan ujikaji dengan menyeksa haiwan atau manusia untuk mereka buktikan kebenaran sains.

Tidak masalah untuk mereka mengadakan autopsi. Autopsi adalah penyeksaan kepada mayat tersebut. Hanya kerana sains , syarak tidak membolehkan perkara haram.

 

2. Bagaimana Quran boleh beri syafaat kepada orang yang membacanya?

Membacanya tanpa kefahaman?; atau
Membacanya dengan kefahaman yang salah?; atau
Membacanya dengan fahaman yang menyimpang dengan mengatakan Quran adalah makhluk?; atau
Membacanya dan tidak beramal dengannya?

Jangan lupa orang yang membaca dan tidak beramal dengannya. Quran akan menjadi hujah ke atas dirinya.

Quran akan memberi syafaat jika orang membaca dengan kefahaman yang betul bermula dengan mengatakan Quran itu kalamullah.

 3. Bagaimana kita beriman taurat, zabur dan bahasa-bahasa Allah berikan.

 Firman Allah: “Kami turunkan Quran dengan Bahasa Arab”. Tidak ada masalah dengan bahasa-bahasa lain. Dia Maha Hebat. Allah memahami apa juga bahasa yang dipanjatkan dalam doa-doa.

Dikalangan mereka yang kata kalau nak doa kena dalam bahasa arab. Kalau doa dalam bahasa Melayu batal. Kawan sorang tu doa dalam bahasa arab, dah la terkial-kial. Apa salah doa dalam bahasa melayu, Allah tak faham ke?

4. Bagaimana akidah Asyairah dalam memahami Quran itu makhluk?

Kalam nafsi (dalam diri yang tiada suara dan huruf). Hanya manusia yang bercakap (lafaz) dengan suara dan huruf. Ini falsafah Asyairah.

5. Apa hukum autopsi (bedah siasat orang mati)?

Hadis Nabi ﷺ: “ Mematahkan orang yang mati adalah seperti mematahkan orang yang hidup” (Hadis Abu Daud)

Kata Syeikh Albani: “ Andaikata kita jalankan autopsy itu telah berjaya mengenalpasti pasti pembunuh, adakah hukum Allah akan ditegakkan kepada pembunuh tersebut atau hukum manusia? Kalau  guna hukum manusia (civil law), maka apa gunanya. Jangan lupa kita sudah seksa si mati. Apakah penyeksaan setimpal? Tidak. Kalau dipancung pembunuh pun, itu bukan alasan untuk seksa mayat.

Autopsi Ini dipanggil secondary evidence. Apabila dibelah, ia tidak tulis nama penjenayah pun. Secondary evidence ini adalah bukti yang ada kebarangkalian. Tidak hairan ulamak salaf kata adalah haram.

 6. Bagaimana pula nak kaitkan Quran yang berasal dari lauh mahfuz?

 Ini berkenaan suara bukan dari mana Quran tersebut.

 7. Bagaimana Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ?

 Allah berkata-kata dan sampaikan kepada Jibril tanpa perantara. Maka Jibril sampaikan kepada Nabi ﷺ. 

 8. Al Quran diturunkan sekali gus atau diturunkan secara berperingkat kepada Nabi ﷺ kepada jibril.

Firman Allah:  “Kami turunkan Quran pada malam lailatul qadar”.

Quran diturunkan keseluruhan pada malam lailatulqadar, lalu Jibril turunkan berperingkat kepada Nabi ﷺ.

 9. Beza Hadis dan Quran dari segi lafaz dan makna?

Hadis – lafaz dari Nabi ﷺ dan makna dari Allah.
Quran – lafaz dan makna dari Allah.

 Hadis juga wahyu. Ada kalanya apabila Nabi ﷺ ditanya dan baginda tidak jawab kerana menanti wahyu dari Allah. Nabi ﷺ menyebut jawapannya dalam bentuk Hadis.

 Bagaimana cara wahyu diturunkan adalah bab lain pula.

 10. Bagaimana jika suami meninggal dan perlu buat autopsi untuk membuat tuntutan insuran?

Kayu ukur kita adalah sangat selfish dan nafsi-nafsi. Kita sanggup seksa suami atau orang yang tersayang. Kamu kata kamu sayang tapi kamu munafik. Apabila datang insuran, kamu hendak buat autopsy juga. Sama ada kita beriman dengan Hadis atau tidak beriman. Atau kita beriman dengan hadis tapi utamakan dunia. Takpa la saudara kita diseksa. Pilih antara keduanya tapi  kedua-duanya tercela. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Pampasan bagus jika dari syarikat tapi bukan insuran. Boleh letak dalam wasiat supaya tidak dibuat autopsi.

 Audio Kuliah:
https://drive.google.com/open?id=0B1nnioP3OBBTYjdISWJiZkZoVXc

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements