KULIAH SYARAH AS-SUNNAH IMAM AL BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (13 Jan 2017)

PERKARA KE-2

Kata Imam Barbahari: “Termasuk ke dalam sunnah adalah berpegang teguh dengan Al-Jamaah. Barangsiapa condong kepada selain Al-Jamaah dan menyelisihinya, maka ia telah MELEPAS TALI ISLAM DARI KEKANGNYA dan telah sesat dan menyesatkan.”

PERKARA KE-3

Kata Imam Barbahari: “Landasan dan tolok ukur Al-Jamaah adalah para Sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Semoga Allah merahmati mereka semua. Mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah. Barangsiapa yang mereka tidak mengambil kebenaran dari mereka, maka ia telah MEMILIH JALAN KESESATAN DAN KEBIDAAHAN. Setiap yang bidaah adalah sesat dan setiap pelaku kesesatan pasti akan menjadi penghuni neraka.

HADIS-HADIS NABI ﷺ BERKENAAN KETAATAN KEPADA PEMERINTAH

Hadis Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang dia tidak suka, maka hendaklah dia BERSABAR terhadapnya. Barangsiapa yang keluar dari Al-Jamaah walau sebanyak SEJENGKAL, maka dia sesungguhnya melepaskan tali kekang islam dari lehernya.” (HR Ahmad)

Nabi ﷺ mengumpamakan kesatuan umat Islam di bawah seorang pemerintah ibarat tali kekang (yang diikat di keliling setiap Muslim). Pemerintah seperti pengembala di mana seorang pengembala haiwan ternakan akan mengikat tali kepada haiwan supaya tidak terlepas lari dan itu adalah kekang itu bertujuan untuk mengawal. Maka Nabi ﷺ umpamakan seorang yang khuruj (keluar) dari ketaatan kepada pemerintah muslimnya ibarat seekor kambing, kalau boleh ikut hawa nafsu dia hendak lari dari tuannya.

Maka kita lihat bagaimana Nabi ﷺ dan apa yang disebut oleh Imam Barbahari tentang perlunya umat islam menjaga kesatuan umat Islam walaupun dalam hal yang dia tidak suka. Dalam kita hidup bersama pemerintah Muslim, pastinya ada perkara yang kita tidak suka. Apatah lagi pemimpin yang melakukan kerosakan, kezaliman dan maksiat. Nabi ﷺ kata hendaklah dia bersabar terhadap hal kezaliman pemimpin.

Ternyata dalam sekian banyak hadis yang menyentuh hubungan rakyat dan pemerintah disebut “dengar dan taat serta sabar”. Kita tidak pernah dengar sekian banyak hadis dengan hubungan rakyat dan pemerintah selain 3 perkara asas (dengar, taat dan sabar) ini.

Juga hadis yang mempunyai lafaz yang hampir sama.

Nabi ﷺ menyatakan: “Barangsiapa yang melepaskan tangan ketaatannya, dia akan bertemu Allah pada hari kiamat tanpa ada hujah baginya. Barangsiapa yang mati sedangkan di lehernya tiada bai’ah (taat setia pemerintah Muslim), dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (HR Muslim)

Tangan ketaatan seperti berbai’ah ini adalah menyatakan taat setia kepada pemerintah muslimnya, dia akan mati dalam keadaan jahiliah. Jika kita imbau zaman jahiliah yang sentiasa berbalah dan tidak bersatu, berlakunya peperangan, pembunuhan sesama orang arab jahiliah di Mekah. Demikianlah sebelum kedatangan Nabi ﷺ. Saya melihat para ulamak menyatakan bahawa maksud hadis ini adalah ia bukan suatu cara yang diinginkan oleh muslim untuk mati dalam keadaan jahiliah. Pastinya orang muslim hidup dalam beriman dan tentunya kita berharap mati beriman dan dalam keadaan taat kepada Islam.

Kata Imam Barbahari: “Landasan dan tolok ukur Al-Jamaah adalah para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Semoga Allah merahmati mereka semua. Mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah. Barangsiapa yang mereka tidak mengambil kebenaran dari sahabat, maka ia telah memilih jalan kesesatan dan kebidaahan. Setiap yang bidaah adalah sesat dan setiap pelaku kesesatan pasti akan menjadi penghuni neraka.

Landasan – jalan yang perlu ditempuh
Tolok ukur – Cara ukuran/menilai dalam sesuatu perkara yang diperselisihkan


DEFINISI ALJAMAAH

Definisi Al-Jamaah adalah sangat penting untuk difahami. Rata-rata umat Islam mengaku orang Islam dan mereka mengatakan kami berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) tetapi sejauh mana mereka faham maksud Al-Jamaah tersebut?

Imam Al Syartibi dalam kitab agungnya iatu Al-Iktisam.

MAKNA AL-JAMAAH DARI SEGI BAHASAkumpulan (himpunan) orang.
Contoh solat jamaah, maksudnya solat berkumpulan.

MAKNA AL-JAMAAH DARI SEGI ISTILAH (ada 2 maksud):

1. Makna secara istilah (1) -Himpunan apa yang disepakati oleh Nabi ﷺ dan para Sahabatnya tentang syariat Islam. (Pegangan Nabi ﷺ dan para Sahabat)

Daripada mana kita dapat definisi ini?

Diriwayatkan oleh Muawiyah Bin Abu Suffian iaitu Nabi ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya umat-umat terdahulu daripada kamu iaitu dari kalangan ahli kitab berpecah 72 kumpulan, dan sesungguhya agama ini (Islam) akan berpecah kepada 73. Dan 72 dalam neraka, hanya 1 dalam syurga.” Para sahabat bertanya, siapakah yang satu itu. Nabi kata:“Al-JAMAAH” .(HR Abu Daud)

Kemudian dari hadis yang sama tapi lafaz yang berbeza.

Nabi ﷺ bersabda: “ …Iaitu satu  kumpulan selamat (masuk syurga)  adalah golongan yang berpegang dengan peganganku dan para Sahabatku.”(HR Tirmizi)

 2. Makna secara istilah (2) – Kumpulan (himpunan) orang Islam yang bersatu dibawah seorang pemerintah Muslim.

 Nabi ﷺbersabda: “Barangsiapa melihat sesuatu yang dibenci daripada pemerintahnya, maka hendaklah dia bersabar terhadapnya. Kerana sesungguhya barangsiapa yang menyelisihi Al-Jamaah ini, sesungguhnya dia telah MELEPASKAN TALI KEKANG ISLAM dari lehernya” (HR Bukhari , Muslim)

Melepaskan tali kekang Islam –Tidak mahu patuh kepada Islam (tidak ikut Islam).

Ini adalah suatu perumpamaan oleh Nabi ﷺ. Ia sangat bahaya kerana tidak mahu ikut Islam. Maksud yang sangat dalam, bahaya dan berat. Betapa ramainya mereka yang menyalahi hadis-hadis Nabi ﷺ pada hari ni dengan pelbagai alasan yang diberikan.

Kalau kita amati maksud Al-Jamaah, kedua-dua hadis adalah wajib ditaati. Cuma kalau hendak dikaitkan kedua maksud Al-Jamaah ini, kita simpulkan bahawa kedua-duanya saling memerlukan. Ini dalam konteks jika umat Islam mahu bangkit, mendapat kekuatan dan kemenangan dari Allah SWT. Perlu dipraktikkan dua maksud Al Jamaah. Mereka perlu kembali kepada sunnah Nabi ﷺ ikut kefahaman para Sahabat dan hendaklah bersatu di bawah pemerintah muslim mereka.

BAGAIMANA MENDAPAT KEKUATAN DAN KEMENANGAN DARI ALLAH?

