KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (3 Feb 2017)

PERKARA KE-8

Kata Imam Barbahari: “Ketahuilah, semoga Allah merahmatimu. Setiap apa yang anda dengar daripada kalangan orang pada zamanmu. Janganlah kamu terburu-buru menerimanya sehingga kamu bertanya dan memerhatikan hal itu telah dibicarakan oleh Sahabat Nabi ﷺ atau salah seorang dari ulamak. Sekiranya anda dapati atsar daripada mereka, maka berpeganglah dengan erat, jangan engkau ketepikannya. Jangan pula engkau pilih yang lain, nescaya engkau akan jatuh ke api neraka”.

PERKARA KE-9

Kata Imam Barbahari: “Ketahuilah, tergelincirnya seorang daripada jalan yang lurus terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

1- Orang yang tergelincir dari jalan yang lurus sedangkan dia hanya menginginkan kebaikan, maka kesalahan tidak boleh diikuti kerana dia akan binasa.

2- Orang yang menentang kebenaran dan menyelisihi orang-orang bertaqwa yang datang sebelumnya, maka dia adalah orang yang sesat lagi menyesatkan, termasuk dalam kalangan syaitan yang telah sebati dengan kejahatan. Wajar bagi mereka yang mengetahui tentang kelompok ini untuk memberi peringatan kepada manusia lain supaya berhati-hati terhadap mereka disamping dijelaskan tentang perihal mereka agar manusia lain tidak terjerumus dengan kebidaahan yang mereka dilakukan”

SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

Perkara ke-8:  Imam Barbahari memberi peringatan kepada kita semua tentang “Setiap kali anda mendengar ucapan orang pada zamanmu, jangan tergesa-gesa terima sesuatu pun darinya”.

Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang dimana pada hari ini, ia adalah kemuncak ledakan maklumat yang banyak sumber-sumber maklumat khususnya media-media sosial baru. Dalam masa yang sama kita dapati ramai orang yang berbicara dan memberi fatwa dan meletakkan dirinya sebagai tempat rujukan, sedangkan mereka bukan dalam golongan ahli.

Sehinggakan orang-orang yang mempunyai ideologi-ideologi yang menyimpang sama ada yang bertopengkan keadilan atau bertopengkan Islam itu sendiri. Kita dapati mereka semua menyebarkan dakwah masing-masing. Ini semua memberi peringatan kepada kita tentang perlunya bersifat cermat dan tidak terburu-buru. Sebaliknya apabila sampai suatu berita secara amnya atau hal agama khasnya, perlu kita tahu sumbernya. Dari mana datang atau siapa yang kata macam itu. Kemudian kena tahu dalil dan hujahnya. Adakah ia bersumber quran dan sunnah. Jangan terkejut dengan mudah mereka katakan ini hadis. Akan ada yang terpedaya. Dan lebih bahaya ada yang bawa hadis maudhuk, lalu dikatakan riwayat Bukhari atau Muslim.

KAJI LATARBELAKANG GURU

Kemudian apabila kita tahu orangnya dan tahu dalilnya, ketika itu kita perlu semak latarbelakang orang tersebut, dari mana dia belajar, siapa guru beliau. Kaedah ini adalah kaedah ulamak sejak zaman berzaman. Tidak semudah rasa-rasa dan sangka-sangka. Kaedah sangat terperinci, sangat sistematik, sangat ilmiah dari apa yang ditunjukkan oleh para ulamak. Lebih-lebih lagi dari mereka adalah pandai berbicara, pandai berhujah. Gaya, suara dan perkataan yang dipilih sangat bagus. Jangan hanya lihat gaya dan perkataan, lalu kita kata ini tentu betul. Orangnya bersemangat dan cakap macam betul. Jangan lupa hadis nabi.

Sabda Nabi ﷺ:Sesungguhnya terdapat ucapan-ucapan yang menyihirkan”. (HR Bukhari)

Bermaksud bahawa apa-apa perkataan orang tersebut tersebut meyakinkan, seolah-olah ia benar dan ada asas dalam agama. Apatah lagi orang tersebut petah berkata-kata, bijak berhujah ditambah lagi elemen seperti serban yang besar, jubah yang isbal, janggut yang lebat, selendang kanan kiri dan di tangan tasbih yang besar.

MUSUH ALLAH ADALAH MUSUH DALAM DAKWAH

Maka perlu difahami kata Imam Barbahari untuk dipastikan apa yang kita dengar kerana musuh Allah dan Rasul (agama) adalah musuh dalam dakwah. Mereka menterbalikkan agama, apa yang sunnah dijadikan bidaah, dan bidaah dijadikan sunnah. Dia mahu menarik seramai mungkin pengikut, ingin mempengaruhi cara fikiran, supaya kita ikut kaedahnya dalam beragama.


ILMU DAN KEFAHAMAN BENTENG DARI KESESATAN

Dengan ilmu dan kefahaman seseorang itu akan dapat memelihara dirinya dari terjerumus dalam fitnah. Fitnah maksudnya ujian yang menguji keimanan seseorang, menguji ibadah seseorang. Dan yakinlah bahawa apa juga bentuk kemungkaran seperti hal syirik, kufur, bidaah dan maksiat. Ini semua adalah fitnah buat muslim, iaitu sejauh mana dapat memelihari diri dari terjerumus kedalamnya.

BAGAIMANA TANDA SUDAH TERPERANGKAP DALAM FITNAH?

Kata ulamak: Sekiranya sesuatu yang sebelum ini kita engkari, kemudian pada hari ni kita sudah terima atau lunak dengannya. Ketahuilah kita telah terjerumus dalam fitnah”.

Ibarat bau busuk dari tandas. Pada kali pertama bau, kita engkarinya. Kalau seseorang itu terus menerus berada pada tempat busuk itu, bau tersebut akan dirasakan hilang sedangkan masih ada baunya. Ini maksud kata ulamak tadi. Sekiranya sebelumnya kita engkari, setelah itu kita lunak dengannya, maka ketahuilah kita telah terjebak dengan fitnah.

KESESATAN AGAMA- TIADA ILMU DAN KEFAHAMAN

Para ulamak menyebut juga menyebut barangkali seseorang itu banyak bicaranya, banyak menulis tetapi kurang ilmu dan kefaqehan. Barangkali dia menghafal. Dalam menilai seseorang, dia hanya lihat berapa banyak artikel-artikel dan tulisan-tulisan, maka dikatakan dia dia berilmu. Mungkin banyak rakaman youtube, banyak like di facebook. Di kalangan orang Sufi pula dalam menilai pakar hadis atau tidak, mereka kata “berapa banyak hadis dia hafal”. Ini tidak menunjukkan ketidakfahaman.

Ilmu dan kefahaman tidak diukur sama ada banyak buat kuliah atau tidak, berapa banyak menghafal atau tidak. Ini menunjukkan tanpa ilmu dan ketidakfahaman dalam agama, boleh menjadi sesat. Ilmu dan kefahaman tidak diukur sama banyak menghafal, menulis atau kuat ibadah.  Kalau kita lihat orang kafir lagi banyak menulis tetapi tanpa ilmu dan kefahaman. Sepertimana golongan khawarij hafal quran, hafal hadis, kuat ibadah tetapi mereka sesat.

Malah masyarakat awam boleh dikatakan lebih baik dari golongan ini. Paling tidak masyarakat mengakui kejahilan mereka. Mereka mengetahui kedudukan diri berbanding golongan tersebut yang meletakkan dia mereka di tempat ilmu dan menyangka mereka di jalan benar. 

ADAKAH SEMUA PERAWI ATAU SAHABAT ADALAH ULAMAK?

Nabi ﷺ bersabda:Barangkali orang yang diberitahu lebih faham daripada orang yang mendengar (memberitahu). Barangkali orang yang membawa ilmu itu tidak memahami ilmu yang dia bawa”.(HR Abu Daud)

Sepertimana kaitan antara para perawi dan ulamak. Di zaman dulu perawi meriwayatkan hadis. Contohnya adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Boleh kita kata dari sudut rangkaian perawi, dia yang terakhir. Dia meriwayat hadis dari beberapa perawi sehinggalah kepada Nabi ﷺ.

Adakah periwayat (termasuk sahabat) dari Ahmad hingga ke Nabi ﷺ, mereka semua ulamak? TIDAK. Apabila riwayat itu datang ke Imam Ahmad, ternyata beliau dapat mengarang 1 kitab hanya dari satu hadis. Ini menunjukkan kefaqehan beliau dalam agama.


KAEDAH BETUL DALAM MEMAHAMI QURAN DAN HADIS

Maksudnya adalah apabila kita mendengar sesuatu kata-kata atau pendapat, hendaklah dikembalikan  kata-kata dan pendapat itu kepada Quran dan Hadis. Disamping itu juga perlu bertanya dengan ahli ilmu tentang sesuatu kedudukan dan pendapat tersebut. Tidak kurang pentingnya adalah untuk kita lihat sama ada hal ini telah dibicarakan oleh ULAMAK SALAF atau tidak. Ini penting.

SALAH FAHAM MAKSUD DAN APLIKASI IJTIHAD

Pada hari ini ada kalangan yang ambil pendekatan bahawa semua ilmu agama masuk dalam lingkungan ijtihad. Semua boleh ijtihad. Kalau diperhatikan dalam media sosial, semua dah jadi mujtahidin. Tiada apa kekangan dan halangan, malah semua boleh bagi pendapat. Betapa gencar (berani) mereka berbicara tentang hal-hal agama tanpa mengikuti kaedah-kaedahnya.

Dalam masalah agama, kita tidak boleh sewenangnya memberi ijtihad atau pendapat  dalam satu permasalahan yang telahpun dibicarakan oleh ulamak salaf dahulu. Lalu di akhir zaman, kita bawa ijtihad baru. Ini adalah salah. Ini menyelisihi pendapat ulamak salafusolehen.

*Maksud ijtihad
https://mazuddin2.wordpress.com/2016/11/02/ijtihad-ulamak-muqalid-jahil-dan-penuntut-ilmu/


KAEDAH YANG BENAR: KEFAHAMAN SAHABAT SEBAGAI KAYU UKUR AGAMA

Apa yang dijelaskan oleh sahabat perlu menjadi KAYU UKUR dalam memahami perkara-perkara agama. Penjelasan para sahabat perlu kita titik beratkan dalam memahami satu ayat quran atau hadis Nabi ﷺ. Ini kaedah. Tidak boleh dan sangat tidak  wajar kalau sekiranya dalam satu ayat quran atau sebuah hadis seseorang itu mentafsirkan dengan tafsiran yang menyelisihi apa yang difahami oleh para sahabat. Para sahabat membuat penjelasan, lalu kita membuat penjelasan bertentangan dengannya. Kalau sama makna tiada masalah.  Menyalahi tafsiran para sahabat adalah jalan kesesatan.

MENGAPA SAHABAT DIJADIKAN KAYU UKUR KEFAHAMAN?

Mengapa dikatakan sesat? Ini kerana apabila para sahabat mendengar quran dan hadis, bahkan dari merekalah kita dapat quran dan hadis. Para sahabat kita letakkan di kedudukan sangat istimewa, berbanding generasi yang datang kemudian. Kerana mereka adalah murid-murid Rasulullah. Mereka tidak seperti generasi umat Islam yang datang kemudian. Mereka adalah generasi yang telah mendengar quran dan hadis dengan kefahaman. Itu adalah titik beza. Mereka mendengar dan berdasarkan dengan apa yang mereka lihat dari Rasullullah ﷺ.

Jangan lupa apabila Nabi ﷺ baca quran dan menyebutkan hadis, dalam masa yang sama  datang bersama dengan praktikal. Siapakah kumpulan manusia yang menghayati quran dan hadis secara praktikal? Tidak lain adalah para sahabat. Suatu aspek yang tiada sesiapa dari kalangan manusia yang lain mempunyai keistimewaan tersebut. Maka agama Islam akan kekal hingga ke akhir zaman.


SYARIAT ISLAM KEKAL SEPANJANG ZAMAN KECUALI IJTIHAD
*Ijtihad Terdedah Kepada Kesilapan

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi ﷺ tidak akan berubah dengan peredaran zaman. Ia bersifat syumul dan menyeluruh untuk setiap zaman dan semua tempat. Apa yang boleh berubah dalam agama hanya satu iaitu ijtihad para ulamak. Agama tidak berubah. Yang berubah hanya suatu hukum dari ijtihad para ulamak. Ijtihad adalah pendapat dan pandangan atau tafsiran yang dibawa oleh para ulamak. Jangan lupa apabila disebut ulamak, dikecualikan para sahabat.  Para sahabat ada muamalat yang khas. Ada cara interaksi yang khusus. Para ulamak (umumnya) dalam hal ijithad ini  boleh berubah. Apabila sebut ijtihad para ulamak ia terdedah dengan salah dan silap.

Adapun agama atau kebenaran tidak akan berubah. Apa yang benar pada zaman Nabi, itu yang benar pada hari ini. Apa yang salah pada zaman Nabi, itulah yang salah hingga hari ini. Demikianlah hukum hakam yang lima (wajib, harus, haram, sunat dan makruh).

Kata Imam Barbahari:Jika anda peroleh atsar dari mereka (sahabat), maka peganglah erat-erat dan jangan engkau meninggalkanya atas  apa alasan sekalipun. Jangan pilih pendapat orang lain (generasi kemudian), nescaya anda akan jatuh dalam api neraka.”

Apakah dalil atas perkataan Imam Barbahari ini?

Firman Allah:Barangsiapa yang menyelisihi Rasulullah ﷺ setelah jelas kebenaran, dan dia ikut selain jalan orang-orang beriman. Kami akan palingkan ke jalan yang lain, akhirnya dia akan dihumban ke dalam api neraka.”  (QS An-Nisak: 115)

*Orang-orang beriman adalah orang yang ditujukan KETIKA turunnya ayat tersebut. Mereka adalah para Salafussoleh.

AMALAN SALAF VS AMALAN MASYARAKAT KINI

Jangan kita pilih selain dari apa yang telah datang dari salaf. Jika kita berdepan dengan pilihan iaitu apa yang diamal oleh generasi salaf dan diamalkan oleh mereka yang datang kemudian, kita tidak ada pilikan melainkan kita melazimi yg diamalkan salaf. Kalau pilih amalan dari generasi kemudian, ini ancaman terjerumus dalam api neraka.

Kenapa? Kita telah memilih selain jalan orang-orang telah berjaya dan benar. Kita yakin dan beriman bahawa para sahabat generasi dan apabila kita baca quran, Allah sering kata “wahai orang beriman”. Ayat ditujukan kepada siapa? Ini lah sahabat. Ia perakuan dari Allah. Allah telah menjadi saksi mereka adalah orang beriman. Adapun generasi kemudian tiada jaminan.

Allah tidak kata: “Wahai orang orang-orang yang merasakan diri beriman”. Maka sahabat adalah golongan selamat. Bahkan mereka secara individu Nabi ﷺ telah menjaminkan syurga kepada mereka seperti sahabat khulafak yang empat dan baki sahabat yang enam. Kita tidak mahu ikut mereka? Mana kewarasan dan akal kita wahai orang-orang yang berakal. Mereka menjejaki jalan lurus bertepatan dengan nas.

Firman Allah: “Sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia. Dan jangan ikut jalan yang menyimpang nescaya kamu akan terpesong dari jalan yang lurus itu”. (QS An-Naam:53)

SYURGA ADALAH MENGIKUT JALAN NABI ﷺ DAN SAHABAT

Bukan Melakukan Tokok Tambah Hal Agama. Maka jalan Allah adalah jalan syurga (terselamat dari api neraka). Hanya satu iaitu jalan yang ditunjukkan oleh Rasullulah dan diikuti oleh para sahabat. Pentingnya kita berpegang kepada jalan Salafussoleh dalam apa juga permasalahan agama secara khasnya. 

KESILAPAN KAEDAH ASAS (1): MENDAHULUKAN AKAL DARIPADA NAS

Dukacita ini menjadi suatu yang diperselisihkan. Ahli kalam mendahulukan akal dengan sangat berani dan berterus terang. Ternyata bahawa Salafusoleh sentiasa mendahulukan nas. Bahkan mereka mengancam orang yang menyelisihi hadis dengan kata si pulan dan si pulan.

Riwayat Sahabat, Dari Ibnu ‘Abbas RA yang berkata: “Rasulullah ﷺ membuat bertamattu’ (dalam haji)”. Maka ‘Urwah berkata,”Abu Bakr dan Umar melarang dari tamattu’.” Maka Ibnu ‘Abbas berkata,”Apa yang dikatakan si ‘Urwah kecil?” Dijawab,”Dia berkata: “Abu Bakr dan Umar melarang dari tamattu’.” Maka Ibnu ‘Abbas berkata,”AKU MENYANGKA MEREKA AKAN BINASA, ku katakan “Rasulullah ﷺ bersabda dan mereka kata Abu Bakar dan Umar berkata.” (HR Ahmad: 3121)

*PENGAJARAN –  Abu Bakar dan Omar pun tidak boleh kita jadikan hujah untuk menyalahi Rasullulah ﷺ. Bahkan kita yakin dan beriman Abu Bakar dan Omar tidak akan menyelisihi Nabi ﷺ.

Tetapi pada hari ini,  ini yang kita dengar. Apabila kita datangkan sebuah hadis yang sahih, lalu ada suara-suara “tetapi dalam mazhab kata lain”. Ada lagi pelik: “KAMI IKUT MAZHAB SYAFIE”. Jika ternyata kebenaran ada dalam Mazhab Syafie, tetapi mereka kata pula Mazhab Hanafi kata boleh. Ini menunjukkan mereka ikut hawa nafsu. Ikut apa yang nafsu mereka hendak.

KESILAPAN KAEDAH ASAS (2): TIDAK PERLU TAAT PEMIMPIN JIKA ZALIM

Demikian juga dalam  ketaatan kepada pemerintah yang zalim. Hari ini dukacita mereka kata tak perlu taat. Maka, kita kata kaedahnya adalah kembali kepada para sahabat. ADAKAH TIADA  PEMIMPIN YANG ZALIM PADA ZAMAN SAHABAT ? Bahkan ada seperti Al Hajjaj bin Yusof dan khalifah-khalifah yang lain juga zalim.

