KULIAH SYARHUS SUNNAH IMAM AL-BARBAHARI Oleh Ustaz Idris Sulaiman (6 Jan 2017)

BIOGRAFI RINGKAS PENULIS BUKU SYARHUS SUNNAH IAITU AL-BARBAHARI

 Nama beliau adalah Al-Hasan bin Ali bin Khalaf Al-Barbahari (wafat 329H). Seorang ulamak bermazhab Hanbali, juga salah seorang murid Imam Ahmad Bin Hanbal. Lahir di Baghdad, Iraq. Dibesarkan dalam kalangan suasana ilmu dan ilmuan sunnah. Imam Al Barbahari adalah seorang yang sangat tegas dalam menyampaikan kebenaran. Mengajak umat kepada sunnah dan atsar Salaf As Soleh. Beliau juga ada kedudukan oleh pemerintah. Majlis ilmunya berkisar kepada hadis dan feqah. Ramai murid beliau yang hadir terdiri dari ilmuan-ilmuan.

PUJIAN (TAZKIYAH) KEPADA AL- BARBAHARI

1. Ibn Battah: “Sekiranya engkau melihat seorang Baghdadi mencintai Abu Hassan bin Basyar dan Abu Muhammad Al-Barbahari, maka ketahuilah orang tersebut dari kalangan ahli sunnah.”

 2. Imam Al Jauzi: “Imam Al-Barbahari telah menghimpunkan ilmu dan kezuhudan. Beliau sangat tegas kepada ahli bidaah.”

 3. Imam Ibn Katsir: “Imam Al-Barbahari adalah seorang ulamak dan ahli zuhud. Beliau sangat tegas dan keras ke atas golongan ahli bidaah dan ahli maksiat.”

KEDUDUKAN IMAM AL-BARBAHARI BERDEPAN AHLI BIDAAH

Beliau sangat prihatin untuk memelihara agama dan menjauhkan dari unsur luar yang hinggap masuk dalam bentuk-bentuk bidaah seperti fahaman Jahmiah yang menafikan nama dan sifat Allah, juga bidaah kaum Muktazilah yang menetapkan nama Allah tetapi menafikan sifat-sifatNya. Demikian juga bidaah golongan tasawuf, golongan tasyayub dan golongan Syiah Rafidah.

KATA-KATA IMAM AL-BARBAHARI

Mutiara kata-kata beliau:Dan berhati-hatilah bidaah yang kecil kerana bidaah kecil ini lambat laun akan jadi besar.”

Perkataan beliau juga:Lihat kata-kata yang engkau dengar dari kalangan orang yang hidup pada zaman mu khasnya, jangan engkau terburu-buru dan jangan masuk dalam sesuatu daripadanya sehingga engkau tanya dan lihat (semak). Adakah ada ungkapan dari Nabi ﷺ atau dari kalangan ulamak? Jika engkau dapati satu riwayat dari mereka, maka berpegang darinya dan jangan engkau berpaling dari riwayat tersebut. Jangan engkau pilih selainnya, jika tidak kamu akan jatuh dalam api”.

ANJURAN SEDEKAH AL-FATIHAH KEPADA IBU BAPA

Apabila kita dengar satu amalan seperti yang dibincangkan dalam Surau Hidayah hari ni. Siapa yang hantar tidak penting. Kandungannya adalah menganjurkan untuk hadiahkan Al-fatihah kepada ibu bapa. Lihat bagaimana zahirnya adalah suatu yang baik dengan bacaan tersebut kita niat hadiah kepada ibu bapa sama ada hidup atau meninggal dunia. Anjuran macam cantik dan bagus. Tetapi kita gunakan apa yang disebut oleh Al-Barabahari tadi:

Jangan terus terburu-buru, sebaliknya engkau perlu tanya dan renung adakah Nabi ﷺ atau dikalangan ulamak yang menganjurkan.”

Apabila kita sebut ulamak, ini sahaja perlu banyak kena renung dan bertanya kerana banyaknya ulamak-ulamak suuk (jahat) yang wujud pada zaman sekarang yang menyimpang dari segi metodologi dan fahaman Salaf As Soleh. Dalam hal tersebut, ternyata tiada riwayat Nabi ﷺ sama ada Nabi ﷺ melakukan atau menganjurkan, tiada sahabat yang membaca dan menghadiahkan Al-fatihah. Malah kita kata kenapa Al-fatihah sahaja, baca surah Al-Baqarah terus. Malangnya, tiada generasi umat Islam terdahului melakukan hal tersebut.