Dalam menguruskan sesebuah Negara atau tempat, mereka akan beroleh kekuatan untuk berhadapan dengan lawan dengan kemenangan dari Allah jika merealisasikan kedua-dua maksud Al-Jamaah ini sebagaimana nas.

Firman Allah: “…Jika kamu memenangkan Allah (agama Allah), Allah akan memberi kemenangan kepada kamu”.(QS Muhammad:7)

Apabila ditegakkan agama Allah, dan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah iaitu taat kepada kedua-dua maksud Al-Jamaah (ikut Nabi  dan para Sahabat , serta Taat kepada pemerintah muslim). Maka, Allah akan memberi kemenangan atas kelompok muslim di sesebuah tempat itu.

AL-JAMAAH ADALAH MENEPATI KEBENARAN WALAUPUN KESEORANGAN

Dalam masa yang sama kalau kita perhatikan maksud Jemaah yang pertama “pegangan Nabi dan para Sahabat”. Dapat kita kata bahawa seseorang tu boleh masuk dalam Al-Jamaah walaupun dia seorang. Ini yang dimaksudkan oleh sahabat Nabi iaitu

Ibn Mas’ud RA: “Jemaah itu ialah apa yang menepati kebenaran walaupun engkau keseorangan”

Apakah kebenaran itu?
Definisi kebenaran adalah pegangan Nabi ﷺ dan para Sahabat. Ia releven dari dulu, kini dan selamanya. Ini adalah kebenaran yang pasti dan tidak ada ruang untuk meragui, berubah dan ulang semak.

Seseorang kalau dia terus berpegang teguh para sahabat walaupun dikelilingi oleh masyarakat yang menyelisihi Al-Jamaah, hendaklah dia terus bersabar kerana walaupun zahirnya keseorangan tetapi hakikatnya dia sebahagian Al-Jamaah. Dia adalah sebahagian dari himpunan Jamaah.

Barangkali Al-Jamaah (orang berpegang kebenaran), mereka hidup berjauhan iaitu seorang di timur atau seorang di barat. Hakikatnya walaupun mereka hidup berjauhan, berlainan warna kulit dan bangsa, hakikatnya mereka adalah satu kumpulan. Realiti mereka yang berpegang kepada pegangan para Sahabat (Salaf As Soleh). Kita dapati mereka tidak perlu apa-apa pertubuhan atau organisasi, tidak perlu presiden pertubuhan. Jika mereka bertemu, mereka akan bersatu dan berdiri satu saf seolah-olah telah bersahabat lama. Dari cara berpakaian pun sudah dapat menghidu,  mereka seperti saudara yang lama tidak jumpa hingga dapat merasakan keakraban dan kesepakatan.

Maksud Al-Jamaah yang kedua, adalah dari sudut kekuatan umat Islam dan kemenangan yang mereka harapkan dalam melawan musuh-musuh Islam. Kemenangan tidak dapat diperolehi jika maksud Al-Jamaah yang kedua tidak dapat direalisasikan. Atas hakikat inilah , musuh-musuh Islam ingin memastikan umat Islam bercakaran antara mereka. Dari sini Islam menekankan kesepakatan umat Islam iaitu dengan dipimpin oleh pemimpin muslimin, oleh sebab itulah umat akan mendapat kekuatan.

Kita dapat sebutkan bagaimana sejarah tanah Malaya yang dapat dijajah. Pegawai British hanya ada 3 orang dan tentera Ghurka dari Nepal ada dalam 300 orang. Tetapi mereka dapat menundukkan sebuat masyarakat negeri mungkin setengah juga. Kalau kita kaji bagaimana hal ini dicapai, tidak lain adalah kerana SISTEM PECAH DAN PERINTAH. Ternyata sistem pecah dan perintah terus dilaksanakan hingga ke hari ini sepertimana yang dapat kita lihat dalam SISTEM DEMOKRASI, yang masa sistem ini perlu ada pembangkang atau parti-parti. Disemarakkan lagi perpecahan paling tidak 5 tahun sekali dalam pilihanraya umum.