Ternyata generasi Salafusolleh menggariskan: “Tetap taat kepada pemerintah zalim dan mengingkari kezaliman tersebut hanya pada diri sendiri, dalam masa yang sama mereka menasihati dengan cara yang baik”.

Adapun menyangggah pemerintah di khalayak dan menarik tangan ketaatan atas alasan apapun adalah menyalahi Salafussoleh.

 *Penerangan Berkenaan Ketaatan Kepada Pemimpin https://mazuddin2.wordpress.com/2017/01/19/imam-al-barbahari-siri-2-asas-sebagai-muslim-adalah-mengikut-kefahaman-sahabat-dan-taat-kepada-pemimpin/

KESILAPAN KAEDAH ASAS (3): ALLAH DI MANA-MANA

Demikian juga dalam masalah memahami sifat-sifat Allah Taala. Sehingga hari ni menjadi banyak perselisihan. Adakah sifat Allah telah diimani secara zahir atau perlu ditakwil? Ternyata ayat quran yang dibawa oleh Nabi ﷺ dan difahami oleh sahabat. Tiada satupun sahabat mentakwil yang menyelisihi ayat zahir tersebut seperti tangan Allah, wajah Allah dan sebagainya.

Pada hari ini dengan penuh berani mereka takwil. Allah istiwak atas arasy, mereka kata istaula. Tiada satu riwayat pun sahabat memahami begitu. Sahabat beriman ayat secara zahir dan mereka tidak membicara lebih dalam hal-hal ghaib tersebut. Tidak ada ruang oleh akal untuk bicara benda ghaib tanpa ada sandaran dari Quran dan Hadis.

 *Penerangan Berkenaan Sifat Allah
https://mazuddin2.wordpress.com/2017/02/01/tauhid-beriman-dengan-allah-dan-akibat-mengingkarinya-syirik-gambar-bomoh-takut-dan-berharap/

KESILAPAN KAEDAH ASAS (4): PENDALILAN – TOKOK TAMBAH DALAM IBADAH

Apa sahaja dalam urusan ibadah, perlu kembali sahaja kepada generasi salaf. InsyaAllah itu jalan keselamatan kita. Adakah Salafussoleh melakukan perkara berikut: 

1. Menyambut Maulid Rasul
2. Berdoa secara berjemaah
3. Mendirikan solat hajat
4. Tahlil
5. Melakukan tahnik?…….dan lain-lain? TIDAK

Ini antara perkara yang perlu kita lihat dan untuk  jadikan sebagai panduan. Ikut saja pegangan salaf, itu adalah jalan keselamatan. Adakah salaf ziarah kubur pada pagi raya atau isbal pakaian atas alasan aku tak sombong. Di kalangan mereka yang nampak cerdik tapi tak cerdik. Mereka isbal, lalu kata kami ikut sunnah. Mereka berhujah kononnya apa yang dilakukan oleh Abu Bakar RA. Tanpa mereka sedar bahawa bukan seorang Abu Bakar dijadikan panduan. Sahabat yang lain macam mana? Adakah sahabat lain juga juga isbal dengan kata kami tidak sombong? Ini adalah pendalilan.

Ternyata bermula Nabi ﷺ mereka tidak isbal. Abu Bakar RA menjulur ke bawah kerana kurusnya beliau. Kata Abu Bakar RA:“Kalau aku tak pegang, ia akan julur ke buku kaki. Pendalilan mereka sangat tungang langgang. Suatu kekeliruan yang dahsyat.

Demikian apa sahaja permasalahan. Contoh, adaKah kita dianjurkan letakkan ayat-ayat quran dalam rumah atau masjid? Jangan keliru, masjid Nabi ﷺ tiada ukiran quran ini. Tanpa sengaja kita meletakkan kedudukan Nabi ﷺ dan sahabat pada kedudukan yang sangat-sangat tak wajar. Kita mengatakan anjuran meletak ayat quran di dalam masjid. Mungkin ada suara-suara yang kata “zaman dulu tiada tulisan khad ini”. Satu pernyataan yang kurang ajar.

Perkara ke 9, kata Imam Barbahari: “Orang yang tergelincir dari jalan yang lurus sedangkan dia ingin kebaikan/kebenaran”.

Sepertimana ijtihad ulamak termasuk ulamak mazhab. Jika mereka ijtihad tetapi tersalah. Lihat kata Imam Barbahari: “Maka kesalahan tidak boleh diikut, kalau ikut kita akan binasa.”

MANUSIA BINASA KERANA BERPALING DARI HADIS (SETELAH TERTEGAK HUJAH)

Mereka (ulamak) selamat kerana mereka berijitihad (berusaha mencari bersunguh-sungguh), tetapi jika kita tahu ijithad salah dan kita tetap ikut walaupun ada hadis (dalil). Orang tersebut akan binasa.