KATA IMAM AL-BARBAHARI BERKENAAN AHLI BIDAAH

Nukilan Imam Al-Barbahari iaitu perlunya kita berhati-hati dari kaum ahli bidaah.

Beliau kata:Golongan bidaah adalah seperti kala jengking, mereka sembunyikan kepala dan badan mereka dalam tanah dan dibiarkan ekor mereka keluar. Dan jika mereka dapat peluang, mereka akan patuk(sengat), maka demikian juga ahli bidaah. Mereka bersembunyi dalam di kalangan manusia”.

Saya kira dahulu sunnah menguasai, bidaah bersembunyi kerana bilangan mereka minoriti. Keadaan kali ini adalah sebaliknya, bidaah tersebar dan sunnah sedikit. Contohnya yang jelas adalah seperti golongan Syiah Rafidah. Mereka wujud dalam golongan kita orang melayu dan berfahaman Syiah Rafidah secara sembunyi serta bertaqiyyah. Yakinlah jika mereka berkuasa, mereka akan jadi seperti yang berlaku di Syria pada hari ini.

AHLI KALAM DAN DEBAT

Nasihat Imam Al-Barbahari lagi:Duduk di majlis nasihat menasihati akan membuka pintu faedah, adapun duduk majlis untuk berdebat ia akan menutup pintu berfaedah”.

Para ulamak jarang sekali menuntut supaya berdebat. Berbeza dengan ahli kalam kerana memang itu medan mereka. Berdebat menuntut kepada kemahiran (kehandalan) bersilat lidah, memerangkap lawan dengan ayat-ayat. Bukan handak kata berdebat dilarang sama sekali, tetapi hanya terhad kepada orang yang berkebolehan iaitu para ulamak. Hanya ulamak tertentu yang mempunyai kepetahan berbicara. Masing-masing ulamak ada kebolehan, ada yang boleh berdebat, menulis, mengajar dan sebagainya. Maka, nasihat Imam Al-Barbahari jangan buang masa berdebat lebih-lebih lagi kalau kita bukan ahlinya.

SYARHUS SUNNAH ADALAH RINGKASAN BUKU AKIDAH

Buku syarhus sunnah ialah kitab himpunan yang membincangkan permasalan berbeza-beza. Ada yang berkaitan fekah, adab, akhlak dan iktikad (kepercayaan). Majoriti yang dibincangkan dalam kitab syarhus sunnah ini adalah berkenaan akidah. Maka ia membincangkan masalah akidah, sepertimana disebut hal-hal bidaah, dalam masa yang sama beliau memberi peringatan supaya berhati-hati dalam hal-hal bidaah.

Dapat disimpulkan dalam buku ini adalah buku ringkasan akidah ahli sunnah wal jamaah  atau ringkasan akidah Salaf As Soleh. Dengan disebutkan perkara-perkara yang membezakan seorang muslim dan orang kafir, ahli sunnah dan ahli bidaah. Antaranya masalah sifat Allah, bawasanya quran kalam Allah (firman Allah) berbeza dengan pandangan Jahmiah dan Muktazilah . Juga Allah mencipta perbuatan makhluknya menyalahi fahaman kaum Qadariyah, kaum muslimin juga tidak kafirkan seseorang semata-mata dosanya iaitu menyanggah kaum Khawarij dan Muktazilah. Ia juga menyelisihi syiah yang mengkafirkan sahabat Nabi ﷺ.

Kesimpulannya, ia adalah kitab akidah yang ringkas. Tidak dibawakan dalil dan hujah-hujah kerana ia boleh rujuk kitab akidah yang terperinci.

MENGENAL ISI KITAB

Perkara Pertama Disebut Oleh Imam Al-Barbahari: Segala puji bagi Allah , dialah yang telah memberi hidayah dan kurnia islam kepada kita semua serta menjadikan kita semua umat yang terbaik. Kita memohon taufik untuk meraih kecintaan serta terpelihara dari kemurkaan dan kebencian Allah SWT.

Kata Imam Al-Barbahari:Ketahuilah sesunguhnya Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam, dan masing-masing tidak boleh berdiri dengan sendiri.”

APA MAKSUD SUNNAH?

Islam itu sunnah. Apabila kita sebut ahli sunnah, maksudnya ialah orang Islam . Pada masa yang sama, ISLAM DAN SUNNAH TIDAK BOLEH DIPISAHKAN. Apa yang hendak disebutkan adalah istilah sunnah itu ada beberapa maksud supaya kita jangan keliru. Bahkan kita boleh perincikan istilah sunnah boleh ada pelbagai maksud yang berbeza mengikut bidang ilmu yang sedang dibincangkan.

Kalau sunnah feqah ada maksudnya, begitu juga hadis, akidah , sejarah,  masing-masing ada maksud sunnah yang tersendiri.

ISTILAH SUNNAH MENGIKUT BIDANG ILMU

i. Sunnah dalam istilah feqah adalah sunat (lawannya wajib). Kalau seorang ulamak seperti Imam Syafie sebut inilah adalah sunnah, maka ia bukan wajib.

ii. Sunnah dalam hadis akan disandarkan kepada Nabi ﷺ daripada kata-kata, perbuatan atau perakuan.

iii. Sunnah dari istilah ahli sejarah adalah tambahan kepada ulamak hadis dan segala perjalanan hidup Nabi ﷺ termasuk sifat zahir baginda seperti baginda tidak tinggi atau tidak rendah, baginda berambut panjang, baginda memakai serban.

Saya kira rata-rata yang rambut panjang dan merasakan mereka mengikut sunnah, mereka juga perlu faham yang Nabi SAW tidak pernah keluar rumah dengan rambut panjang. Baginda keluar pakai serban atau penutup kepala. Dalam masa yang sama Nabi saw sentiasa ada janggut. Jika berambut panjang dan tiada janggut, dikhuatiri akan menyerupai perempuan.

iv. Sunnah dari kalangan ulamak akidah  maksudnya Islam (syariat).
Sunnah adalah apa yang menyalahi syirik dan kufur, iaitu apa yang wajib diimani (pegangan/kepercayaan) . Sering orang utarakan taat kepada pemerintah samada perkara akidah atau feqah. Ini juga menjadi kekeliruan.

Dalam masyarakat Melayu juga ada perincian. Antara sunnah iaitu ikut ulamak feqah/ulamak hadis dan sunat (khitan).

QURAN DAN SUNNAH SALING MELENGKAPI

Kata Imam Al-Barbahari tentang penegasan kedudukan sunnah, ia adalah sebahagian Islam dan tidak boleh dipisahkan (dasar). Perlu ditegaskan sehingga hari ini kerana sebahagian masyarakat Islam membezakan Quran dan Sunnah. Mereka kata bahawa hujah Quran itu adalah pasti dan diterima secara sepakat. Kerana quran itu terpelihara seperti firman Allah.

Sesungguhnya kami telah turunkan Al-Zikr (Quran) dan kamilah yang akan memeliharanya”. (QS Al-Hijr:9)

Quran disampaikan secara mutawatir (perawi sangat ramai) sehingga  mustahil untuk komplot berbohong. Orang hafal Quran juga termasuk dalam menjaga dan meriwayatkan kepada generasi berikutnya.

SYUBAHAT FAHAMAN MASYARAKAT BERKENAAN SUNNAH

Mereka kata bahawa berbeza kedudukan hadis (sunnah Nabi ﷺ) dan Quran. Sunnah tidak begitu (bukan seperti Quran) kerana ia diriwayatkan secara ahaad. Maksudnya hadis diriwayat secara ahaad (perawi sangat sedikit), bahkan seperti hadis pertama dalam kitab sahih Muslim adalah perawi hanya seorang sahaja “Setiap amalan bermula dengan niat” yang diriwayatkan hanya Umar RA. Bagaimana ia dibezakan hadis sini?

Mereka timbulkan syubahat iaitu hadis ahaad in boleh diragui dan boleh sahaja ada penyelewengan atau penipuan tanpa kita tahu. Berbeza dengan hadis mutawatir iaitu percaya dengan yakin. Bukankah boleh ada perawi sengaja berbohong atau mungkin akan tersilap oleh Umar Khatab RA.

Maka, daripada pandangan ini mereka meragui kedudukan hadis Nabi ﷺ.

GOLONGAN YANG HANYA MENGAMBIL QURAN (QURANIUN)

Ada golongan yang menolak terus hadis iaitu golongan anti hadis. Antara istilah yang perlu hati-hati adalah “Kita perlu kembali kepada Quran” Ungkapan ini perlu hati2 kerana inilah syiar mereka “hendaklah kembali kepada Quran”. Maka kita katakan sunnahnya di mana? Mereka tidak akan kata terang-terang kami menentang hadis tetapi secara selindung mereka menolak hadis.

GOLONGAN MENOLAK HADIS SECARA SYUBAHAT

Golongan ini adalah mereka terima hadis tapi tidak tahu bagaimana hendak bermuamalah (menggunakan) hadis. Golongan ini berpecah iaitu kepada dua iaitu:

i. Golongan pertama: Mendakwa bahawa hadis ahaad tidak boleh menafsirkan quran

Mereka manafsirkan kedudukannya Quran dan Hadis adalah berbeza. Masakan quran mutawatir bagaimana nak tafsir hadis, maka kalau quran hanya perlu mengunakan quran. Mereka tolak hadis untuk tafsir quran. Antara contoh yang boleh saya berikan adalah tentang wajib atau tidak baca baca Al-fatihah dalam solat seperti mazhab Imam Hanafi. Golongan Hanifi kata tidak wajib, cukup baca apa-apa ayat quran sudah boleh rukuk, mereka guna ayat muzammir: “Baca apa-apa yang mudah dari quran (dalam solat)”. Tetapi ternyata hal ini menyalahi hadis yang sahih iaitu “Siapa yang tak baca ayat Al-fatihah, solatnya cacat” (Hadis Bukhari dan Muslim). Maka, sekali lagi hadis saling melengkapi dengan ayat quran.

ii. Golongan kedua: Hadis AHAAD tidak boleh menjadi hujah dalam akidah

Alasan mereka adalah akidah perlu kepada keyakinan. APA MAKSUD AKIDAH? Maksudnya akidah adalah simpulan (uqdah). Simpulan adalah perkara yang kita yakin dan dengan kuat.  Maka, mereka mendakwa hadis tidak boleh digunakan dalam hal akidah kerana masakan ia boleh digunakan hal akidah kerana akidah perlu keyakinan dan kepercayaan. Maka ditolak hadis ahaad dalam hal akidah.

HADIS AHAAD DAN HAL AKIDAH

Agak-agak banyak atau tidak hal akidah yang berdiri dalam hadis ahaad? Jangan terkejut , banyak sekali syariat berdiri dari hadis ahaad. Bahkan semua perincian perkara ghaib bersandar dengan hadis ahaad. Contohnya hal alam barzah dalam kubur, malaikat mungkar  dan nakir, seksa kubur, perincian hari kiamat, keadaan padang mahsyar, keadaan sangat getir dan lain-lain. Ada penimbangan amalan, telaga haudh, titian sirat yang tajam dan halus daripada rambut atau tajam dari pedang, perician neraka syurga, dalam syurga kenikmatan yang pelbagai. Ini semua adalah hadis-hadis ahaad.

Maka, golongan kedua tidak beriman semua dengan hadis ahaad tadi. Ini adalah pandangan Muktazilah yang diperakui oleh golongan Asyairah dan Maturidiah, juga menjadi pegangan Hizbut Tahrir yang melaungkan untuk menegakkan khalifah. Yang mengatakan demokrasi taghut, semua bunyi indah-indah tetapi mereka tidak menggunakan hadis ahaad. Innalillahi wa innailaihirajiun. Ini adalah kaum ahli bidaah yang perlu disanggah.

iii. Golongan ketiga: Tidak menggunakan hadis ahaad dalam fekah (Mendahului Kias)

Mereka sanggah dan ditolak suatu atas alasan hadis ahaad. Mereka mendahulukan kaedah kias(ijtihad). Atau mereka sendiri tetapkan  kaedah-kaedah mazhab atas alasan kerana mereka kata kaedah ini(kias) adalah jauh lebih meyakinkan dari hadis ahaad. Kenapa? Bagi mereka akal lebih kuat dari hadis ahaad. Kita ada Quran, logik akal dan dibawah adalah hadis ahaad. Bagi mereka akal tidak mungkin silap, namapun logik. Antara contoh adalah tentang solat tidak dibenarkan bergerak ketika gatal sebab nyamuk dan sebagainya. SIAPA YANG ADA GERAK LEBIH 3 GERAKAN AKAN BATALKAN SOLATNYA. Ini adalah kaedah mazhab. Banyak lagi masalah feqah seperti manyapu atas khuf, stokin dan lain-lain.