ISTIMEWANYA PARA SAHABAT

Maksud Sahabat – Sesiapa yang bertemu nabi, beriman dengan baginda dan mati dalam beriman.

Kenapa Para Sahabat Adalah Kaum Pilihan Allah?
Hendaklah kita menyedari satu hakikat. Subhanallah. Seakan-akan ramai umat Islam tidak mengerti hakikat ini iaitu bahawa kelompok para sahabat, mereka adalah kumpulan manusia yang Allah pilih untuk hidup bersama dan sezaman dengan Nabi ﷺ. Mereka bukan hidup secara kebetulan. Hakikat yang kita lebih hargai kedudukan para Sahabat apabila kita bandingkan umat nabi-nabi sebelum ini.

Jumlah Sahabat Nabi ﷺ
Sejak Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan nabi-nabi terdahulu yang lain. Apabila kita lihat umat-umat nabi terdahulu dan imbau sejarah para Sahabat. Ini adalah cara kita lihat kedudukan para Sahabat berbanding umat-umat nabi terdahulu. Kita simpulkan bahawa para Sahabat dari segi jumlah, mereka jauh lebih ramai dari bilangan pengikut para nabi terdahulu. Dari segi kualiti sejauh mana mereka beriman dan tunduk kepada nabi mereka. Tenyata tidak ada umat  terdahulu atau tiada sesiapa yang dapat mengatasi kuantiti para sahabat Nabi ﷺ. Jika kita lihat Nabi Nuh AS, anak sendiri pun tidak beriman dengan ayahnya, demikian juga Nabi Lut, isterinya tidak beriman. Maka jumlahnya pengikut Nabi dahulu sangat sedikit.

Kualiti Para Sahabat Nabi ﷺ
Jumlah paling ramai adalah kaum Israel iaitu pengikut nabi Musa AS. Orang-orang Yahudi ternyata dari segi jumlah adalah ramai tetapi kita lihat sikap mereka dengan nabi jika nak dibandingkan dengan para Sahabat Nabi ﷺ. Pertama , mereka kaum yang penakut. Yang pergi mengadap Firaun hanya Nabi Musa dan Harun AS. Mereka juga penakut dan cepat menggelabah sebagaimana keadaan ketika sampai di laut merah, mereka tanya Nabi Musa iaitu “dah sampai sini dan nak kemana lagi”. Iman mereka goyah. Sebelum sampai masa perang sudah gelabah. Apabila sampai ke seberang, ternyata dalam perjalanan mereka merasa lapar dan mengadu kepada Nabi Musa “mintaklah dari tuhan makanan dari Al Mann wal Salwa”. Maka Allah turunkan. Tetapi adakah menambah keimanan mereka? Tidak.  Dah nak sampai ke Baitul Maqqaddis, Nabi Musa perintahkan perang  dan bebaskan dari penaklukan, apa kata Bani Isreal, “engkau pergilah dulu dan kita di sini akan tunggu, mintalah pertolongan dari tuhan”. Ini semua Allah ceritakan dalam quran. Akhirnya mereka terus hidup dalam buangan.

Pernah hingga satu peringkat kaum Israel minta Nabi Musa tunjukkan Allah. Tahap biadap yang sangat dahsyat. 

Bagaimana Sifat Para Sahabat?
Sahabat adalah hebat berbeza dengan pengikut Nabi Musa seperti langit dan bumi. Mereka mempunyai sifat keikhlasan, kepatuhan, kesabaran, istiqomah dan sifat-sifat murni. Jika dahulu tidak ada golongan sebegini, begitu juga sehingga zaman ini tiada lagi kaum seperti ini. Sepanjang hidup sesudah beriman dengan Nabi, mereka terus membantu dari segi masa, tenaga, harta bahkan menggadaikan benda paling berharga iaitu nyawa mereka untuk jihad dan dakwah untuk menyebarkan agama Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian ketabahan tidak berhenti setelah Nabi wafat. Mereka terus istiqomah hingga ke nafas mereka yang terakhir.

Antara yang boleh kita perhatikan dalam sejarah sahabat adalah bakti dan jasa besar mereka dengan menjaga kedua wahyu iaitu Al-Quran dan Hadis. Kita tahu proses membukukan quran (zaman Uthman RA), mereka juga meriwayatkan hadis-hadis seperti Abu Hurairah RA dan Aisyah RA. Mereka meriwayatkan kedua Quran dan Hadis Nabi ﷺ.

PUJIAN ALLAH SWT KEPADA SAHABAT RA

Tanpa para sahabat, tidak akan sampai kepada kita quran dan hadis. Tidak hairan kenapa Allah mendahului kita semua dalam memuji para sahabat seperti Firman Allah berikut. 

“Buat orang-orang fakir dari kalangan orang Muhajirin yang berhijrah meninggal kampung halaman dan harta bendanya, demi mencari keredhaan Allah dan Rasulnya. Merekalah orang-orang yang berjaya” (QS Hasyr:8) ……….Pujian kaum Muhajirin; dan

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka (Muhajirin), mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka mengutamakan orang yang berhijrah lebih dari diri mereka sendiri, sekalipun dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya”. (QS Al-Hasyr:9)………….Pujian kepada kaum Ansar

ADAKAH SAHABAT LAKUKAN BIDAAH?

Imam Barbahari mengatakan bahawa “Barangsiapa yang tidak mengambil kebenaran dari mereka (sahabat), ia telah memilih jalan kesesatan dan kebidaahan”.

Maka, berpegang kepada Quran dan Sunnah mengikut kefahaman sahabat adalah suatu kewajipan. Ini adalah satu hakikat, kita boleh mengadaptasikan kaedah dalam semua bidaah-bidaah yang ada sekeliling kita. Ulamak mengelaskan bidaah ada dua iaitu Bidaah Hakiki dan Bidaah Idhofi.

i. Bidaah Hakiki iaitu 100% tiada asas dalam agama.
ii. Bidaah Idhofi iaitu mempunyai asas dalam agama. Ini yang terjadi dalam masyarakat.

Memahami quran dan hadis perlu kepada kefahaman sahabat
Kita tidak nafikan seperti ibadah berselawat kerana ada pahala-pahala, ganjaran dan tuntutan berselawat.

Bagaimana selawat boleh menjadi bidaah?
Apabila dilakukan pada masa tertentu, cara tertentu, bilangan-bilangan tertentu, keadaan tertentu (menari dan menyanyi) atau mengikut musim tertentu apabila sambut Maulid Nabi. Perbuatan-perbuatan tersebut menyelisihi jalan-jalan sahabat kerana sahabat tidak pernah melakukannya.

Contoh lain adalah masalah peha aurat atau tidak? Dalam Bukhari Muslim, Rasulullah nampakkan pehanya. Zahirnya peha bukan aurat. Pada masa yang sama, ada riwayat lain iaitu peha itu aurat tetapi hadis dhaif. Apapun ia adalah suatu kesamaran antara hukum peha sama ada aurat atau tidak. Jika berpandangan bahawa adalah bukan aurat, maka boleh solat pakai seluar pendek. Persoalannya, pernah atau tidak sahabat dedah peha dalam solat? Tidak

Maka kita perlu lihat secara holistik. Yang pastinya mereka (Nabi dan Sahabat) tidak pernah dedahkan aurat semasa solat dan pandangan benar peha itu adalah bahagian aurat.

Dalam hadis lain Nabi kata: “Kain seorang mukmin adalah hingga setengah betisnya.”(HR Ahmad, Abu Daud dll)

Kenapa Nabi kata setengah betis? Mereka buat tak nampak dan membincangkannya, malah mereka fokus hadis Nabi nampakkan peha tetapi tidak bincangkan hadis nabi yang lain pula. Ini contoh betapa penting kembali pemahaman para sahabat.