Kita lihat pada hari ini kaedah pendalilan sungguh ajaib (salah) seperti ulamak aswaja.

KESILAPAN KAEDAH ASAS (5): PENDALILAN – *JANGAN KATA ULAMAK SALAH

Kata mereka :“Ulamak telah ijtihad, kita hormat ijtihad mereka dan jangan kata salah”.

Kita kata, kedua-dua ijithad boleh jadi betul ke? Contoh: “Boleh  atau tidak makan ikan jerung?”. Jika ikut dalil aswaja tadi boleh jadi dua hukum. Maka hukumnya jadi  HALAM (halal dan haram).

Ternyata dalam hadis kata: “Semua haiwan laut adalah halal”.

Pendapat yang kata haram adalah salah. Maka, mereka kata jangan kata salah itu ijtihad. Maksud mereka ijithad tu dua-dua betul.

KESILAPAN KAEDAH ASAS (6): PENDALILAN – ULAMAK DAH TAHU SEMUA DALIL

Kata mereka: “Ulamak dah tengok semua dalil. Kau ingat dalil yang kau hujah tu mereka tak tahu ke? Semua Imam dah hafal dalil yang engkau baca, sebab itu mereka bagi pendapat haram. Mereka ada dalil dia”.

Cuma kita tak tahu la apa “dalil dia”.

KESILAPAN KAEDAH ASAS (7): PENDALILAN – *ULAMAK DAH KAJI SANAD

Kata mereka: “Jangan senang-senang kata hadis ini sahih atau dhaif. Ulamak kalau berhujah dengan satu hadis, barangkali pada pandangan kita dhaif. Tetapi kita tak boleh kata terang-terang dhaif. Kalau nak kata dhaif untuk diri kita. Tetapi tak boleh dhaif bagi orang lain. Ulamak kalau sebut hadis mereka tak kaji sanad ke?”.

Subahanallah. Ini kaedah pendalilan cukup tunggang langgang.

* KESILAPAN KAEDAH ASAS (5-7) Mereka bersangka baik kepada ulamak tidak kena pada tempatnya iaitu tidak mengangkat kalam Nabi ﷺ (Hadis) lebih tinggi dari kalam ulamak.

CONTOH KESILAPAN KAEDAH ASAS DALAM MEMAHAMI AGAMA

http://temborokapanlagikalaubukansekarang.blogspot.my/2016/04/kenapa-imam-mazhab-tidak-pakai-hadits.html?m=1

SYARAT JALAN SELAMAT (SYURGA)

Dalam hal agama, tidak cukup dengan hanya berniat baik dan inginkan kebaikan. Sebaliknya, disamping niat yang baik, perlu melazimi jalan yang lurus iaitu jalan Nabi ﷺ dan sahabat. Ini yang disebut oleh ulamak dalam syarat sesuatu ibadah perlu menepati DUA SYARAT IAITU IKHLAS DAN ITTIBA’. Seperti kisah Abdullah bin Mas’ud. Apabila ahli halaqah cuba memberi dalih kepada Ibnu Mas’ud. Kami hanya mahukan kebaikan.

Tenyata Ibn Mas’ud tetap mengingkari dengan katanya: “Betapa ramai orang yang inginkan kebaikan tetapi mereka tidak memperolehinya”.

AGAMA LAIN PUN IKHLAS DAN BERNIAT BAIK

Demikian dalam agama yang lain juga, mereka semua inginkan kebaikan. Adakah mereka orang-orang jahat? Tidak. Jangan terkejut dalam kalangan mereka sangat ikhlas, cukup berpegang kuat dengan agama kerana sangkaan mereka itu baik dan benar. Tetapi apabila menyelisihi kebenaran, secara terang dan jelas kita kata sesat dan salah. Sepertimana para ulamak, kita tetap dihormati tetapi dalam kesalahan ulamak tidak boleh diikut. Ia sama sekali tidak calarkan kedudukan mereka.  Ini yang punca kegagalan untuk difahami oleh pengikut-pengikut aswaja.

KEDUDUKAN ULAMAK TETAP TINGGI TETAPI KEBENARAN TETAP DIDAHULUKAN

Mereka berpendirian bahawa kalau sanggah pendapat ulamak, ia perbuatan kurang ajar atau mencela ulamak. Sedangkan kita kata tidak, seseorang ulamak itu kita tetap hormati. Dia berapa kedudukan tinggi seperti ulamak mazhab dan ulamak yang lain sepanjang zaman. Kesalahan kita tetap jelaskan. Kenapa? Antara ulamak dan kebenaran, yang mana kita dahulukan? Kebenaran lebih kita cintai lebih dari ulamak kerana kebenaran adalah apa yang dibawa Allah dan Rasulullah.