HUKUM MUZIK (HADIS VS KIAS)

Demikian juga pengharusan muzik. Antara hujah yang diberikan adalah “ hadis muzik adalah tidak qat’ie”. Bagaimana pula hadis dalam Bukhari “Akan ada dalam kalangan umatku kaum yang halalkan zina, sutera, arak dan alat muzik “. Datang seorang ilmuan kata hadis sini tidak qat’ie kerana “sesuatu perkara asalnya harus hingga hadis melarang“. Maka dalam larangan muzik tiada dalil kuat/pasti/qat’ie mengharamkan muzik.

Ini adalah hujah akal. Ilmuan pertama yang bawa hujah ini adalah Qaradhawi. Rata-rata masyarakat awam mengjahili kedudukan sunnah dalam Islam hingga mereka TAQLIQ KEPADA MAZHAB , dan melahirkan perasaan taasub kepada mazhab yang dianuti. Dengan mudah sesuatu hadis ditolak hanya kerana sesuatu hadis menyalahi pegangan mazhab, hinggakan mazhab didahulukan dan hadis diketepikan.

KESIMPULAN

Tidak kira apa-apa bab sama ada akhlak, akidah  atau fekah, mereka sentiasa mendahulukan mazhab masing-masing. Akhirnya BERPEGANG QURAN DAN SUNNAH HANYA DAKWAAN SEMATA-MATA, hakikat dan realitinya mereka jauh sekali daripada itu.

SOALAN-SOALAN

1. Pernah terbaca hadis, bekas penghuni neraka yang masuk syurga masih tanda hitam di dahinya. Orang syurga panggil jahannamiun. Apakah gelaran ini terasa dihina? Sahihkah hadis itu?

Hadis sahih. Di syurga adalah tempat yang membezakan taraf. Nabi ﷺ mendapat tempat paling tinggi. Syurga paling tinggi adalah syurga Firdaus dan ia juga banyak tingkatannya.

Gelaran jahannamium dari kalangan umat yang tidak diampunkan dosa dan perlu masuk neraka untuk menghapuskan dosa dahulu. Adakah gelaran ini seolah-olah menghina? Tidak kerana kerana ia hanyalah istilah yang diberikan. Ia bukan pengghinaan, bahkan tiada istilah gelar menggelar dalam syurga.

Firman Allah: “Kami cabut dari hati mereka perasaan buruk terhadap sesama muslim”.

2. Panduan berdebat bagi penuntut ilmu

Jangan berdebat.

Sebaliknya nasihat Sy Albani:Sampaikan apa yang engkau nak sampaikan dan jalan. Sampai apa yang perlu, jangan berlawan. Lebih-lebih dalam media sosial. Ada soalan dan ada jawapan, bukan soalan disusuli dengan soalan, akhirnya tiada penghujung.”

Debat hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Bukan semua ulamak berdebat.

3. Ghibah yang dibolehkan dan tidak dibolehkan.

Menyebut tentang kesalahan seseorang atas tujuan menegah orang lain terikut dengan kesesatan seseorang itu. Maka dalam keadaan ini dibolehkan untuk menyebut kesesatan atau penyimpangannya, bahkan wajib atas niat nasihat. Secara prinsip adalah haram ghibah tetapi keadaan tertentu ia dibolehkan. Apapun, keadaan yang dibolehkan mengumpat dalam menasihati sesama seseorang supaya saudara kita tidak terjebak.

Apakah batasannya? Hanya dalam hal-hal kesalahan yang mana pandangan, tulisan yang menyimpang sahaja perlu didedahkan. Sekiranya pandangan yang silap itu tersebar, penjelasan kesalahan juga perlu tersebar dan disebut namanya. Ini yang dilakukan oleh ulamak sejak zaman berzaman. Malah menjadi tanggungjawab nasihat menasihati.

Audio:
https://drive.google.com/open?id=0B1f5ZkQWwaw8bi1DS1VERWRnenM

Advertisements