SETIAP BIDAAH SESAT, PELAKU KESESATAN TEMPATNYA DI NERAKA

Kata Imam Barbahari “Setiap bidaah adalah sesat dan setiap pelaku kesesatan akan menjadi penghuni neraka”.

Sekali pandang orang yang jahil kata Imam Barbahari ni “wahabi” sebaliknya kata-kata beliau bertepatan dengan hadis nabi “ Semua bidaah sesat”.  Hakikatnya Imam Barbahari bukan wahabi tapi dia berpegang kepada sunnah Nabi ﷺ seperti yang sepatutnya. Ini penting kita memilih kitab Syarhus Sunnah kerana ia adalah kitab turath (kitab lama). Maka kitapilih kitab ini ditulis jauh di zaman dahulu (329H wafat), lebih 1000 tahun lepas.

Nabi adalah orang terbaik untuk menjelaskan Bidaah
Kata Imam Barbahari “Setiap kesesatan menjadi penghuni neraka”. Ternyata itulah hakikat bahawa setiap  bidaah adalah sesat bertepatan sabda Nabi ﷺ. Siapakah yang lebih layak untuk menjelaskan hal bidaah selain dari baginda sendiri? Nabi yang menyatakan “setiap bidaah sesat”, siapakah kita yang datang kemudian lalu menyatakan bidaah ada 2 atau 5. Lalu mereka kata ulamak sekian-sekian. Kita berbaik sangka dengan mereka (ulamak), walaubagaimana pun hakikatnya kata Imam Syafie tidak bermaksud ada bidaah hasanah pun. Orang bidaah hasanah menyatakan sesuatu yang lain. Imam Syafie kata bidaah ada 2 “yang menepati syariat ia terpuji, apa yang menyelisih syariat adalah tercela”. Apapun, pembahagian bidaah kepada dua adalah ijtihad Imam Syafie. Maka bagi kita jalan yang selamat adalah kembali kepada Nabi ﷺ…Dan Nabi ﷺ bersabda “setiap kesesatan dalam neraka”.

SOALAN-SOALAN

 1. Bagaimana sebahagian golongan mendakwa bahawa perlu memahami hukum (Quran atau Hadis) mengikut kesesuaian peredaran zaman? Contohnya taat kepada pemimpin sesuai hanya pada zaman Nabi dan Sahabat sahaja.

Mengatakan “sunnah Nabi ﷺ perlu disesuaikan ikut zaman”. Ini adalah tohmahan yang sangat dahsyat terhadap Nabi ﷺ dan syariat. Pendek kata syariat Islam perlukah disesuaikan dengan peredaran zaman? Ini adalah pandangan salah, bahkan boleh kita kata pandangan ini adalah sesat dan menyesatkan. Malah Nabi SAW bersabda “….. Dan seorang nabi terdahulu diutuskan untuk umatnya secara khasnya, adapun aku diutuskan seluruh umat manusia (dahulu hingga akhir zaman).” Maka Islam itu sesuai untuk sepanjang zaman, setiap keadaan dan tempat.

Dan ini juga maksud Allah dalam firmanNya: “…Sesungguhnya pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu….”. (Al-Maidah:3)

Kalau kita kata agama Islam perlu disesuaikan mengikut zaman dan tempat, secara langsung  kita dakwa agama Islam tidak sempurna. Maka jika kita kata syariat hanya sesuai untuk zaman Nabi ﷺ, adapun zaman yang datang kemudian perlu disesuaikan. Ini menunjukkan ajaran Islam tidak sempurna (syumul). Itu sahaja adalah tohmahan kepada Nabi ﷺ dan terhadap Allah SWT.

2. Kita ada YD Agong, Perdana Menteri(PM) dan Menteri Besar di negeri. Siapakah yang perlu ditaati?

Sekiranya kita kembali kepada nas dan hadis-hadis, ternyata hal ini boleh diselesaikan dengan mudah kalau sekiranya kita membebaskan diri kita daripada apa juga kecenderungan dan taksub dengan kepartian. Ia musibah jika taksub atau masih terikat dengan assobiah kepartian. Ia (taksub) suatu musibah yang perlu kita sucikan diri kita dari najisnya.  

PEMERINTAH IBARAT INDIVIDU
Ternyata kita kembalikan kepada Nabi ﷺ tentang ketaatan kepada pemerintah. Apa yng dapat kita simpulkan adalah Nabi kata “ hendaklah kamu dengar dan patuh”. Nabi ﷺ mengisyaratkan perintah ketaatan kepada seorang pemerintah. Pemerintah ibarat individu, ia bukan bendera atau parti. Hakikat pemerintah tidak mungkin dua pemerintah. Seperti dalam sifat ketuhanan, Allah berfirman “Sekiranya dalam alam ini ada dua tuhan, nescaya tuhan itu akan bawa pergi apa yang diciptakannya”. Tetapi apabila kita melihat semua satu arah (harmoni), teratur dengan satu sistem. Maka, kita nampak ia ditadbir oleh satu tuhan iaitu Allah SWT.

Begitu juga dalam negara, apabila ada 2 pemerintah apa akan jadi? Akan timbul perselisihan, percakaran dan kemuncaknya adalah peperangan. Maka dalam satu Negara perlu ada seorang pemerintah tertinggi, dalam satu syarikat perlu ada seorang ketua, begitu juga dalam satu keluarga perlu ada seorang ketua. Jika dalam keluarga isteri hendak jadi queen control, akhirnya anak-anak  akan  ternganga di tengah-tengah. Begitu juga dalam konteks dalam pemerintahan Negara. Saya lebih suka dalam hal Negara kita melihat negara sendiri. Kalau kita bincangkan Negara Bangladesh atau Negara lain, makin banyak lagi keliru. Sudahlah Negara kita dah confuse, ini nak bincangkan keadaan Negara lain.

PERDANA MENTERI ADALAH WAKIL AGONG
Alhamdulillah Agong selaku pemerintah yang tertinggi, tenyata PM dilantik dan dia mendapat perkenan daripada Agong. Ada upacara khas angkat sumpah taat setia kepada Negara. Perlu dilihat pada lafaznya, sangat menarik untuk kita faham, ia melibatkan hukum hakam agama.

Sejauh mana legitimisi (kesahan) atau pengiktirafan PM sebagai pemimpin Negara?

Ternyata PM adalah disahkan/diperkenankan oleh Agong. Sepanjang sejarah tidak pernah Agong membatalkan jawatan PM. Alhamdulilah. Ini adalah nikmat. Maka PEMERINTAH TERTINGGI ADALAH AGONG YANG MEMILIH PM SEBAGAI WAKILNYA untuk menjalankan pentadbiran seluruh Negara. Maka PM wajib ditaati.

3. Bagaimana Ketaatan kepada pemerintah negeri (Menteri Besar) yang ditadbir oleh pembangkang?

Sekali lagi perlu kembali kepada nas syarak dan jangan mendahului kepada nas demokrasi yahudi dan nasrani. Kita dah sebut dalam negara tidak boleh ada 2 pemerintah iaitu orang Islam wajib bersatu di bawah pemimpin tertinggi sebagaimana Hadis Nabi ﷺ:“Jika dibai’at dua orang khalifah, bunuh yang terakhir dari keduanya”. (HR Muslim, Abu ‘Awaanah, Al-Baihaqi dan yang lain)

Maka ,yang pasti mereka (pembangkang) telah menyelisihi tuntutan syarak supaya bersatu padu. Mereka pecah belahkan kesatuan Islam. Para pembangkang perlu kembali ke pangkal jalan. 

Jangan meluaskan jurang perpecahan di Negara kita jika berada di negeri pembangkang. Maka kita kurangkan mudarat, kita ikut hal-hal baik. Dalam masa yang sama, kita sentiasa berusaha agar negeri yang ditawan oleh pembangkang dikembalikan ketaatan kepada pucuk pimpinan Negara. Akhirnya, yang kita ingin adalah semua negeri-negeri bersatu padu dibawah ketaatan kepada Agong dan Perdana Menteri.

Kenapa kita inginkan seperti itu? Hanya itu sahaja kita dapat bersatu padu untuk kemajuan Negara. Hanya cara itu kita dapat merancang pembangunan agama dan Negara. Adapun selagi ada percakaran antara pucuk pimpinan persekutuan dan negeri, sikit-sikit air terbengkalai, jalan tidak berturap. Kenapa? Adakah kita masih lagi dungu, kalau bukan disebabkan percakaran atau perselisihan, masakan masalah seumpama ini boleh berlaku. Selagi ada percakaran antara umat islam, orang akan ambil kesempatan terutama kafir dalam dan luar negara.

 4. Apakah cadangan Penyatuan Umat Islam?

Saya sangat tertarik dengan cadangan seorang asatizah berkenaan penyatuan iaitu:

“Kita akui sistem demokrasi tidak dapat ubah dalam sehari semalam. Kalau nak ubah kepada sistem khalifah, maka kita perlu mengelakkan persengketaan antara kita dahulu. Apabila sudah bersatu, kita dapat beranjak kepada sistem Islam sepenuhnya. Baru kita nampak negara Islam  yang benar dalam erti kata sebenar. Selagi mana berselisih, kita dapati hal itu tidak akan berlaku.”

Dalam demokrasi menuntut ada kerajaan dan pembangkang. Bahkan dalam parlimen diletak kerusi ketua khawarij (pembangkang). Itu sistem demokrasi yang sangat jahat dan sangat licik. Diberi kuasa dalam parlimen untuk terus membangkang hingga cuba merosak segala perancangan kerajaan. Ini sistem yahudi yang sangat licik. Kita saja yang dungu dan tidak memahami apa yang telah terjadi.

Tambahan cadangan asatizah yang cukup bernas:

 “Sistem ini tidak dapat ubah, kita gunapakai  tetapi dalam masa yang sama kita cuba kurangkan mudarat sebanyak mungkin. Akhirnya kita lihat semua umat Islam bersatu padu dibawah Agong dan PM. Orang kafir yang tak kenal Islam ,halal haram, tak kenal hadis-hadis Bukhari Muslim supaya taat kepada pemimpin muslim, maka mereka inilah yang terkeluar dari Al-Jamaah. Maka biarlah mereka yang bersama pembangkang. Jika mereka bersama pembangkang itu lumrah, manakala orang Islam perlu bersatu padu dibawah pemerintah Muslim (Agong dan PM). Itu hendaklah menjadi impian kita. Jika hal itu dapat direalisasikan, baru bincang tentang memperkasakan  umat Islam. Selagi tidak, maka umat akan hadapi percakaran dan Islam terus lemah.” 

5. (Tambahan) Bolehkah kita menjadi pembangkang kerana demokrasi membenarkan?

Subhanallah. Adakah kita mendahului Sistem Demokrasi kafir daripada syariat Islam? Maka jelasnya adalah Islam sesekali tidak membenarkan kita berpecah. Adapun mengundi pemerintah tertinggi sedia ada adalah suatu maslahah (memilih yang kurang mudarat) kerana mahu pertahankan pemimpin tertinggi Islam Negara. Bahkan mempertahankan pemimpin Islam adalah wajib.

Audio Kuliah Kitab Syarah AS -Sunnah oleh Ustaz Idris Sulaiman
https://drive.google.com/open?id=0B1f5ZkQWwaw8bTVKLWN6TVl6NjQ

Advertisements