SIAPAKAH GOLONGAN SESAT DAN MENYESATKAN ?

Keadaan kedua adalah orang yang menentang kebenaran. Dia menyelisihi orang-orang yang bertaqwa dan jalan Salafussoleh.

Kata Imam Barbahari: “Dia adalah orang yang sesat lagi menyesatkan”.

Berbeza dari kategori pertama tadi. Golongan penentang kebenaran wajib kepada semua orang yang mengetahui kedudukan orang tersebut walaupun dia terdiri dalam kalangan ilmuan. Ulamak ada dua iaitu ULAMAK RABBANI (menyelusuri jalan Salafussoleh) dan ULAMAK SUUK (menyelisihi jalan Salafussoleh). Maka, wajib dibongkar kesesatan penentang kebenaran supaya orang lain mengetahui hakikat orang-orang tersebut.

SYAITAN BISU: KEWAJIPAN MENJELASKAN PENYIMPANGAN GOLONGAN MENYIMPANG

Mereka tidak boleh jadi rujukan. Maka wajib orang yang tahu kebenaran untuk jelaskan dan membongkar penyimpangan golongan KHAWARIJ, AHLI KALAM, AHLI SUFI, JEMAAH TABLIGH, IDEOLOGI IKHWANUL MUSLIMIN, AHLI-AHLI TAREQAT

Barangsiapa yang mengatakan bahawa perbuatan membongkar golongan sesat akan memecah belahkan umat Islam, ketahuilah bahawa dia juga sesat dan menyesatkan. Kenapa? Ulamak mengatakan bahawa dia mahu supaya umat Islam berdiri atas kesesatan dan kebatilan. Biarkan orang lain sesat juga kerana kebatilan tidak dijelaskan kesesatannya. Ini jelas menyalahi agama.

AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR ADALAH SEBAHAGIAN DARI JIHAD

Agama perintahkan 2 perkara iaitu AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR. Agama itu nasihat.

Maksud nasihat adalah kita inginkan kebaikan untuk orang lain. Tetapi kalau kita tahu perbuatan itu sesat dan batil, lalu kita diam dengan pelbagai alasan kerana takut berpecah atau nanti dia terasa. Bukankah tidak berlaku nasihat kepada saudara Islam yang lain? Seolah-olah kita tahu ada lubang dihadapan saudara kita, lalu kita berdiam diri. Kita biarkan dia jatuh. Ini adalah dajjal. Nasihat adalah amar makruf nahi mungkar. Kemungkaran yang perlu dicegah adalah fahaman yang menyimpang. Mereka perlu dimaklumkan kepada orang lain. Bahkan ia termasuk dalam jihad.

Firman Allah:Wahai Nabi jihadlah menentang orang kafir dan orang-orang munafik.” (QS Tahrim: 9)

HUJAH DAN PENJELASAN (ILMU) ADALAH JIHAD

Kita faham cara menentang orang kafir iaitu dengan senjata. Jihad dengan orang-orang munafik Nabi tidak angkat senjata walaupun nabi ketahui sebahagian identiti mereka.  Bagaimana Nabi berjihad menentang mereka? Tidak lain adalah hujah dan penjelasan. Membantah hal-hal sesat dan syubahat yang mereka bawa.

ANCAMAN KEPADA SYAITAN BISU (MELINDUNGI KESESATAN)

Hadis Nabi SAW: “Janganlah kerana takut kepada masyarakat, seseorang sampai tidak menyatakan perkara hak (kebenaran) yang diketahuinya” (HR Tirmizi)

Kerana takut kepada masyarakat seseorang itu berdiam diri dan tidak menyatakan kebenaran. Apabila tidak mengingkari hal-hal bidaah, maksiat, syirik dan kufur, ia akan membuat ahli bidaah terus bermaharajalela, terus menyebarkan kesesatan. Bahkan tanpa sedar, perbuatan berdiam diri dengan tidak mengingkari secara tidak langsung kita telah bersekongkol dalam mematikan sunnah Nabi ﷺ. Ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Kita dikira memberi perlindungan kepada ahli bidaah. Kita dianggap SYAITAN BISU.

Syaitan mengajak kepada kejahatan, bidaah, maksiat, syirik dan kufur. Tidak kurang juga musibah adalah syaitan bisu yang tidak mengingkari perbuatan tersebut. Seseorang itu sama ada bersama ahli yang benar atau bersama orang-orang yang sesat. Tidak istilah duduk atas pagar atau untuk jaga keharmonian atau kesatuan. Nak jaga kesatuan perlu di atas jalan yang benar.  Jika ahli sunnah tetapi apabila melihat hal-hal bidaah, tokoh-tokoh bidaah lalu dia berdiam diri, maka dia adalah syaitan bisu dengan membiarkan orang sesat terus menyeru masyarakat awam ke atas kesesatan mereka.

Nabi ﷺ bersabda:Allah melaknat mereka yang memberi memberi perlindungan kepada kebidaahan”. (HR Muslim)

Antara bentuk perlindungan adalah kita berdiam diri kerana takut jawatan, takut harta, takut masyarakat akan kata kepada kita, takut ini dan itu. Maka kesimpulannya, seseorang muslim itu tidak boleh berdiam diri terhadap kebatilan.

TIADA “BERLAPANG DADA” DENGAN PERKARA BIDAAH, MAKSIAT DAN KUFUR

Ungkapan “berlapang dada” adalah talbis iblis. Ia membolehkan seseorang bebas menyatakan pendapat atau pandangan, bebas memilih apa jalan yang dia mahu. Begitu juga slogan “kita kena hormat pandangan orang lain”. Ini benda yang perlu kita perhalusi dan tidak boleh terima secara mutlak.

 “BERLAPANG DADA” HANYA MELIBATKAN IJTIHAD

Boleh tak kita berlapang dada dalam hal syirik dan kufur? Maksud lapang dada adalah menerima satu pendapat yang berbeza dengan pendapat kita. Adakah kita menerima dalam perkara yang salah iaitu melibatkan hal syirik dan kufur? Berlapang dada boleh jadi benar dan salah. Yang benar “berlapang dada” hanya melibatkan ijtihad.

Kalau kembali kepada nas bagaimana Allah melaknat orang yahudi. “Mereka saling tidak mengingkari perbuatan mungkar sesama mereka”.

Orang Islam Allah kata: “Kamu adalah sebaik-baik umat manusia”.  Antara ciri kenapa umat ini hebat dan baik adalah menyuruh kepada makruh dan mencegah mungkar. Berlapang dada lawannya perkataan adalah engkar. Seolah-olah menafikan perintah amar makruf dan nahi mungkar. Inilah penyebab musibah. Sebabnya kemungkaran dalam masyarakat bidaah, kufur maksiat dan syirik. Malah, Allah akan menimpa musibah kepada kita dengan berlakunya jenayah, meningkat harga barangan, petrol, bencana dan lain-lain.

Bertambah bingung dari kalangan mereka yang “berlapang dada” ini, daripada mereka bersabar dan istighfar, mereka salahkan kerajaan, salah perdana menteri.

TALBIS IBLIS  DALAM UNGKAPAN “KITA KENA HORMAT PANDANGAN ORANG LAIN”

Satu lagi ungkapan adalah “kita kena hormat pandangan orang lain”. Adakah kita hormat orang yang mengajak kepada syirik dan maksiat. Orang mengajak syirik di kubur. Betapa dajalnya pandangan ini.

Ungkapan lain – “MASING-MASING BERHAK UNTUK BERPEGANG DENGAN PEGANGAN MASING-MASING”. Saya nak memilih syirik dan kufur. Apa falsafah ini? Adakah sudah hilang siuman? Bahkan kalau terus degil, anda akan  diancam laknat, azab Allah dan api neraka.

SOALAN

 1. Ancaman Nabi ﷺ dalam menjadi syaitan bisu amat berat terutama dalam menyampaikan sunnah kepada ahli keluarga atau masyarakat. Bagaimana hendak dakwah dengan hikmah?

Sabda Nabi ﷺ : “Janganlah kerana takut kepada masyarakat, seseorang sampai tidak menyatakan perkara hak (kebenaran) yang diketahuinya” (HR Tirmizi)

Sabda Nabi ﷺ: “Allah melaknat mereka yang memberi memberi perlindungan kepada kebidaahan”. (HR Muslim)

ILMU DAN KEBIJAKSANAAN

Tidak dinafikan apabila kita buat amar makruf dan nahi mungkar perlu ada ilmu dan kebijaksanaan. Masalah akan berlaku apabila melakukan dakwah dengan emosi tanpa ilmu dan kebijaksanaan.

 *PANDUAN DAKWAH BAGI PENUNTUT ILMU

Jangan berdebat. Sebaliknya nasihat Syeikh Albani. “Sampaikan apa yang engkau nak sampaikan dan jalan”. Sampai apa yang perlu, jangan berlawan. Lebih-lebih lagi dalam media sosial. Ada soalan dan ada jawapan, bukan soalan disusuli dengan soalan, akhirnya tiada penghujung. Mengikut kemampuan dan perkataan “tidak tahu” juga adalah sebahagian dari ilmu.

Elakkan dari berdebat kerana ia hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Bukan semua ulamak mampu berdebat.

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements