KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (27 Jan 2017)

PERKARA KE-6

Kata Imam Barbahari:Ketahuilah bahawa ketika manusia mengada-adakan suatu kebidaahan, pasti mereka meninggalkan sunnah yang serupa dengannya. Hati-hatilah dari setiap perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan adalah bidaah, dan setiap bidaah adalah sesat, dan setiap kesesatan serta pelakunya berada di neraka”.

 PERKARA KE-7

Kata Imam Barbahari:Jauhilah setiap perkara bidaah sekecil mana apa pun, kerana bidaah yang kecil lambat laun akan membesar. Demikian pula kebidaahan yang terjadi pada umat ini berasal dari perkara kecil dan remeh yang mirip kebenaran, sehingga banyak orang terpedaya dan terkecoh, lalu mengikat hati mereka sehingga susah untuk keluar dari jeratan dan akhirnya mendarah daging lalu diyakini sebagai agama. Tanpa disedari, pelan-pelan mereka menyelisihi jalan lurus dan keluar dari Islam“.

 

SYARAH KITAB SYARHUS SUNNAH

SUNNAH PERBUATAN DAN SUNNAH MENINGGALKAN (TARKIYYAH)

Sunnah terbahagi kepada dua iaitu:
i. Sunnah melakukan (perbuatan, lisan dan perakuan)
ii. Sunnah meninggalkan (At-Tarkiyah)

Termasuk dalam erti sunnah adalah sunnah At-Tarkiyyah. Biasa kita faham sunnah melibatkan sesuatu perbuatan, ini secara umum. Tetapi kita hendak katakan satu aspek sunnah yang tidak kurang penting adalah sunnah meninggalkan (Sunnah At-Tarkiyah).

MAKSUD SUNNAH AT-TARKIYYAH

“Ia adalah sunnah amalan yang ditinggalkan dan tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ sedangkan baginda mampu melakukan.”

Contoh: Doa beramai-ramai, majlis harijadi (maulud Nabi)

BEZA SUNNAH TARKIYYAH DAN MEDIUM DAKWAH 

Rata-rata umat Islam tidak mengetahuinya. Tiada apa yang melarang Nabi untuk buat jika Nabi mahu buat. Sunnah Tarkiyyah ini tidak melibatkan suatu wasilah (medium/perantara) dalam dakwah. Seperti banyaknya medium dakwah pada hari ini (whatsapp/tweeter/facebook dll), Nabi tidak menggunakannya. Adalah ia termasuk sunnah meninggalkannya? Tidak termasuk kerana medium ini tidak wujud pada zaman Nabi SAW. Kedua, kerana medium ini hanyalah wasilah. Kita tidak beribadah dengan menggunakan medium ini. Dengan kata lain, kalau ada medium yang lebih berkesan, kita akan gunakan.

Sunnah tarkiyyah adalah perkara yang Nabi ﷺ meninggalkannya, maka perbuatan tersebut sunnahnya ditinggalkan. Contohnya adalah doa berjemaah selepas solat fardu. Pastinya doa dianjurkan dan digalakkan, tetapi tenyata doa beramai-ramai Nabi ﷺ tidak pernah buat. Begitu juga meninggalkan sambutan harijadi. Maulud nabi dan sebagainya, walaupun Nabi mampu. Bahkan jika dibolehkan, Abu Bakar RA yang paling mengasihi baginda akan mendahului maulud tersebut. Jadi sunnahnya dalah jangan melakukan perbuatan tersebut.

MELAKUKAN BIDAAH ADALAH MENGHAPUSKAN SUNNAH

Apabila kita sebut “tidaklah seseorang melakukan bidaah melainkan dia telah meninggalkan sunnah”. Dari sudut lain kita boleh sebut “tidaklah seorang yang tinggalkan sunnah beerti dia telah meninggalkan sebahagian dari Quran”. Kalau dia menyangka dia ikut Quran tetapi dalam masa yang sama dia buat bidaah walaupun dia dakwa ikut Quran. Lihat kaitan Quran dan Sunnah di mana keduanya saling melengkapi.

Pelbagai golongan memberi syubahat dalam sunnah Nabi ﷺ dan mengapa mereka tidak beramal. Keduanya (Quran dan Sunnah) tidak boleh dipisahkan.

Firman Allah: Wahai orang beriman sahutlah seruan Allah dan seruan Rasulullah ﷺ, apabila baginda menyeru kamu kepada yang menghidupkan kamu” (QS Al-Anfal:24)

ITTIBA’ NABI ﷺ  ADALAH UJIAN UNTUK UMAT

Allah memberi penekanan “sahutlah seruan Allah dan Rasul”. Allah menyebut kedua-dua seruan Allah dan Rasul. Mereka dakwa pegang dengan quran, tetapi dalam hal sunnah mereka berdolak dalik. Mereka menyalahi perintah Allah dalam quran.

Firman Allah: Katakanlah sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Nabi ﷺ)” (QS Imran:31)

Ayat ini sahabat Nabi ﷺ panggil ayat ini adalah ayat ujian bahawa adakah dia cinta Allah dan Rasul. Semua boleh dakwa cinta mereka, beratnya adalah pembuktian. Prinsipnya adalah “Siapa yang dakwa perlu berikan bukti”. Jika kamu ittaba’ Nabi ﷺ, kamu akan dapat balasan dan Allah cintai kamu dan mengampunikamu. Tidak cukup mendakwa kamu cinta Allah dan Rasul, kamu akan dicintai juga oleh Allah dan Rasul. Syaratnya adalah perlu ittiba’. Ini harga yang perlu dibayar iaitu ittiba’.

ANCAMAN NABI KEPADA MEREKA YANG TIDAK ITTIBA’

Nabi ﷺ bersabda: “Semua mereka dari kalangan umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.” Nabi menyambung:”Barang siapa taatiku

Nabi spesifik taatiku, dia akan masuk syurga. Apabila dikemukakan sebuah hadis, dia berdolak dalik dan memberi alasan itu dan ni, maka dia diancam hadis ini.

QURAN DAN HADIS TIDAK DAPAT DIPISAHKAN

Kita perlu jelas dalam quran dan hadis (sunnah) iaitu keduanya adalah dari sumber yang sama iaitu Allah SWT. Maka tidak boleh dipisahkan.

Firman Allah: “Sesungguhnya dia (Nabi ﷺ) tidaklah berbicara berdasarkan hawa nafsu”. (QS Surah An-Najmi:3-4).

BERPALING DARI SUNNAH ADALAH GOLONGAN TAQLID MAZHAB, ANTI HADIS ATAU ILMU KALAM

Nabi tidak berbicara melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya. Dari kalangan mereka yang berpaling dari sunnah sama ada golongan anti hadis atau taqlid mazhab, atau mereka yang berakal-akalan dalam hal agama. Telah meninggalkan keduanya. Dia perdayakan dirinya dengan menyangka pegang quran. Hakikatnya, apabila tinggalkan sunnah, maka telah tinggalkan kedua-duanya (Quran dan Sunnah). Ini kerana Quran dan Sunnah adalah ilham dan tidak boleh dipisahkan kerana saling menjelaskan antara satu sama lain.

SUNNAH ADALAH PENJELASAN BAGI QURAN

Firman Allah:Dan kami turunkan atas engkau az-zikir (peringatan) untuk engkau jelaskan kepada manusia.” (QS An-Nahl:44)

Maksudnya sesuatu ayat yang diturunkan, Nabi ditugaskan untuk memberi penjelasan. Penjelasan adalah sunnah Nabi ﷺ (hadis). Maka ini adalah bukti Sunnah tidak boleh dipisahkan. Siapa yang buka Quran tanpa buak hadis, dia akan terpesong.

KAEDAH BATIL MEMAHAMI AGAMA – RUJUK QURAN, SUNNAH, IJMAK DAN KIAS

Ramai orang meletakkan kaedah,  “Rujukan pertama adalah Quran, kedua Sunnah, kemudian  ijmak , kemudian kias”. Ini adalah ungkapan yang jahil dan tidak tahu tentang agama. Mereka tidak tahu hubungan Quran dan hadis. Maka kita perlu tegas dan jelas bahawa rujukan kita quran dan hadis serentak. Tidak boleh dipisahkan. Tidak boleh dalam satu-satu masalah kita buka quran, jika dapat dalil quran dan kita terus lupakan hadis. Sebaliknya perlu buka hadis untuk penjelasan. Bahkan dalam manhaj Salafussoleh dalam memahami sesuatu hukum ada perincian lagi. Kita dapati bahawa ramai lagi tidak tahu. Ramai yang gagal sebelum ke perincinan salafussoleh.

KAEDAH TEPAT MEMAHAMI AGAMA

Perlu difahami Quran dan Hadis mengikut fahaman Salafussoleh (sahabat Nabi ﷺ).

Dalam kalangan mereka yang membezakan antara Quran dan Hadis, ada yang berkefahaman bahawa sunnah ini hanya satu bentuk tafsiran. Dengan kata lain, kita boleh mengambil tafsiran yang lain. Atas alasan sunnah itu adalah khas buat zaman Nabi ﷺ atau khas buat sesuatu perkara tertentu. Ia khas buat Rasul atau kita yang ada disini perlu ikut sunnah nusantara.

Jangan terkejut di kalangan yang menyatakan perkara ini adalah kalangan ilmuan. Contohnya hukuman rejam, akan ada suara yang membangkang. Suara ini mengatakan kami sokong sunnah atas alasan perlu disesuaikan dengan zaman. Kita kena faham konsep kemanusiaan. Apakah Nabi ﷺ tidak tahu akan hak-hak dan kemanusiaan?

AGAMA SUDAH SEMPURNA DAN TIDAK PERLU DITAMBAH

Adapun kalangan orang yang melakukan bidaah, boleh kita beri sebabnya iaitu kerana kejahilan mereka terhadap sunnah seperti masyarakat awam, atau kegagalan mereka memahami bahawa agama itu sudah sempurna. Tidak perlu kepada tokok tambah.

Kita kena faham yang sunnah itu adalah sesuai untuk sepanjang zaman. Seperti hukum wanita perlu mahram dalam musafir. Tetapi ada tokoh besar yang menyatakan perempuan tidak perlu mahram kerana kita sekarang sudah ada kenderaan yang baik dan tidak seperti zaman nabi ada ancaman bahaya haiwan merbahaya di padang pasir. Syubahat ini datang dari kalangan yang seolah-olah membawa panji sunnah. Kita kata hukumnya wajib diikuti dan hukum akan kekal hingga hari kiamat.

HADIS MUNGKAR YANG DIJADIKAN KAEDAH FEKAH

Berkenaan tentang penetapan ungkapan “Rujukan agama pertama adalah Quran, kedua adalah sunah dan ketiga ijmak dan qias”. Ini adalah rujukan kepada sumber lain. Kalau ada jawapan mereka ambik, kalau tiada baru pergi ke sunnah. Ungkapan ini sering disebut. Dari mana ungakapan ini?

Ia timbul dari sebuah hadis iaitu Hadis Muaz bin Jabal ketika Nabi ﷺ utuskan  beliau ke Yaman. Dalam riwayat ini disebut, Nabi ﷺ tanya kepada Muaz dengan apa engkau berhukum dalam berdakwah.

Kata Muaz:Dengan kitab Allah”.
Kemudian Nabi bertanya lagi:Jika engkau tidak jumpa dalam Quran?
Kata Muaz: “Dengan Sunnah Nabi ﷺ”.
Kemudian Nabi tanya lagi:Kalau tidak jumpa dalam sunnah?
Muaz kata:Aku ijtihad dengan akalku dan aku tidak peduli”.
Lalu Nabi kata:Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan-utusan Allah”.
(Hadis ini dhaif, bahkan Imam Bukhari kata hadis mungkar)

Ungkapan ini sering ditulis dalam kitab-kitab fekah. Kaedah ini seolah-olah mereka merendahkan sunnah Nabi ﷺ. Sedangkan kita kata kedua-dua Quran dan Hadis tidak boleh dipisahkan.

ZAMAN KINI: BIDAAH DIUTAMAKAN, SUNNAH DIABAIKAN

Jangan ambil mudah. Seperti yang terjadi pada hari ini. Kalau buka mulut pasal bidaah dikatakan wahabi. Bukan sahaja diambil mudah berkenaan bidaah, BAHKAN DIPERANGI sesiapa yang sebut berkenaan bahaya bidaah. Tuan-tuan pernah dengar di masjid pasal bidaah? Sekarang ini langit dan bumi sudah tunggang terbalik. Jangan terkejut bahawa sunnah kita sampingkan, dan kita utamakan bidaah tetapi atas jenama BIDAAH HASANAH.

Maka mereka adalah KAUM AHLI BIDAAH HASANAH. Jangan bermuslihat, kamu tidak beri penekanan sunnah ketika solat dengan mengatakan solat Superman atau Batman. Ini memperkecilkan sunnah Nabi ﷺ. Lalu mereka tegakkan benang yang basah. Ini satu penyelewengan jelas kaum ini.

Kata Imam Al-Barbahari lagi: Jauhi bidaah walau kecil mana sekalipun. Walaupun nampak kecil,  lama-lama akan jadi besar. Dalam sikit-sikit, lama-lama jadi bidaah hasanah.”

BIDAAH IBARAT BARAH IA DATANG MIRIP KEBENARAN

Setiap bidaah yang berlaku pada mulanya kecil dan mirip kebenaran. IA KECIL DAN HALUS. Malah sangka bahawa dibolehkan. Itulah tangapan mereka kecil dan mirip kebenaran, lalu akhirnya mereka tidak dapat keluar dari kepompong bidaah kerana ia telah sebati dan sebahagian darah daging, hinggakan pertahankan amalan tersebut. Dan mereka akui bahawa ia adalah bidaah walaupun ditambah hasanah.

Ini kalau  kita lihat dalam kumpulan yang menyimbang, kita imbau sejarah bagaimana bermula. Terutama apa yang disebut oleh Imam Barbahari jelas kebenarannya. Ia bermula kecil –kecilan, bermula macam innocent (tak bersalah) atau macam baik dan bagus.

BIDAAH KHAWARIJ (* TIDAK TAAT KEPADA PEMIMPIN)

Lihat bidaah khawarij, ia bermula pertelingkahan dua pemimpin iaitu Muawiyah Bin Abu Sufian RA dengan Ali Bin Abi Talib RA. Muawayitah RA (penguasa di Syam), Ali  RA (Kufah –Iraq). Akhirnya mereka sepakat untuk cari jalan penyelesaian. Ini dinamakan peristiwa Tahkim (berbincang dan kata putus untuk leraikan perselisihan). Muawaiyah RA dan tenteranya kembali negeri Sham, dan Ali RA kembali ke Iraq. Ternyata dalam perjalanan seramai 12,000 tentera Ali keluar di sebuah tempat yang dinamakan Harura’.

SYUBAHAT KHAWARIJ

Mereka tidak setuju apa yang telah dicapai oleh Ali dan Muawiyah.

Kata khawarij:Masakan kita boleh diselesaikan pertikaian. Hendaklah diselesaikan pertelingkahan ini dengan kembali kepada Allah. Kita ambik keputusan Allah”. 

Slogan mereka macam bagus. Maksudnya mereka adalah manusia tidak boleh berhukum kecuali Allah.  Apakah mereka tunggu wahyu atau cara macam mana tidak diketahui kerana mengikut hawa nafsu.

IBN ABBAS BERHUJAH DENGAN KAUM KHAWARIJ

Akhirnya Abdullah bin Abbas (sahabat Nabi) mendatangi  12,000 tentera yang keluar membantah ini dengan menasihati, dan berhujah. Ternyata setiap hujah kaum yang keluar ini berjaya dipatahkan. Akhirnya 8,000 kembali ke pangkal jalan. Sebanyak 4,000 ribu yang degil akhirnya berlaku peperangan dengan tentera Ali bin Abi Talib (perang Nahrawan). Mereka berjaya dihapuskan oleh tentera Ali bin Abi Talib. Khawarij yang selamat telah lari.

SYUBAHAT KHAWARIJ MENGAKIBATKAN PERTUMPAHAN DARAH 

Kita lihat ini permulaan syubahat khawarij. Rentetan peristiwa ini timbul seorang lelaki iaitu Abd Rahman bin Muljam. Akibat fitnah yang kita cerita tadi, dia berpakat dengan 2 orang lagi kerana kebencian kepada Muawiyah, Ali dan Abdullah bin Amru (di Mesir). Kebencian kepada ketiga-tiga pemimpin besar Islam. Kemuncak kerana marah dan benci. Mereka memilih untuk membunuh ketiga-tiga sahabat ini pada waktu subuh. Ternyata, Abdullah bin Amru sakit dan tak keluar subuh. Seorang lelaki lain yang imam solat Subuh bernama khalijah telah terbunuh kerana mereka menyangka Abdullah bin Amru. Muawiyah berjaya ditusuk tombak tetapi selamat.

BIDAAH KHAWARIJ BERTAMBAH PARAH

Yang paling celaka iaitu ketua khawarij iaitu Abdul Rahman bin Murjam. Dia menggunakan tombak 9 mata, dia rendam sebulan tombak dengan racun supaya mangsa mati kena racun. Daripada 9 mata tombak ini, 3 kerana Allah dan rasul, 6 kerana dia benci Muawiyah, Ali dan  Abdullah Bin Amru. Bukankah erti keikhlasan adalah membuat sesuatu 100% kerana Allah? Akhirnya Ali bin Abi  Talib mati kerana tusukan. Inilah maksud Imam Barbahari, bidaah merebak.

Akhirnya Abd Rahman Muljam ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Hukuman berat dikenakan kerana amat keji perbuatannya. Hukuman dikenakan keatasnya adalah setiap anggota dibunuh satu persatu dan akhir ditusuk supaya mati terus.

Kata Abd Rahman Muljam:Engkau potonglah anggotaku mana-mana, tetapi biarkan lidahku anggota terakhir dipotong agar dapat terus berzikir mengingati Allah hingga saat-saat terakhirku”.

Dia adalah ahli ketaatan dan warak tetapi terperangkap dengan bidaah hasanah (tidak taat kepada pemimpin). Demikian sikap pembunuh anak saudara Nabi ﷺ, bahkan orang pertama masuk Islam dari kalangan pemuda dan dijanjikan syurga.

KESESATAN AKIBAT TANPA PANDUAN FAHAMAN SALAFUSSOLEH

Apa yang boleh kita faham ialah Allah nak beri peringatan bahawa di kalangan sesat ini bukan dari kalangan yang lekeh. Mereka nampak alim dan zuhud. Pada hari ni, mungkin mereka dikalangan orang nampak macam menegakkan panji sunnah. Tetapi apabila berpaling dari Quran dan Sunnah dengan kefahaman Salafussoleh, mereka menjadi sesat.

Dalam peristiwa khawarij yang bunuh Abdullah bin Khabbab, iaitu seorang tabiin yang dihormati dan disegani. Apabila Abadullah bin Khabbab enggan turut serta khawarij dan dia tetap tidak mahu menarik ketaatan kepada pemerintah Islam. Akhirnya mereka telah bunuh  Abdullah bin Khabbab dengan kejam (tragis). Bukan sahaja dia dibunuh, malah isterinya yang sarat mengandung juga dibunuh. Orang-orang khawarij telah merobek perut isterinya dan janin juga dibunuh. Kemudian, dalam perjalanan pulang membunuh Abdullah bin Khabbab, mereka melalui sebuah kebun kurma milik orang Nasrani. Ada kalangan mereka yang nak ambik terus kurma tetapi tidak dibenarkan kecuali dengan membeli dari tuannya. Pemilik kebun itu merasa hairan kerana bagaimana gangster yang besar tetapi tiba-tiba baik pula nak bayar kurma. Orana Nasrani berkata: “Sungguh kamu adalah kaum yang pelik”.

Juga masalah kaum khawarij pada zaman ini seperti hukum membunuh nyamuk. Ini adalah kezuhudan yang tak kena tempat. Mereka memikirkan hukum jika bunuh nyamuk gigit, bagaimana dengan darah nyamuk mana pula, tetapi mereka membunuh sahabat Nabi. Ini adalah fitnah bidaah khawarij.


AMARAN NABI SAW TERHADAP KAUM KHAWARIJ

Hadis Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang dia tidak suka, maka hendaklah dia bersabar terhadapnya. Barangsiapa yang keluar dari Al-Jamaah walau sebanyak sejengkal, maka dia sesungguhnya melepaskan tali kekang Islam dari lehernya.” (HR Ahmad)

Hadis Nabi ﷺ:Barangsiapa yang melepaskan tangan ketaatannya, dia akan bertemu Allah pada hari kiamat tanpa ada hujah baginya. Barangsiapa yang mati sedangkan di lehernya tiada bai’ah (taat setia pemerintah Muslim), dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (HR Muslim)

Hadis Nabi ﷺ: Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya? SABDA BAGINDA: “Engkau dengar dan taat terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan taat (HR Muslim)

PERINGKAT KHAWARIJ – KHURUJ DARI KETAATAN PEMIMPIN ISLAM

1) Pemikiran – Khawarij Ideologi 
2) Lisan – Khawarij yang memburuk-burukkan pemerintah
3) Amalan – Khawarij yang keluar menentang (demonstrasi) / menyerang / menjatuhkan pemerintah 

PERMULAAN BIDAAH SYIAH

Begitu juga bidaah orang syiah. Syiah adalah orang menyokong Ali RA. Orang menyokong Ali RA asalnya tidak sesat. Asalnya sokong Ali RA dan kemudian timbul sifat taasub. Mereka membenci lawan iaitu Muawiyah di Syam. Seterusnya mereka mengkafirkannya dan kemuncak Syiah adalah menjadikan Ali sebagai tuhan.

PERMULAAN BIDAAH AHLI KALAM (FALSAFAH)

Kalau imbau sejarah macam mana datang ilmu ini,  ia datang dari buku-buku falsafah Yunani. Aristotle, plato dan sebagainya. Kemudian buku diterjemah ke dalam bahasa Arab, lalu ada kalangan orang Islam seperti Ibn Sina, Al-Farabi yang terpengaruh buku-buku falsafah ini. Setelah itu datang ahli kalam yang nak sanggah orang Islam yang terpengaruh dengan falsafah Yunani. Niat mereka bagus tetapi cara salah (menyimpang). Mereka guna kaedah kalam atas alasan fight fire with fire. Mereka sesat kerana menggunakan hujah akal semata-mata tanpa panduan Quran, Hadis serta pemahaman sahabat.

PERMULAAN BIDAAH SUFI

Bermula Sufi adalah pada zaman Abdullah bin Mas’ud  ketika beliau datang ke masjid melihat ada halaqah-halaqah yang didirikan . Setiap halaqah ada ketua dan ketua itu mengarahkan tasbih 100 kali, takbir 100 kali dan mereka lakukan berkumpulan. Abdullah bin Mas’ud datang dan mengatakan kepada mereka: “Hitunglah dosa-dosa kamu. Aku jamin jika kamu ada kebaikan pasti terpelihara. Apa yang aku risaukan adalah dosa-dosa yang kamu lakukan sekarang”. Mereka menjawab: “Kami hanya mahukan kebaikan (hasanah)” lalu jawapan ini terus berkumandang hingga hari ini. Inikan baik (hasanah). Jawapan Ibn Mas’ud, “Betapa ramai inginkan kebaikan tapi dia tidak perolehinya”.

Pada hari ini jangan kata batu kelikir, tapi biji-biji tasbih digunakan.

 

SOALAN-SOALAN

 1. Dalam kisah Ibn Mas’ud RA ada segolongan yang mendakwa bahawa beliau tidak tahu Aisyah RA yang berzikir di rumah menggunakan batu?

Mereka lupa syariat Islam tidak diambil dari Aisyah RA semata-mata. Aisyah RA hanyalah perawi.  Sedangkan sumber agama perlu kembali kepada Nabi ﷺ. Adakah Ibn Mas’ud RA tidak bersama Nabi ﷺ. Malah tiada seorang sahabat pun yang menggunakan batu-batu atau biji tasbih. Adapun dakwaan Aisyah RA menggunakan batu-batu perlukan pembuktian. Percayalah, masakan Aisyah RA akan menyelisihi Nabi ﷺ dengan menggunakan batu-batu ini.

2. Bagaimana kesudahan orang awam di akhirat? Orang awam lakukan bidaah sebab kejahilan dan nak keluar dari kejahilan pun susah. Kalau nak bergantung institusi agama pun susah kerana mereke cukup dengan panduan mufti.

BERGANTUNG. Sebab itu peranan orang yang memahami sunnah sangat penting. Kita bertanggungjawab untuk sebarkan sunnah kepada masyarakat awam. Tujuan kita untuk mengangkat kejahilan orang awam yang terperangkap dengan kejahilan mereka. Dalam masa yang sama mereka dikelilingi oleh ulamak-ulamak suuk iaitu ulamak-ulamak menyesatkan yang tidak ikut sunnah dan manhaj salafussoleh. Adakah mereka mendapat keuzuran atau tidak adalah bergantung sama ada seseorang itu berusaha mencari kebenaran. Atau adakah dia termasuk dalam golongan tidak peduli dan menjadikan agama sebagai ikut-ikutan, tidak keinginan dalam diri untuk mencari kebenaran.

Subhanallah. Apabila satu pintu ditutup, Allah akan buka pintu yang lain. Pada hari ini penyebaran sunnah dapat dilakukan dengan pelbagai medium (termasuk melalui telefon bimbit). Penyebaran sunnah adalah satu tanggungjawab. Ia bertujuan untuk ditegakkan hujah kepada umat Islam (masyarakat awam) supaya tiada alasan mereka ‘tidak pernah tahu tentang sunnah.

DAKWAH MEDIA SOSIAL

Tinggal lagi sama ada NIAT DIA IKHLAS UNTUK MENCARI KEBENARAN, Allah tidak akan hampakannya. Sebaliknya, jika dia tak peduli dan agama ikut-ikutan, tahu dia jahil (banyak perkara agama tidak tahu), dia hanya tahu ikut agama datuk moyang, lalu datangnya dakwah sunnah disampaikan melalui media-media sosial, dia faham dalam keadaan ini. Dikhuatiri ada hujjah yang telah ditegakkan (termasuk media sosial walaupun dalam rumah sendiri melalui handphone). Dia tiada alasan apapun untuk dia menyelisihi kebenaran kerana sudah tahu. Apabila tetap degil dan enggan, Allah akan menghisapnya. Kalau ada syubahat kenapa tidak dapat terima sunnah yang disampai, mungkin ada keuzuran.

Sebab itu tuan-tuan, apabila  sampaikan dakwah perlu kita menjaga tatacara yang baik, akhlak dan tingkah laku. Dikhuatiri kerana kita dan cara kita , hujjah tidak ditegakkan ke atasnya kerana ilmu sunnah datang kepadanya dalam seburuknya. Masakan dia akan terima.

 3. Adakah apabila kita melihat seseorang ustaz/ulamak itu berdoa ramai-ramai (menyelisihi sunnah Nabi ﷺ), dia termasuk dalam ulamak suuk?

Kita tidak menyebut kepada sesiapa yang hidup atau mati. Memandangkan banyak syubahat sekeliling, kita ambil jalan berhati-hati dari terus menghukum. Dikhuatiri dikalangan ilmuan pun yang tidak tahu. Ini Akhir zaman. Orang-orang sunnah pun masih isbal. Kita kata step by step. Kita hidup penuh cabaran dan penuh syubahat. Jangan terus hukum terburu-buru. Yang pasti dakwah terus disampaikan. Kalau terus degil damn terus melawan, ini menujukkan sesuatu yang tak kena.

4. Sejauh mana perlu dengar fatwa dari pihak autoriti?

Sejauh mana ilmu kita membantu. Dalam keadaan kita jahil dan tak tahu apa-apa. Yang ada fatwa ini sahaja, maka ambik lah fatwa itu. Tetapi kalau kita terus menuntut ilmu, kita akan dapat sumber lain, maka tanggjawab kita adalah menilai. Ini secara umum.

 5. Arab Saudi adalah Negara tauhid, kenapa tasbih dijual berleluasa?

 Ini membuktikan sabda Nabi ﷺ:Setiap anak Adam melakukan berdosa”.

Yang pasti ulamak menjelaskan perkara ini adalah bidaah. Bukan semua orang di Mekah Malaikat, atau ulamak sunnah, atau semua ulamak di Mekah seperti Syeikh Bin Baz. Yang pasti ulamak sunnah jelas dalam hal ini. Sunnahnya guna jari seperti Nabi ﷺ. Khilaf kalangan ulama hanya boleh guna atau tidak biji tasbih. Ada ulamak yang lunak “kalau nak guna boleh tapi menyalahi afdal” dan ada ulamak bersikap tegas “tak boleh”.


Salurkan sumbangan anda kepada Surau:

No. Akaun: 12092010017971 (BANK ISLAM)
SURAU AL HIDAYAH

Audio Syarah As-Sunnah oleh Ustaz Idris Sulaiman:

https://www.dropbox.com/s/8nw7hgboocepyxd/Uis Syarhus Sunnah – Perkara 6 & 7 – 27 Jan 2017.mp3?dl=0

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements